Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

NDR2022: Dasar pendidikan, kurikulum tetap berteraskan nilai kekeluargaan sedia ada, kata MOE

Anggaran Waktu Membaca:
NDR2022: Dasar pendidikan, kurikulum tetap berteraskan nilai kekeluargaan sedia ada, kata MOE

Bangunan Kementerian Pendidikan (MOE) (Gambar: Alvin Chong)

Diterbitkan : 22 Aug 2022 05:02PM Dikemas Kini : 22 Aug 2022 07:26PM

SINGAPURA: Dasar pendidikan dan kurikulum sekolah akan tetap berteraskan nilai-nilai kekeluargaan dan norma sosial sedia ada di Singapura, menurut Kementerian Pendidikan (MOE) pada Isnin (22 Ogos). 

Kenyataan MOE itu menyusuli pengumuman Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada Ahad (21 Ogos) bahawa Singapura akan memansuhkan Seksyen 377A Kanun Keseksaan, dan mengambil langkah untuk melindungi pentakrifan perkahwinan - diiktiraf oleh undang-undang sebagai  antara seorang lelaki dan seorang wanita - daripada dicabar di mahkamah. 

Dalam ucapan beliau di Rapat Umum Hari Kebangsaannya, Encik Lee menarik perhatian bahawa Pemerintah tidak berniat untuk meminda dasar-dasar negara berhubung pendidikan, perumahan awam, peraturan pengambilan anak angkat, piawai pengiklanan dan klasifikasi filem. 

Dalam satu kenyataan pada Isnin (22 Ogos), MOE menyatakan: "Dasar pendidikan dan kurikulum kami akan tetap berteraskan pada nilai-nilai kekeluargaan dan norma sosial, yang dipegang sebilangan besar warga Singapura". 

"Ini termasuk keluarga sebagai tunggak utama fabrik sosial kita, dan perkahwinan  antara seorang lelaki dan seorang wanita."

Pendidikan seksualiti yang diajar di sekolah akan kekal sekular, berdasarkan "nilai-nilai tradisional" dan peka terhadap masyarakat Singapura yang berbilang kaum dan agama, menurut kenyataan berkenaan. 

"Sekolah-sekolah dan Institut Pengajian Tinggi (IHL) di Singapura mesti terus menjadi  ruang yang selamat untuk meraih pengetahuan, dan bukan dijadikan tempat untuk menyokong atau membangkang isu-isu yang memecah-belahkan masyarakat. Norma kekeluargaan dan sosial Singapura harus terus ditentukan oleh warga Singapura." 

Tambah MOE, institusi dan warga asing harus menghormati norma-norma tersebut, dan tidak menggunakan institusi pendidikan Singapura sebagai platform untuk memajukan agenda mereka. 

Semua murid akan belajar dan mengamalkan nilai-nilai seperti saling memahami, menghormati dan bersikap empati terhadap setiap orang, menurut MOE. 

"Budaya buli dan 'cancel', yang mana seseorang diboikot secara beramai-ramai tidak boleh berlaku di institusi-institusi pendidikan dan masyarakat kita. Institusi pendidikan kita akan terus bekerjasama dengan ibu bapa untuk membimbing anak-anak kita, dan memberikan kaunseling serta sokongan sosioemosi kepada semua pelajar, berdasarkan keperluan mereka," menurut kenyataan tersebut. 

Menurut laman web MOE, program pendidikan seksualiti mengajar pelajar tentang "pentakrifan homoseksual, peri pentingnya menghormati dan bersifat empati, serta undang-undang berhubung perbuatan homoseksual di Singapura".

Program berkenaan sejajar dengan "nilai-nilai negara untuk menggalakkan pasangan heteroseksual yang sudah berkahwin untuk menjalin hubungan yang sihat antara satu sama lain, dan  membina unit-unit keluarga nuklear yang stabil dengan sokongan keluarga besar", menurut laman web tersebut. 

Pada Julai, seorang kaunselor di Hwa Chong Institution (HCI) ditegur kerana membuat komen berunsur diskriminasi tentang masyarakat LGBT semasa menyampaikan pembentangan pendidikan mengenai seksualiti. 

Beliau mendakwa bahawa "58 peratus individu homoseksual mempunyai masalah berkaitan cacing dalam usus mereka" dan "setiap satu daripada 15 homoseksual adalah  pedofil". 

HCI menegaskan bahawa kandungan pembentangan itu di luar skop kurikulum pendidikan seksualiti MOE. Tambahnya, pandangan tersebut adalah perspektif peribadi kaunselor berkenaan. Kaunselor itu kemudian digantung daripada semua tugasnya. 

Awal Isnin (22 Ogos), Kementerian Perhubungan dan Penerangan (MCI) menyatakan kandungan media  LGBT akan terus tergolong dalam rating usia yang lebih tinggi meskipun dengan pemansuhkan Seksyen 377A. 

"Pemansuhan 377A tidak bermakna kita mengubah nada masyarakat. Pendirian ini juga ditetapkan bagi dasar-dasar kami berhubung kandungan media," menurut MCI. 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan