Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

NDR2022: 'Langkah pertama ke arah kesaksamaan penuh': Kumpulan LGBTQ atas niat untuk memansuhkan Seksyen 377A

Anggaran Waktu Membaca:
NDR2022: 'Langkah pertama ke arah kesaksamaan penuh': Kumpulan LGBTQ atas niat untuk memansuhkan Seksyen 377A

Acara Pink Dot pada 2019. (Gambar: Cindy Co)

Diterbitkan : 22 Aug 2022 01:00AM Dikemas Kini : 22 Aug 2022 01:27AM
SINGAPURA: Kumpulan LGBTQ melahirkan rasa lega terhadap hasrat Pemerintah untuk memansuhkan Seksyen 377A dalam Kanun Keseksaan, yang menetapkan hubungan seks antara lelaki, sebagai satu jenayah, menggelarnya sebagai "langkah pertama ke arah kesaksamaan penuh" bagi golongan LGBTQ di Singapura, dalam satu kenyataan masyarakat yang ditandatangani oleh 22 kumpulan LGBTQ.

Dikeluarkan pada Ahad (21 Ogos), kenyataan itu menyatakan pemansuhan tersebut akan menjadi "pencapaian penting dan satu kenyataan lantang bahawa diskriminasi yang dibenarkan negara tidak mempunyai tempat di Singapura".

Kumpulan itu, antara lain termasuk Action For Aids Singapore, Free Community Church, Pink Dot SG, Young Out Here, Project X dan Oogachaga.

Perdana Menteri Lee Hsien Loong mengumumkan dalam ucapan di Rapat Umum Hari Kebangsaan pada petang Ahad bahawa Singapura akan memansuhkan Seksyen 377A, membawa undang-undang itu selaras dengan norma sosial sekarang. Beliau berharap pengumumannya itu akan memberikan sedikit kelegaan kepada warga homoseksual Singapura.

PEMANSUHAN BERI MAKSUD BERBEZA KEPADA SETIAP INDIVIDU

"Pemansuhan Seksyen 377A membawa erti yang berbeza" kepada setiap individu, kata kenyataan itu.

Bagi sesetengah orang yang pernah mengalami dibuli, disingkir dan gangguan yang dibenarkan oleh undang-undang, pemansuhan tersebut mencerminkan permulaan proses untuk pulih. Bagi yang lain bagaimanapun, pemansuhan itu dianggap sebagai "sudah terlambat".

"Bagi mereka yang sudah lama inginkan Singapura yang lebih sama rata dan inklusif, pemansuhan tersebut menandakan bahawa perubahan sememangnya boleh berlaku. Dan bagi rakan dan keluarga kami yang menyokong kami, pemansuhan tersebut adalah bukti dan galakan bahawa sokongan anda membuat perubahan," katanya.

"Kepada mangsa Seksyen 377A terdahulu dan kesan susulannya, termasuk mereka yang pernah berdepan ancaman ditahan polis, serbuan dan tuduhan jenayah, pemansuhan tidak akan dapat membetulkan sepenuhnya kesalahan lalu yang anda hadapi."

Kenyataan itu juga mengiktiraf "generasi aktivis, kumpulan masyarakat dan sekutu". Sokongan mereka "selalunya datang dengan kos peribadi yang besar" - tetapi merintis jalan bagi perubahan dasar dan masyarakat, serta memastikan masih lagi ada harapan.

"KECEWA" DEFINISI PERKAHWINAN DIMAKTUBKAN KE DALAM PERLEMBAGAAN

Dalam ucapan beliau di Rapat Umum Hari Kebangsaan pada Ahad, Encik Lee juga berkata Pemerintah akan meminda Perlembagaan untuk melindungi takrif perkahwinan - yang kini diiktiraf oleh undang-undang sebagai berlaku antara seorang lelaki dan seorang wanita - daripada dicabar secara perlembagaan di mahkamah.

Beliau menambah bahawa Pemerintah tidak berniat untuk mengubah takrif perkahwinan atau dasar negara mengenai perumahan awam, pendidikan, peraturan anak angkat, piawaian pengiklanan dan klasifikasi filem, menandakan bahawa ia akan mengekalkan "norma dan nilai sedia ada" masyarakat Singapura.

"Sebarang langkah pemerintah untuk memperkenalkan undang-undang lanjut atau pindaan perlembagaan yang memberi isyarat kepada golongan LGBTQ+ sebagai warganegara yang tidak sama rata adalah mengecewakan. Kami menggesa pemerintah agar tidak mengikut gesaan baru-baru ini daripada kumpulan konservatif agama untuk memasukkan takrif perkahwinan ke dalam Perlembagaan," kata kenyataan daripada kumpulan LGBTQ itu sebagai reaksi kepada ucapan Encik Lee.

Kenyataan media yang dikeluarkan oleh pengerusi Oogachaga Bryan Choong dan pengarah eksekutif Leow Yangfa juga menggesa Anggota Parlimen agar "elak menggabungkan pemansuhan 377A dengan isu lain".

"Rakyat LGBTQ Singapura mempunyai keluarga, mempunyai anak, telah menjalin hubungan dan sudah berkahwin. Ramai anggota LGBTQ Singapura juga mungkin tidak mempunyai keinginan untuk berkahwin. Tidak perlu bagi keluarga dan perkahwinan dilindungi daripada masyarakat LGBTQ, kerana ramai di antara kami sudah pun menjalin hubungan," katanya.

PEMANSUHAN 377A AKAN "KUKUHKAN PROGRAM KAWALAN HIV DAN STD"

Sementara itu, badan bertindak untuk AIDS atau Action for AIDS (AFA) Singapura percaya pemansuhan itu akan menghasilkan pendidikan seks yang lebih berkesan dan selamat.

"Ini adalah keputusan yang sudah lama ditunggu-tunggu yang telah menjadi penghalang struktur kepada pendidikan seks selamat yang lebih berkesan untuk golongan homoseksual dan lelaki lain yang mengadakan hubungan seks dengan lelaki di Singapura," kata pertubuhan itu.

"Dengan pemansuhan Seksyen 377A, AfA akan berusaha untuk meningkatkan dan mengukuhkan usaha untuk menghapuskan stigma dan diskriminasi yang dihadapi oleh homoseksual dan lelaki lain yang melakukan hubungan seks dengan lelaki, dan masyarakat LGBTQ yang lebih luas dalam mengakses diagnosis awal dan penjagaan jangkitan HIV, STD dan cabaran kesihatan yang lain."

Badan itu berharap diadakan "program pendidikan seksualiti yang lebih inklusif di sekolah", dan "gambaran yang lebih adil" tentang lelaki yang melakukan hubungan seks dengan lelaki di media yang boleh memudahkan rawatan dan pencegahan HIV dan penyakit seksual (STD) yang lain.

"AfA telah lama percaya bahawa menghapuskan Seksyen 377A akan mengukuhkan dengan ketara program kawalan HIV dan STD di Singapura, bukan sahaja bagi golongan homoseksual dan lelaki lain yang mengadakan hubungan seks dengan lelaki, tetapi sememangnya untuk semua orang," kata badan itu.
Sumber : CNA/SU/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan