Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

NDR2022: 7 perkara utama dalam ucapan PM Lee

Anggaran Waktu Membaca:
NDR2022: 7 perkara utama dalam ucapan PM Lee

(Gambar: Try Sutrisno Foo/CNA)

Diterbitkan : 22 Aug 2022 01:26AM Dikemas Kini : 22 Aug 2022 05:20PM
SINGAPURA: Dalam ucapan Rapat Umum Hari Kebangsaan 2022 pada Ahad (21 Ogos), Perdana Menteri Lee Hsien Loong menyentuh tentang situasi COVID-19 di Singapura dan kenaikan kos sara hidup di tengah-tengah ketegangan geopolitik.

Pemansuhan Seksyen 377A dalam Kanun Keseksaan dan pentakrifan perkahwinan dalam Perlembagaan Singapura adalah antara pengumuman utama pada dasar dan perundangan yang dibuat Encik Lee sewaktu menyampaikan ucapannya di ibu pejabat ITE di Ang Mo Kio.

Sebahagian besar ucapan Perdana Menteri juga menyentuh tentang projek-projek prasarana yang akan membantu negara mengekalkan kedudukannya sebagai sebuah hab perdagangan dan penerbangan.

Berikut adalah perkara-perkara utama dalam ucapannya:

1. PELITUP TIDAK LAGI DIPERLUKAN BAGI KEBANYAKAN SITUASI

Melahirkan penghargaannya atas respons orang ramai sewaktu pandemik COVID-19, Encik Lee berkata Singapura sudah berusaha dengan gigih untuk melawan COVID-19.

Memandangkan situasi semakin stabil, pemakaian pelitup tidak lagi diwajibkan di kebanyakan tempat di dalam dan luar bangunan.

Pelitup hanya diperlukan di dalam pengangkutan awam dan kemudahan jagaan kesihatan seperti klinik, hospital dan rumah jagaan.

"Walau bagaimanapun, jangan menanggalkan pelitup anda dengan serta-merta," kata Encik Lee.

"Sila tunggu perincian Pasukan Bertindak Berbilang Kementerian berhubung COVID-19.'
2. ANUGERAH KHAS PINGAT NEGARA BAGI MEREKA YANG BANTU LAWAN PANDEMIK

Dalam ucapan Rapat Umum Hari Kebangsaannya, Encik Lee turut menyebut beberapa contoh bagaimana individu dan pertubuhan menyumbang kepada tindak balas Singapura terhadap pandemik.

Bagi mengiktiraf usaha mereka, Pemerintah akan memberikan anugerah baru untuk mereka yang terlibat secara langsung dalam usaha melawan pandemik, iaitu Pingat Daya Tahan COVID-19.

Mereka yang membuat "sumbangan luar biasa" juga akan menerima anugerah-anugerah sedia ada seperti Pingat Kepujian, Pingat Bakti Masyarakat dan Pingat Perkhidmatan Awam, kata Encik Lee.

Senarai anugerah itu akan diumumkan pada hujung tahun, dengan majlis penyampaian anugerah diadakan pada tahun depan.

3. SEKSYEN 377A DIMANSUHKAN, MANAKALA PENTAKRIFAN PERKAHWINAN AKAN TERMAKTUB DALAM PERLEMBAGAAN

Menyentuh tentang isu yang hangat diperbahaskan baru-baru ini, Encik Lee mengumumkan bahawa Seksyen 377A Kanun Keseksaan akan dimansuhkan. Undang-undang itu menetapkan hubungan seks antara lelaki sebagai satu jenayah.

Pada masa yang sama, Pemerintah juga akan meminda Perlembagaan untuk menyertakan pentakrifan perkahwinan, supaya perkara itu tidak dicabar di mahkamah.

Walaupun beliau menyifatkan Singapura sebagai "sebahagian besarnya masyarakat tradisional dengan nilai konservatif", Encik Lee menarik perhatian bahawa "seperti setiap masyarakat, kita juga akan mempunyai anggota gay".

"Mereka juga adalah warga Singapura. Mereka adalah rakan kerja kita, rakan kita, anggota keluarga kita. Mereka juga ingin hidup seperti biasa, menyertai masyarakat dan menyumbang sepenuhnya kepada Singapura," kata Perdana Menteri.

Perbahasan mengenai isu ini akan diadakan apabila perundangan dibangkitkan di Parlimen, ujar Encik Lee.

4. S'PURA MESTI BANGUNKAN KUMPULAN BAKAT BERTARAF ANTARABANGSA

Membincangkan Melakar Hala Tuju Singapura yang dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri Lawrence Wong baru-baru ini, Encik Lee menekankan apa yang perlu dilakukan untuk "memenuhi aspirasi setiap warga Singapura", sedang pasukan pemimpin generasi keempat (4G) bersiap sedia untuk menerajui Singapura.

Encik Lee berkata perkara yang utama adalah untuk membangunkan kumpulan bakat yang bertaraf antarabangsa di Singapura.

Walaupun tidak dinafikan ia penting untuk Singapura mengembangkan bakatnya sendiri dan menyediakan warga Singapura dengan peluang untuk mencapai potensi mereka sepenuhnya, "kita tidak akan mempunyai bakat terbaik yang mencukupi".

"Kita harus memberi tumpuan untuk memikat dan mengekalkan bakat, seperti mana kita menumpukan usaha untuk menarik dan mengekalkan pelaburan," katanya.

5. S'PURA PERLU BERSATU DI TENGAH-TENGAH KETEGANGAN POLITIK

Menyentuh tentang ketegangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China, serta perang yang berterusan antara Rusia dan Ukraine, Encik Lee menekankan betapa pentingnya untuk Singapura berpegang teguh pada prinsip undang-undang antarabangsa.

Kata Encik Lee, kita harus memandang serius terhadap Perkhidmatan Negara (NS). "Jika kita tidak mempertahankan diri kita, maka tiada siapa yang akan mempertahankan kita bagi pihak kita," kata Encik Lee.

Warga Singapura juga mesti kekal bersatu dan berwaspada terhadap percubaan yang memecahbelahkan kita.

"Terus berjaga-jaga terhadap sebarang anasir asing yang cuba mengambil kesempatan daripada kelemahan kita dan mempengaruhi penduduk kita demi kepentingan mereka sendiri."

Encik Lee turut mengingatkan warga Singapura supaya jangan percaya bulat-bulat apa yang dibaca online.

6. PEMERINTAH BERSEDIA LAKUKAN LEBIH LAGI UNTUK TANGANI KENAIKAN KETARA KOS SARA HIDUP

Walaupun kebanyakan sektor di Singapura sedang pulih daripada pandemik COVID-19, termasuk pelancongan dan penerbangan, perang di Ukraine "menjejas ramalan pertumbuhan kita", kata Encik Lee.

Bagi menangani kenaikan kos sara hidup di Singapura, Pemerintah "sedang melakukan segala yang diperlukan untuk menyokong warga Singapura, khususnya keluarga berpendapatan sederhana dan rendah," tambah Encik Lee.

Katanya lagi, keluarga berpendapatan sederhana dengan dua anak kecil yang menetap di flat empat bilik Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) boleh menjangkakan sokongan tambahan S$2,200 pada tahun kewangan ini.

Pada masa yang sama, keluarga berpendapatan rendah yang menetap di flat tiga bilik HDB boleh menjangkakan bantuan kira-kira S$3,700.

"Ini tidak akan meliputi sepenuhnya setiap kenaikan kos, tetapi ia akan meringankan beban ke atas keluarga Singapura," ujar Encik Lee.

7. S'PURA TERUSKAN DENGAN PROJEK PRASARANA UTAMA

Memberikan kemas kini mengenai perkembangan prasarana utama, Encik Lee berkata kemajuan Singapura berhubung Pelabuhan Tuas dan Terminal 5 Lapangan Terbang Changi memberi isyarat kepada seluruh dunia bahawa Singapura sedang bangkit lebih kukuh daripada pandemik. 

Pelabuhan Tuas kini sudah beroperasi, kata Encik Lee, sekali gus mengumumkan bahawa Fasa 1 projek tersebut sudah selesai. Pelabuhan baru itu kini berautomasi dan siap digital dan memanfaatkan Kecerdasan Buatan (AI) untuk menyelaraskan operasinya. 

Apabila siap sepenuhnya dalam masa kira-kira dua dekad kelak, "kita akan mempunyai pelabuhan berautomasi yang terbesar di dunia, dan ia akan menjadikan kita pemain global yang unggul dalam bidang maritim," kata Encik Lee. 

Mengenai Lapangan Terbang Changi pula, Perdana Menteri berkata kerja-kerja T5 sudah bermula setelah dihentikan selama dua tahun disebabkan oleh pandemik. 

Terminal itu direka semula supaya lebih berdaya tahan, membolehkannya beroperasi dengan lebih selamat dan fleksibel sewaktu pandemik, ujar Encik Lee. 

Ia juga lebih mesra alam dan lebih cekap menggunakan tenaga. 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan