NDR2022: MUIS akan kukuhkan lagi nilai Islam dalam seluruh pendidikan dan kurikulum agama
Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) akan terus menyokong segala usaha untuk mengukuhkan nilai-nilai Islam dalam seluruh pendidikan dan kurikulum keagamaan untuk masyarakat dalam sebuah dunia yang rumit dan dan lebih terbuka.

Gambar fail
Jaminan itu dibuat dalam satu panduan keagamaan yang dikeluarkan oleh Pejabat Mufti kepada masyarakat Islam Singapura pada Isnin (22 Ogos) menyusuli pengumuman bahawa Pemerintah akan memansuhkan Seksyen 377A dalam Rapat Umum Hari Kebangsaan semalam (21 Ogos).
Menurut badan itu, cara terbaik untuk memelihara amalan dan cara kehidupan berlandaskan agama adalah dengan mendidik dan memupuk umat Islam dengan nilai dan prinsip secara aktif.
Justeru semua anggota masyarakat khususnya golongan muda patut didekati dan diperkasakan untuk menyusuri isu-isu berpandukan nilai dan prinsip agama tersebut.
Badan penguasa agama itu juga menyeru para anggota masyarakat Islam untuk memperdalam cinta untuk agama dalam semua dimensi dan memupuk hal yang sama dalam diri anak-anak.
HAK UNTUK PELIHARA NILAI AGAMA DAN KELUARGA
Dalam ucapan Rapat Umum Hari Kebangsaan semalam, Perdana Menteri Lee Hsien Loong berkata, meskipun Seksyen 377A akan dimansuhkan, Pemerintah tetap akan mengekalkan struktur asas keluarga antara lelaki dengan wanita dengan melindungi takrif perkahwinan ini menerusi pindaan perlembagaan.
Sebarang bentuk sokongan LGBTQ+ katanya, patut menghormati nilai-nilai yang dipegang kuat oleh anggota masyarakat Islam dalam mengamalkan agama itu.
Bahkan dalam kalangan masyarakat Islam hari ini, ada percubaan untuk mentafsirkan semula teks keagamaan untuk mencari asas bagi pilihan identiti yang tidak selaras dengan ajaran Islam yang melarang semua bentuk hubungan dan penyatuan seksual selain perkahwinan antara lelaki dengan wanita sebagai asas masyarakat.
Panduan keagamaan itu juga melahirkan keprihatinan terhadap kesan jangka panjang perkembangan-perkembangan ini terhadap nilai dan amalan keagamaan khususnya apabila garis panduan Islam tentang seksualiti dicabar secara terbuka.
IMBANGI PEGANGAN AGAMA DENGAN IHSAN
Dalam mengharungi perkembangan-perkembangan LGBTQ+ di Singapura, Pejabat Mufti menekankan pentingnya keseimbangan dan penglibatan berterusan secara berhikmah dan beradab supaya masyarakat boleh hidup bersama secara aman di tengah-tengah perbezaan pandangan hidup dan orientasi.
Ia menekankan bahawa Islam mengajar umatnya untuk tidak menghakimi atau mengutuk individu-individu meskipun mereka melakukan tindakan yang jelas membawa kesan buruk atau salah di sisi agama.
Dalam hal ini, sesetengah anggota masyarakat berdepan dengan cabaran-cabaran mereka sendiri sedang mereka cuba secara peribadi mencari jalan penyelesaian berkenaan agama dan seksualiti mereka.
Seseorang yang menganggap dirinya sebagai Muslim dan mengamalkan asas-asas agama Islam masih seorang anggota masyarakat Islam dan dia berhak untuk hidup secara bermaruah dan hormat dan tidak patut dikutuk hanya kerana anggota masyarakat Islam lain tidak bersetuju dengan orientasi seksualitinya.
MUIS menyedari perlunya untuk membangunkan dan meningkatkan keupayaan asatizah dan kaunselor keagamaan khususnya tentang bagaimana nilai dan ajaran agama boleh disampaikan secara berhemah kepada individu-individu sedemikian sambil memelihara maruah diri mereka dan menghormati kerahsiaan maklumat tentang diri mereka.
Ini sedang nilai-nilai ihsan dan kebaikan menuntut umat Islam untuk tidak menyisihkan mereka dan membuat mereka meninggalkan agama.
Bagi Pejabat Mufti, isu ini merupakan ujian besar terhadap sikap empati, hormat, belas ihsan dan pendirian masyarakat ketika menguruskan kehidupan beragama dalam dunia yang kompleks dan lebih terbuka kini.
Menurut kenyataan dan panduan agama itu lagi, isu LGBTQ+ memerlukan keseimbangan rapi dan penglibatan berterusan dengan cara yang penuh hikmah dan beradab, supaya masyarakat boleh terus hidup bersama secara aman di tengah-tengah perbezaan pandangan dan orientasi.
LAPORAN BERKAITAN:
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.