Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

NDR2022: Pelabuhan Tuas akan jadi terminal automasi terbesar dunia apabila siap sepenuhnya dalam 20 tahun

Anggaran Waktu Membaca:
NDR2022: Pelabuhan Tuas akan jadi terminal automasi terbesar dunia apabila siap sepenuhnya dalam 20 tahun

Gambaran artis Pelabuhan Tuas. (Gambar: MPA)

SINGAPURA: Pelabuhan Tuas akan menjadi pelabuhan automatsi penuh terbesar di dunia apabila ia siap sepenuhya dalam kira-kira 20 tahun, kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada Ahad (21 Ogos).

Berucap di Rapat Umum Hari Kebangsaan tahun ini, PM Lee mengongsi perkembangan terkini mengenai pembangunan Pelabuhan Tuas, 10 tahun selepas ia pertama kali diumumkan.

Fasa 1 Pelabuhan Tuas baru sahaja selesai, kata PM Lee, dan akan disusuli dengan Fasa 2, 3 dan 4.

"Apabila ia siap sepenuhnya dalam sekitar 20 tahun dari sekarang, Pelabuhan Tuas akan mengendalikan 65 juta TEU (bersamaan 20 kaki) setiap tahun, hampir dua kali ganda jumlah sekarang," tambah PM Lee.

"Kami akan mempunyai pelabuhan automasi penuh terbesar di dunia, dan ini akan menjadikan kami pemain sejagat yang unggul dalam bidang maritim."

Kerja-kerja menambak di bawah Fasa 1 Pelabuhan Tuas bermula pada Februari 2015 dan siap pada November 2021, menurut Kementerian Pengangkutan (MOT) dalam makluman media berasingan pada Ahad (21 Ogos).

Kerja-kerja menambak tanah bagi Fasa 2 pula bermula pada Mac 2018, dan Penguasa Maritim dan Pelabuhan Singapura (MPA) sudah membuat perancangan bagi Fasa 3, menurut MOT.

Pemindahan ke Pelabuhan Tuas akan secara bertahap-tahap mengosongkan bidang tanah dari Shenton Way hingga Pasir Panjang bagi projek Pesisiran Selatan atau Greater Southern Waterfront (GSW), kata PM Lee dalam ucapannya pada Ahad (21 Ogos).

"Pemindahan ke Tuas sudah bermula. Jika anda memandu lalu terminal Tanjong Pagar di AYE, anda boleh lihat ia tidak lagi digunakan untuk operasi kontena," tambah PM Lee.

"Ia hampir kosong, dan itulah sebabnya, semasa pandemik, kami boleh menempatkan kemudahan pengasingan dan pemulihan bagi pesakit COVID-19 di limbungan kontena tersebut."

Apabila Fasa 1 operasi pelabuhan di Pelabuhan Tuas sudah beroperasi sepenuhnya pada 2027, pelabuhan itu akan mempunyai 21 dermaga yang mampu mengendalikan 20 juta TEU setiap tahun, menurut MOT dalam maklumannya.

Dua dermaga pertama mula beroperasi mengikut jadual pada Disember 2021, dan tiga lagi akan beroperasi menjelang Disember 2022, menurut makluman tersebut.

Pengendali pelabuhan kontena PSA menjangkkan dapat mengalihkan semua operasinya di Terminal Tanjong Pagar, Keppel dan Brani ke Pelabuhan Tuas menjelang 2027, dan operasi di Terminal Pasir Panjang akan disepadukan di Pelabuhan Tuas menjelang tahun-tahun 2040-an, menurut MOT.

Kapal dari seluruh dunia akan singgah di Pelabuhan Tuas, kata PM Lee dalam ucapannya.

"Oleh kerana kami membuat perancangan awal, pelabuhan kami berupaya untuk mengendalikan jumlah tambahan sewaktu pandemik, manakala pelabuhan di negara-negara lain ditutup, mengalami kesesakan teruk dan kelewatan yang berlanjutan. Namun, PSA, pelabuhan kami kekal dibuka 24/7 sepanjang pandemik," tambah PM Lee.

"Dan kami mengukuhkan kedudukan Singapura sebagai 'pelabuhan jimat masa' kerana ini tempatnya di mana kapal boleh mengimbangi kelewatan di pelabuhan lain."

Singapura mengendalikan jumlah rekod tertinggi TEU, iaitu 37.5 juta, pada 2021 dan mengekalkan kedudukannya sebagai hab pemndahan kapal paling sibuk di dunia, tegas PM Lee.

Dengan pemindahan ke Tuas, operasi pelabuhan sudah dimodenkan dan dinaiktaraf, kata Encik Lee.

Pelabuhan baru ini memanfaatkan sistem automasi dan digital, serta menggunakan Kecerdasan Buatan (AI) untuk menyelaraskan operasi dengan lebih lancar lagi, seperti pengurusan trafik kapal dan pelepasan pelabuhan. Pelabuhan baru akan menggunakan kenderaan automatik tanpa pemandu, dan bukan trak, kata Encik Lee.

PSA akan menggunakan rangkaian privet 5G untuk menyokong kenderaan automatik yang beroperasi menggunakan 5G dan jentera automatik di Pelabuhan Tuas dan Terminal Pasir Panjang sekarang, menurut MOT dalam maklumannya.

PSA juga sedang meneroka penggunaan 5G dalam operasi pengendalian kargo pada masa akan datang, menurut makluman tersebut. Pengendali pelabuhan kontena itu menetapkan sasaran untuk mencapai pelepasan sifar karbon di Pelabuhan Tuas menjelang 2050, menurut MOT.

"Peralihan yang lancar ini boleh dicapai hasil pekerja pelabuhan, kesatuan pelabuhan, PSA dan MPA. Pihak pengurusan dan kesatuan bekerjasama untuk melatih semula pekerja dan membantu mereka menyesuaikan diri dalam sekitaran kerja yang baru," kata PM Lee.

"Di pihaknya, pekerja perlu belajar kemahiran baru, meningkatkan diri mereka dan menjadi lebih produktif."
Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan