Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

NDR2022: Inisiatif baru dilakar bagi bantu S'pura rebut 'peluang' pikat bakat terbaik dari seluruh dunia

Beberapa inisiatif baru akan diperkenalkan Singapura untuk "menarik bakat-bakat terbaik dari seluruh dunia", sedang negara ini berusaha mencipta kelebihan dalam persaingan global untuk bakat, kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada Ahad (21 Ogos).

Anggaran Waktu Membaca:
NDR2022: Inisiatif baru dilakar bagi bantu S'pura rebut 'peluang' pikat bakat terbaik dari seluruh dunia

(Gambar fail: Jeremy Long)

Diterbitkan : 21 Aug 2022 10:45PM Dikemas Kini : 21 Aug 2022 11:31PM

SINGAPURA: Beberapa inisiatif baru akan diperkenalkan Singapura untuk "menarik bakat-bakat terbaik dari seluruh dunia", sedang negara ini berusaha mencipta kelebihan dalam persaingan global untuk bakat, kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada Ahad (21 Ogos).

Dalam ucapan Rapat Umum Hari Kebangsaan hari ini, Encik Lee menarik perhatian bahawa Singapura sudah pun mempunyai skim-skim untuk memikat dan mengekalkan bakat-bakat utama dari seluruh dunia, terutama sekali bagi industri teknologi namun menambah bahawa negara ini perlu lakukan lebih banyak lagi, terutama sekali dalam sektor-sektor yang ada potensi yang baik.

PM Lee juga berkata bahawa Kementerian Tenaga Manusia, Kementerian Perdagangan dan Perusahaan dan agensi-agensi ekonomi akan mengumumkan inisiatif-inisiatif baru bagi mencapai matlamat itu, tidak lama lagi.

Beliau menambah bahawa inisiatif-inisiatif itu dilakarkan sedang beberapa negara lain mengambil langkah khusus untuk memikat bakat-bakat terbaik dari seluruh dunia. Jerman misalnya baru-baru ini membenarkan karyawan asing yang berkemahiran untuk menetap di sana meskipun jika mereka belum lagi mendapatkan pekerjaan. Britain pula mahu memikat bakat-bakat yang terbaik di permulaan kerjaya mereka.

"Ia baru-baru ini memperkenalkan visa khusus bagi para graduan dari 50 universiti terbaik dari seluruh dunia di luar Britain. Ini termasuk Universiti Nasional Singapura dan Universiti Teknologi Singapura," kata Encik Lee.

Beliau menambah bahawa Singapura kini mempunyai peluang untuk memikat bakat-bakat asing yang terbaik sedang reputasi Singapura sebagai sebuah negara yang bermutu dengan kebolehpercayaan dan kecekapan memberikannya kelebihan daya saing dan juga ia tampil lebih menonjol dengan prestasi baiknya dalam menangani pandemik COVID-19.

Menurut PM Lee: "Jika kita boleh dapatkan individu yang diingini untuk datang ke sini, ini benar-benar akan membantu Singapura untuk lebih menonjol sebagai sebuah hab inovasi, keusahawanan dan perkembangan.

"Ia juga akan mendorong bakat-bakat kita sendiri untuk kekal di Singapura, untuk mengambil bahagian dalam pembangunan sebuah negara yang dinamik dan menonjol."

PM Lee juga memberi jaminan bahawa Pemerintah akan melakukan sedaya upaya untuk mengembangkan bakat tempatan dan membangunkan kumpulan bakat bertaraf antarabangsa. 

Namun apabila bercakap tentang bakat-bakat terbaik, beliau menambah bahawa Singapura "tidak akan pernah mempunyai bakat-bakat terbaik yang mencukupi".

Menurut PM Lee, ia juga mustahil bagi Singapura untuk berkembang atau menghasilkan sesuatu yang diperlukan sendiri, mahupun menggunakan segalanya yang ia hasilkan, iaitu seperti cip komputer dan produk farmaseutikal.

"Untuk menyara kehidupan, kita akan sentiasa perlukan pelaburan asing, pasaran luar negara dan rangkaian pengangkutan dan komunikasi yang terbaik dengan seluruh pelosok dunia," kata Encik Lee yang menyampaikan ucapannya di ibu pejabat Institut Pendidikan Teknikal di Ang Mo Kio.
 

Sumber : Today/HA/ha

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa