NDR2022: Inisiatif masyarakat dan sumbangan petugas barisan hadapan perangi COVID-19 diiktiraf PM Lee
SINGAPURA: Apabila COVID-19 mula-mula melanda, Encik Razali Puasa perhatikan taman permainan berdekatan rumahnya di Toa Payoh kosong dan tidak dikunjungi kanak-kanak seperti lazimnya.
Kemudian beliau mendapat tahu bahawa ada ibu bapa yang ragu-ragu untuk membawa anak mereka ke sana kerana prihatin akan kebersihan kawasan itu yang mungkin dicemari dengan virus COVID-19.
Oleh itu, Encik Razali mengambil langkah proaktif untuk membersihkan taman permainan dan mengelap permukaannya dengan cecair pembasmi kuman.
"Tentu sekali kerana bila kita lap taman permainan itu kan, ada orang cakap eh kau tak ada kerja? Buang masa, kenapa anda lakukan semua ini? Buat benda lain yang lebih baik. Namun ia tidak membuat saya berhenti di situ tapi kemudian projek itu menjadi semakin besar. Ia dilakukan juga di RC lain dan taman permainan lain. Jadi akhirnya, ia bukan kerana kita dapat pengiktirafan atau tidak," kata Encik Razali.
Sumbangan berharga Encik Razali dan beberapa lagi individu dalam usaha membantu negara memerangi COVID-19 diiktiraf Perdana Menteri Lee Hsien Loong dalam ucapan Rapat Umum Hari Kebangsaan pada Ahad (21 Ogos).
"Satu perbuatan yang mudah, yang meninggalkan perbezaan dalam masyarakat," puji PM Lee.
(Gambar: BERITAmediacorp/Nurhelmy Hakim)
Terkejut tetapi Encik Razali tersentuh usahanya itu diiktiraf semasa Rapat Umum Hari Kebangsaan. Beliau melihat perbuatan kecilnya itu sebagai satu "tanggungjawab sosial".
Usaha sebegini, walaupun kecil, menurut Encik Razali adalah "penting" dan sebaiknya dimulakan masyarakat sendiri atau "ground-up".
"Ada banyak perkara yang pemerintah sudah melakukan tetapi kita sebagai masyarakat pun harus membuat sesuatu. Tidak boleh hari-hari merungut," ujar Encik Razali.
"Sebagai penduduk atau anggota masyarakat, saya rasa kita perlu mengambil inisiatif dan melakukan sesuatu untuk menyumbang (kepada masyarakat)," tambahnya lagi.
Encik Razali membawa perhatian bahawa semangat gotong-royong dan kemasyarakatan ini bukanlah sesuatu yang baru dan sudah pun ada sejak zaman dahulu lagi.
"Semoga selepas pandemik ini, segalanya akan kembali normal dan sifat gotong-royong, kemasyarakatan macam apa yang kita ada sebelum ini akan datang kembali dengan lebih meriah lagi, insya-Allah," kata Encik Razali.
Tiga petugas barisan hadapan Melayu/Islam turut diiktiraf PM Lee atas peranan penting mereka dalam membantu masyarakat melawan COVID-19.
Ini termasuk doktor di Hospital Besar Ng Teng Fong, Dr Norhisham Main.
Menurut PM Lee, Dr Norhisham bukan sahaja menyumbang dalam menjaga para pesakitnya di hospital tetapi juga usaha untuk turun padang bagi menjelaskan keadaan COVID-19 kepada masyarakat Melayu/Islam.
Ini selain bantu memperbetulkan salah tanggapan mereka tentang COVID-19 dan meraih sokongan mereka bagi langkah-langkah pengurusan koronavirus yang ditetapkan. .
"Saya bangga kerana ini (adalah) sebagai penghargaan bukan untuk saya tetapi rakan-rakan bersama saya yang bekerja dengan saya. Mereka bergabung dengan saya dalam hal-hal menjaga kesihatan ummah kita dan juga masyarakat Melayu/Islam di Singapura dan juga bagi mereka yang menjaga pesakit saya sewaktu pandemik ini," kongsi Dr Norhisham.
(Gambar: BERITAmediacorp/Rosli A Razak)
Menurut beliau, pandemik itu sudah meninggalkan banyak pengajaran buat masyarakat. Ini termasuk pentingnya sokongan keluarga.
"Secara umum, pandemik itu menunjukkan bahawa kita masih berkebolehan dan ada daya tahan untuk menanganinya dan kita patut mengingati bahawa penyakit itu tidak memilih kaum dan tidak memilih bangsa," ujar Dr Norhisham.
"Kita patut selalu memikirkan bukan dari segi bangsa tetapi untuk menangani (COVID-19) sebagai satu negara," menurutnya lagi.
Dalam pada itu, Dr Norhisham menambah bahawa adalah penting untuk masyarakat mengambil tanggungjawab atas diri mereka sendiri serta keluarga dan rakan-rakan mereka.
JURURAWAT STAF KANAN, NAZARIA BAHARUDIN RASA TERHARU DISEBUT OLEH PM LEE
Bagi jururawat staf kanan di Institut Sains Neuro Nasional, Nur Nazaria Baharudin pula, beliau diiktiraf PM Lee atas sumbangannya menawarkan diri untuk berkhidmat di barisan hadapan secara sukarela sebanyak tiga kali.
Cik Nazaria menyumbang masa dan tenaga bagi bantu merawat ribuan pekerja hijrahan di dormitori dan CCF@EXPO.
"Saya sebenarnya berasa agak terkejut dan terharu yang saya disebut oleh PM Lee. Sekurang-kurangnya ini sebagai penghargaan kepada kami pekerja barisan hadapan," luah Cik Nazaria.
"Motivasinya ialah kalau boleh, saya ingin semua kaum jururawat yang lain juga kalau ada masa akan datang bila-bila masa pandemik akan timbul sekali lagi, mana tahu? Semua jangan takut untuk memeranginya," tambahnya lagi.
(Gambar: BERITAmediacorp/Rosli A Razak)
Menurut jururawat staf kanan ini, pada mulanya beliau juga ada perasaan "ragu-ragu" memandangkan COVID-19 merupakan satu situasi yang baru dihadapi buat pertama kali.
"Namun selepas suami dan anak-anak memberi sokongan kepada saya untuk terus berkhidmat di barisan hadapan, saya terima dengan seadanya," ujar Cik Nazaria.
Bagi Cik Nazaria, keutamaan diberikan untuk membantu para pesakit yang memerlukan di waktu yang mencabar ini.
Dalam ucapannya di NDR, PM Lee juga mengumumkan bahawa pemerintah akan menyampaikan satu anugerah baru yang dipanggil Pingat Daya Tahan COVID-19 kepada semua individu dan kumpulan yang terlibat secara langsung dalam memerangi pandemik itu.
Ini sebagai mengiktiraf dan menghargai pengorbanan dan semangat kemasyarakatan mereka.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.