Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

NDR2022: Kebanggaan, keyakinan masyarakat juga bergantung kepada faktor budaya, kerohanian

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 21 Aug 2022 07:18PM Dikemas Kini : 22 Aug 2022 12:04AM

SINGAPURA: Kebanggaan dan keyakinan masyarakat tidak hanya bergantung kepada kemajuan sosio-ekonomi semata-mata, tetapi juga kepada faktor budaya dan kerohanian.

Demikian menurut Perdana Menteri Lee Hsien Loong semasa menyampaikan ucapan Rapat Hari Kebangsaan dalam Bahasa Melayu hari ini (21 Ogos).

Beliau menambah, dalam meniti perjalanan sebagai masyarakat yang membentuk identiti unik sebagai orang Islam Singapura serta hidup harmoni dalam masyarakat berbilang kaum dan agama di sini, "masyarakat Melayu/Islam mendapat manfaat daripada kepimpinan keagamaan yang teguh".

Bimbingan praktikal oleh Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) dan para asatizah tempatan membantu masyarakat Melayu/Islam menyesuaikan kehidupan beragama semasa berdepan keadaan yang sering berubah dan mencabar, kata PM Lee.

"Baru-baru ini, semasa COVID-19, anda mengubah pengaturan solat Jumaat, serta menunda ibadah Haji dua tahun berturut-turut. Keputusan ini walaupun sukar, ternyata amat bijaksana: ia berjaya melindungi jemaah dan diterima baik.



"Selepas tragedi serangan pengganas 11 September 2001, sekumpulan asatizah mapan bergabung untuk menubuhkan Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG). RRG bertungkus lumus dalam memulihkan mereka yang tersasar daripada landasan agama, selain membimbing masyarakat tentang tafsiran dan amalan agama Islam yang sebenar.

"Mereka bukan sahaja melindungi masyarakat Islam daripada ideologi ekstremis, malah turut membantu mengekalkan keyakinan terhadap masyarakat berbilang kaum dan agama di negara kita," ujar PM Lee, memberikan contoh bimbingan oleh majlis agama dan golongan asatizah setempat.

Dalam ucapannya PM Lee juga berkata, sumbangan penuh masyarakat Melayu/Islam semasa pandemik "menjadi bukti kemajuan dan kejayaan kita sekalian, betapa kita bersepadu dalam masyarakat majmuk Singapura".

"Setiap anda memainkan peranan masing-masing demi kebaikan bersama. Begitu juga rangkaian kukuh badan-badan masyarakat yang komited terhadap kemajuan orang Melayu," ujar beliau, sambil merujuk kepada MENDAKI.

Menurut beliau, MENDAKI merupakan antara contoh terbaik dalam memaparkan semangat gotong-royong masyarakat.

"Ini dapat dilihat dalam bilangan individu cemerlang yang menyumbang kembali kepada masyarakat. Mereka turun padang demi membantu yang lain supaya dapat sama-sama berjaya. Saya juga gembira melihat MENDAKI secara berterusan menjalankan program-programnya walaupun di tengah-tengah pandemik," kata beliau.

Sejak ditubuhkan, MENDAKI sudah membantu masyarakat Melayu/Islam memberi penekanan kepada pendidikan sebagai kunci kemajuan sosio-ekonomi.

"Berkat kesungguhan ini, usaha-usaha MENDAKI telah berjaya membuahkan hasil yang ketara. Misalnya, Anugerah Cemerlang MENDAKI yang diberikan kepada siswazah sarjana muda dengan Kepujian Kelas Pertama. Sepanjang 10 tahun pertama MENDAKI, terdapat hanya segelintir penerima Anugerah ini. Tetapi sepanjang dekad yang lalu, jumlahnya meningkat kepada hampir 500 penerima. Syabas!"



PM Lee menambah, prestasi akademik yang meningkat membantu mewujudkan pekerjaan lebih mantap dengan lebih ramai karyawan Melayu/Islam, pendapatan lebih tinggi, dan kehidupan lebih baik.

"Saya akan hadiri majlis meraikan ulang tahun MENDAKI pada Oktober ini, dan juga akan mengiktiraf kerja keras serta sumbangannya kepada masyarakat Melayu/Islam," kata PM Lee.

Sumber : BERITA Mediacorp/NK/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan