Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

NDR2022: Pemansuhan Seksyen 377A timbulkan cabaran rumit, perlu ditangani dengan hati-hati, kata Mufti

Anggaran Waktu Membaca:
NDR2022: Pemansuhan Seksyen 377A timbulkan cabaran rumit, perlu ditangani dengan hati-hati, kata Mufti
Diterbitkan : 22 Aug 2022 12:29AM Dikemas Kini : 22 Aug 2022 01:30AM
SINGAPURA: Mufti Negara Dr Nazirudin Nasir menggesa masyarakat supaya terus mengekalkan persefahaman dan sikap hormat-menghormati antara satu sama lain.

Ini berikutan keputusan pemerintah untuk memansuhkan Seksyen 377A Kanun Keseksaan seperti yang diumumkan Perdana Menteri Lee Hsien Loong dalam Rapat Umum Hari Kebangsaan pada Ahad (21 Ogos).

Seksyen 377A dalam kod undang-undang itu menetapkan hubungan seks antara lelaki sebagai satu jenayah.

Menurut Dr Nazirudin, perubahan pada undang-undang tersebut dan tuntutan golongan tertentu adalah kesan pada peralihan dan perubahan dalam situasi sosial dalam masyarakat.

Ia juga kata beliau akan menimbulkan cabaran-cabaran rumit lagi kompleks dan ini perlu ditangani dengan berhati-hati.

3 RESPONS PERLU DIFIKIRKAN MASYARAKAT ISLAM

Sehubungan itu, beliau turut membentangkan tiga respons yang perlu difikirkan oleh masyarakat Islam di Singapura.

Pertama, beliau menggesa masyarakat Islam di sini supaya terus memperkukuhkan pegangan agama dan nilai-nilai serta ajaran agama.

"Walaupun undang-undang berubah tetapi ajaran dan nilai agama tetap sama. Dalam seksualiti sebagai contoh, jelas dalam agama apa yang boleh dan apa yang tidak boleh. Namun kita perlu terus mendidik anak-anak kita dan keluarga kita dan generasi muda khususnya akan pegangan agama ini dan meyakinkan mereka tentang pegangan agama dan pendirian agama sebab mereka juga terdedah dengan pendirian-pendirian lain," kata Mufti.

Kedua, Mufti turut menggesa masyarakat supaya terus bekerjasama dengan negara dan pemerintah untuk mengukuhkan institusi perkahwinan dan keluarga sedia ada sekarang iaitu penyatuan antara lelaki dan wanita.

"Kita berasa tenang kerana pemerintah juga telah menjelaskan bahawa itu adalah antara usaha yang akan dilakukan untuk mengukuhkan lagi institusi perkahwinan," kata Dr Nazirudin.

Dalam ucapannya, PM Lee menegaskan bahawa pemerintah akan melindungi takrif perkahwinan seperti yang termaktub dalam Akta Terjemahan dan Piagam Wanita.

"Di bawah undang-undang, hanya perkahwinan antara seorang lelaki dan seorang wanita diiktiraf di Singapura. Banyak dasar nasional bersandarkan penakrifan perkahwinan ini - termasuk perumahan awam, pendidikan, peraturan mengambil anak angkat, piawaian pengiklanan, klasifikasi filem. Pemerintah tidak bercadang untuk mengubah takrif perkahwinan, apatah lagi dasar-dasar ini," tegas PM Lee.

Di samping itu, Dr Nazirudin juga menasihatkan masyarakat agar saling menghormati meskipun terdapat kepelbagaian dalam kerencaman sebagai respons ketiga.

"Jangan sampai bila ada golongan yang berbeza dengan kita, kita mula menyisihkan mereka atau mengeluarkan mereka daripada lingkungan agama. Kita perlu mendekati mereka apabila mereka memerlukan panduan dan sokongan dengan cara berhemah, cara yang baik.

"Ini dapat mengekalkan masyarakat yang turut kohesif, bersatu walaupun ada perbezaan kepelbagaian," tegasnya.

Dalam pada itu, Mufti Negara juga mengingatkan kepada mereka yang tidak bersetuju dengan pendirian kumpulan agama tertentu seperti Islam tentang seksualiti.

"Kami berharap mereka yang tidak bersetuju dengan pandangan kami tentang seksualiti dan perkahwinan boleh memahami mengapa kumpulan agama seperti masyarakat Muslim mahu kekalkan institusi perkahwinan dan kami lega pemerintah memberi petanda akan lakukan demikian bagi mencerminkan norma masyarakat kita," ujar Dr Nazirudin.

PEMIMPIN AGAMA LAIN JUGA GESA MASYARAKAT KEKAL BERSATU

Para pemimpin agama lain juga tampil bersuara dan menggesa masyarakat supaya bersatu demi kebaikan negara dan juga melindungi institusi perkahwinan dan keluarga.

Presiden Persekutuan Buddha Singapura (SBF), Venerable Seck Kwan Phing berkata rakyat Singapura kini lebih matang dan inklusif untuk menerima perbezaan dalam kepelbagaian.

Beliau menggesa penduduk Singapura supaya teguh bersatu demi kebaikan negara ini.

Beliau juga mengalu-alukan usaha melindungi institusi perkahwinan dan menambah bahawa ia dapat melindungi nilai-nilai tradisional keluarga meskipun Seksyen 377A dimansuhkan.

Pendapat serupa juga dikongsi oleh Archdiocese Katolik Roman Singapura.

Ia ingin melindungi institusi keluarga dan perkahwinan yang ditetapkan sebagai penyatuan antara seorang wanita dan lelaki.

Bagi memastikan ia tidak mudah dicabar, ia berkata ia perlu termaktub dan ditakrifkan dalam Perlembagaan sebelum Seksyen 377A dimansuhkan.
Sumber : CNA/HA/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan