Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

NDR2022: Apa itu 377A? Asal usulnya? Mengapa dimansuhkan? Ini jawapannya...

Anggaran Waktu Membaca:
NDR2022: Apa itu 377A? Asal usulnya? Mengapa dimansuhkan? Ini jawapannya...

Acara Pink Dot pada 2019. (Gambar: Cindy Co)

BERITAmediacorp: Singapura hari ini (21 Ogos) memansuhkan Seksyen 377A, di samping mengumumkan langkah-langkah yang diambil untuk melindungi pendirian dan kedudukan berhubung perkahwinan. 

Banyak yang sudah diperbahaskan tentang 377A sejak akhir-akhir ini. 

Apa itu 377A? 

Bagaimana ia bermula? Mengapa pula ia dimansuhkan? 

BERITAmediacorp menjawab soalan-soalan tersebut.

APA ITU SEKSYEN 377A?

Seksyen 377A adalah undang-undang Singapura yang melarang hubungan seks sesama lelaki dan ia dianggap sebagai satu jenayah.

Di bawah 377A, mana-mana lelaki, yang sama ada di tempat awam atau tertutup, melakukan, atau bersubahat untuk melakukan, atau mendapatkan ataupun mencuba untuk mendapatkan perlakuan oleh mana-mana lelaki, sebarang perbuatan tidak senonoh dengan lelaki lain, boleh dijatuhi hukuman penjara bagi satu tempoh yang boleh dilanjutkan sehingga dua tahun.

SEJARAH RINGKAS 377A

Seksyen 377A diperkenalkan di bawah pemerintahan kolonial British. Ia kemudian dimasukkan ke dalam Kanun Keseksaan pada tahun 1938.

Undang-undang itu pada umumnya dipercayai berasal daripada keinginan kerajaan British untuk "melindungi moral masyarakat awam dengan melarang kegiatan homoseksual di Negara-Negara Selat.

Sekalipun demikian, sebuah pasukan guaman yang cuba memansuhkan undang-undang tersebut di Singapura pada 2019 berhujah bahawa dokumen-dokumen daripada Arkib Negara British mencadangkan bahawa Seksyen 377A pada asalnya bertujuan untuk menyekat penyebaran pelacuran lelaki dan bukan perbuatan seksual secara rela antara sesama lelaki.

Dokumen-dokumen tersebut menunjukkan pelacuran dalam kalangan lelaki merupakan satu masalah besar pada ketika itu, khususnya dalam kalangan pegawai perkhidmatan awam British.

Menurut penilaiannya ke atas bukti yang dikemukakan dalam usaha untuk memansuhkan undang-undang tersebut, mahkamah menyatakan tujuan perundangan 377A bukan untuk menghapuskan pelacuran lelaki sebaliknya untuk "melindungi dan menjaga moral serta akhlak awam secara amnya".

Sesungguhnya asal usul Seksyen 377A boleh dilihat sejak tahun 1860 lagi semasa ia dikanunkan sebagai Seksyen 377 dalam Kanun Keseksaan India oleh empayar British sebagai "persetubuhan luar tabii dengan mana-mana lelaki, wanita atau haiwan".

Undang-undang itu kemudian dieksport ke sekurang-kurangnya 39 tanah jajahan British di merata Asia, kepulauan Pasifik dan Afrika.

Hukuman bagi kesalahan itu adalah antara dua hingga 20 tahun penjara. Malah di tempat-tempat yang menguatkuasakan undang-undang Syariah, golongan LGBT boleh dikenakan hukuman yang lebih berat seperti dirotan.

Di Singapura, undang-undang itu kekal sebagai sebahagian daripada perlembagaan undang-undang negara selepas satu semakan dijalankan ke atas Kanun Keseksaan pada Oktober 2007. 

MENGAPA 377A KERAP DICABAR?

Menyusuli semakan Kanun Keseksaan, Pemerintah memperkenalkan Rang Undang-Undang (Pindaan) Kanun Keseksaan yang mengusulkan perubahan besar pada undang-undang. 

Topik yang menarik perhatian ramai ketika itu melibatkan Seksyen 377, yang melarang seks oral dan seks dubur antara orang dewasa yang sama-sama rela untuk berbuat demikian. Rang undang-undang itu menyarankan agar Seksyen 377 dimansuhkan tetapi memilih untuk mengekalkan Seksyen 377A, yang melarang perbuatan serupa antara golongan homoseksual.

Ini mencetuskan perbahasan hangat antara para penyokong golongan homoseksual, yang menyifatkan klausa tersebut sebagai satu diskriminasi, dengan pihak-pihak yang menyokong Seksyen 377A dikekalkan.

Sehingga hari ini, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, isu berhubung 377A terus dibangkitkan. Malah dicabar oleh sesetengah pihak menerusi beberapa wadah termasuk di mahkamah.

Sebarang perbincangan mengenai 377A membangkitkan keprihatinan, terutama sekali daripada kumpulan-kumpulan agama, bahawa ia akan disusuli dengan kes-kes mahkamah yang kemudian boleh membawa kepada undang-undang yang mengiktiraf perkahwinan antara sesama jenis.

Di bawah undang-undang Singapura, sesebuah perkahwinan hanya boleh berlaku antara seorang lelaki dan seorang wanita.

NEGARA LAIN YANG MANSUHKAN SEKSYEN 377

Bekas tanah jajahan British yang sudah memansuhkan undang-undang tersebut termasuk India, Seychelles dan Fiji.

Bhutan juga tidak lagi menganggap hubungan homoseksual sebagai satu jenayah sejak tahun lalu, menjadikan hubungan seks sesama lelaki sebagai sah di sisi undang-undang dan melonggarkan sekatan terhadap hubungan sesama jenis.

Langkah oleh negara dengan 800,000 penduduk, yang majoritinya penganut Buddha, itu diambil selepas negara-negara Asia yang lain termasuk India dan Nepal melonggarkan sekatan-sekatan ke atas hak golongan LGBT di kedua-dua negara itu.

Taiwan pula merupakan satu-satunya bidang kuasa di Asia yang mengiktiraf perkahwinan sesama jantina pada 24 Mei 2019, menurut laporan Bloomberg.

Pada bulan Jun tahun ini, Thailand meluluskan bacaan pertama bagi empat rang undang-undang berbeza berhubung perkahwinan sesama jantina, sekali gus mengorak langkah untuk menjadi negara Asia kedua yang mengesahkan perkahwinan sedemikian dari segi undang-undang, menurut Reuters.

Vietnam pula membenarkan pasangan sesama jenis untuk mengadakan majlis perkahwinan secara simbolik tetapi tidak mengiktiraf perkahwinan seumpama itu.

Hong Kong tidak membenarkannya. Namun membenarkan para pekerja ekspatriat daripada golongan gay untuk membawa masuk pasangan mereka menggunakan visa tanggungan.

Setakat ini, terdapat 32 negara di dunia, termasuk Taiwan, di mana perkahwinan sesama jantina disahkan dari segi undang-undang.

Ini termasuk Argentina, Australia, Austria, Belgium, Brazil, Kanada, Chile, Colombia, Costa Rica, Denmark, Ecuador, Finland, Perancis, Jerman, Iceland, Ireland, Luxembourg, Malta, Mexico, Belanda, New Zealand, Norway, Portugal, Slovenia, Afrika Selatan, Sepanyol, Sweden, Switzerland, Taiwan, United Kingdom, Amerika Syarikat dan Uruguay.

MENGAPA SINGAPURA MANSUHKAN 377A?

Bulan lalu, Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, K Shanmugam, berkata Pemerintah Singapura sedang meneliti dan mengkaji bagaimana ia boleh melindungi pendirian dan kedudukan undang-undang buat masa ini berhubung perkahwinan terhadap sebarang tuntutan dan pertikaian yang dikemukakan di mahkamah, sedang ia mempertimbangkan langkah-langkah seterusnya bagi Seksyen 377A dalam Kanun Keseksaan.

Melalui perbincangan meluas dengan pelbagai pihak berkepentingan, Pemerintah akur "ramai bersetuju bahawa lelaki yang mengadakan hubungan seks sesama jenis tidak patut dipenjara dan hubungan seks sesama jenis tidak sepatutnya dianggap sebagai jenayah".

Kebanyakan orang juga inginkan pendirian sedia ada berhubung perkahwinan - yang menurut undang-undang adalah antara seorang lelaki dan seorang wanita - terus dikekalkan, kata Encik Shanmugam.

Lantaran itu, Pemerintah memahami pandangan tersebut dan kini sedang mempertimbangkan cara terbaik untuk mencapai satu keseimbangan.
Sumber : BERITA Mediacorp/NK/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan