NDR2022: Isu 377A tidak akan ubah dasar keluarga, perkahwinan; mesti ditangani dengan cara pelihara keharmonian kaum & agama, tegas PM Lee
SINGAPURA: Isu-isu sensitif akan muncul dari semasa ke semasa dan masyarakat berbilang kaum di Singapura mesti menanganinya dengan cara yang memelihara keharmonian kaum dan agama.
Demikian tegas Perdana Menteri Lee Hsien Loong dalam ucapannya semasa Rapat Umum Hari Kebangsaan pada Jumaat (21 Ogos).
PM Lee menambah usaha itu bagaimanapun memerlukan persefahaman antara semua kumpulan serta kesediaan untuk bertolak ansur dan bekerjasama.
"Hanya demikian, setiap kumpulan akan mempunyai ruang untuk mengekalkan amalan keagamaan dan budayanya, pada masa yang sama menjalin hubungan harmoni sesama kita," kata PM Lee.
Satu lagi contoh isu sensitif yang pernah dibangkitkan, kata PM Lee, termasuk isu pemakaian tudung bagi para jururawat hospital awam.
"Tahun lalu, saya mengumumkan bahawa jururawat hospital awam akan dibenarkan memakai tudung dengan pakaian seragam, jika mereka mahu.
"Perkara ini dibincangkan bertahun-tahun lamanya. Ia melibatkan banyak perbincangan secara tertutup, dialog-dialog, persiapan dan persefahaman semua pihak – bukan hanya dengan masyarakat Melayu/Islam.
"Saya gembira, akhirnya ia dapat dilaksanakan dengan lancar dan diterima baik oleh semua pihak. Selepas setahun, ternyata pendekatan yang kita ambil, adalah sesuatu yang betul," kata PM Lee.
PM Lee menarik perhatian bahawa dari semasa ke semasa isu-isu lain yang sensitif akan muncul dan kita mesti menanganinya dengan cara yang sama.
Antara isu tersebut ialah Seksyen 377A, kata PM Lee.
"Pada asasnya, ia berbeza daripada isu tudung. Tetapi, ia juga hal yang perlu ditangani dengan teliti. Saya akan sentuh perkara ini dengan lebih lanjut dalam ucapan Bahasa Inggeris nanti," kata beliau.
Namun, Perdana Menteri memberi jaminan bahawa dalam menangani Seksyen 377A, Pemerintah akan terus mengekalkan keluarga sebagai asas pembentukan masyarakat.
"Kami tidak akan mengubah dasar-dasar berhubung keluarga dan perkahwinan. Kami juga akan terus mengekalkan norma-norma serta nilai-nilai sosial sedia ada dalam masyarakat kita," tegasnya sambil menambah bahawa Seksyen 377A adalah isu yang sangat sensitif dan boleh menimbulkan perbalahan.
"Kedua-dua penyokong dan penentang mempunyai pandangan yang keras. Tetapi kita tidak boleh membiarkan perkara ini memecahbelahkan kita, seperti yang berlaku di tempat-tempat lain. Biarlah kita menangani isu ini dengan berhati-hati, ibarat menarik rambut dalam tepung, rambut jangan putus, tepung jangan berserak.
"Setiap kumpulan mesti menerima bahawa ia tidak boleh dapat semua yang diinginkan kerana ia sesuatu yang mustahil. Dan kita mesti memelihara sifat saling menghormati dan mempercayai yang telah kita pupuk bertahun-tahun lamanya, serta kekal bersatu padu sebagai satu rakyat."
Yang jelas, tegas PM Lee, daya tahan dan perpaduan masyarakat menjadi kian genting dalam dunia yang kian tidak menentu dan semakin kompleks.
"Sebuah masyarakat Melayu/Islam yang teguh dan berdaya tahan, akan sekali gus membentuk sebuah Singapura yang lebih teguh dan lebih berdaya tahan.
"Saya gembira kerana dekad demi dekad masyarakat Melayu/Islam Singapura semakin maju dari segi sosio-ekonomi, dapat mengukir identitinya yang tersendiri, penuh keyakinan dan bersenyawa dengan masyarakat berbilang kaum di negara kita," kata beliau.
Pemerintah juga akan memberi sokongan padu kepada usaha membangunkan masyarakat Melayu/Islam dan akan terus berbuat demikian, tambah PM Lee dalam ucapan Rapat Umum Hari Kebangsaan tersebut.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.