Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

NDR2022: Pelitup akan hanya diperlukan di dalam pengangkutan awam dan kemudahan jagaan kesihatan

Perdana Menteri Lee Hsien Loong mengumumkan bahawa peraturan memakai pelitup muka di tempat awam akan dilonggarkan lagi dengan keadaan pandemik COVID-19 kini menjadi lebih stabil.

Anggaran Waktu Membaca:
NDR2022: Pelitup akan hanya diperlukan di dalam pengangkutan awam dan kemudahan jagaan kesihatan

Pelitup akan hanya diperlukan di dalam pengangkutan awam dan kemudahan jagaan kesihatan, menurut PM Lee. (Gambar: Raj Nadarajan/TODAY)

Diterbitkan : 21 Aug 2022 09:55PM Dikemas Kini : 24 Aug 2022 01:14PM
SINGAPURA: Perdana Menteri Lee Hsien Loong mengumumkan bahawa peraturan memakai pelitup muka di tempat awam akan dilonggarkan lagi dengan keadaan pandemik COVID-19 kini menjadi lebih stabil.

Dalam ucapan Rapat Umum Hari Kebangsaannya pada Ahad (21 Ogos), Encik Lee berkata bahawa tidak lama lagi memakai pelitup muka akan hanya diperlukan ketika berada dalam pengangkutan awam, "di mana orang ramai berada dalam kontak rapat secara berpanjangan dalam ruang sesak" serta di kemudahan-kemudahan jagaan kesihatan seperti di klinik, hospital dan juga rumah-rumah tumpangan dan rawatan yang menempatkan golongan berisiko tinggi.

"Di mana-mana sahaja, luar bangunan atau dalam bangunan, pelitup tidak diwajibkan," tambah beliau.

Walau bagaimanapun, PM Lee mengingatkan bahawa rakyat Singapura tidak seharusnya "membuka pelitup dengan serta-merta".

Perincian termasuk bila pelonggaran lanjut itu akan dikuatkuasakan, akan diumumkan Pasukan Bertindak Berbilang Kementerian berhubung COVID-19, menurut Encik Lee.

Bagi membendung penularan koronavirus, orang ramai di negara pada mulanya perlu memakai pelitup muka setiap kali keluar dari rumah.

Peraturan itu kemudian dilonggarkan bermula 29 Mac dengan pemakaian pelitup muka hanya diwajibkan dalam tempat-tempat di luar bangunan meskipun orang ramai digalak untuk memakainya apabila keluar dari rumah, terutama sekali di kawasan sesak.

Dalam mengumumkan pelonggaran peraturan tersebut, Encik Lee maklum bahawa di sekolah-sekolah khususnya, pelitup tidak seharusnya diperlukan dalam bilik-bilik darjah.

"Kanak-kanak sepatutnya boleh melihat ekspresi wajah guru mereka dan juga satu sama lain. Ini penting untuk pembelajaran dan pembangunan," kata beliau.

Beliau menambah bahawa kawalan jangkitan sudahpun melindungi Singapura dengan baik sepanjang pandemik, dengan peraturan COVID-19 disesuaikan mengikut keadaan dan dilonggarkan secara bertahap-tahap.

Hari ini, hanya dua peraturan tersebut berkekalan.

Selain perlu memakai pelitup muka di dalam bangunan, orang ramai juga perlu sudah divaksin untuk menghadiri acara-acara dan mengambil bahagian dalam kegiatan di tempat berisiko tinggi seperti makan di luar.

Beliau menambah bahawa selain kawalan jangkitan, Singapura perlu belajar daripada pengalaman mengharungi pandemik dan bersedia untuk kemungkinan "virus baru akan muncul, lebih senang menjangkiti, lebih senang menyesuaikan diri dan lebih bahaya daripada COVID-19".

"Pengajaran yang paling penting ialah untuk mengekalkan semangat tanggungjawab peribadi dan sosial," kata Encik Lee.

"Teruskan untuk memupuk keyakinan dalam masyarakat kita - hari demi hari - dalam keadaan biasa, supaya apabila dalam krisis seterusnya, kita dapat mengambil iktibar dari keyakinan yang mendalam untuk membantu kita, seperti mana yang kita sudah lakukan semasa COVID-19."

Dalam ucapannya, Encik Lee juga mengumumkan bahawa satu anugerah negara istimewa baru yang dipanggil Pingat Daya Tahan COVID-19 akan diberikan kepada mereka yang memainkan peranan secara langsung dalam perang melawan pandemik.
Sumber : Today/NJ/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan