NDR 2026: Sokongan keluarga, kos besarkan anak dijangka jadi tumpuan ucapan PM Wong
Menyokong keluarga di setiap peringkat kehidupan dan meringankan kos membesarkan anak dijangka menjadi inti pati ucapan Perdana Menteri Lawrence Wong pada Rapat Umum Hari Kebangsaan (NDR) pada Ahad (23 Ogos).
Para pakar berpendapat perlu adanya perubahan budaya di tempat kerja agar warga Singapura berasa lebih yakin untuk membina dan membesarkan keluarga.
Dalam Amanat Hari Kebangsaan yang disampaikan sebelum ini, PM Wong berkata pentadbirannya akan membuat semakan ketara ke atas bagaimana institusi keluarga disokong sepanjang peringkat kehidupan.
Isu-isu seperti kos membesarkan anak, akses kepada penjagaan bayi dan kanak-kanak yang dimampui serta bagaimana untuk meringankan beban ke atas keluarga dijangka disorot dalam ucapan NDR PM Wong.
Menurut para pakar, selain sokongan kewangan, budaya di tempat kerja juga perlu difikirkan semula.
"Mesyuarat berpanjangan, tugasan berlambak ... Ketidaktentuan jadual itu sudah dianggap oleh para majikan sebagai perkara biasa, bukan? Ia tidak adil bagi keluarga. Lama-kelamaan, kebiasaan itu ada kesan negatifnya, seperti yang dapat kita lihat sekarang.
"Jadi keseimbangan antara kerja dengan kehidupan kini perlu menghormati batas kehidupan berkeluarga," kata Profesor Sosiologi (Amalan), Sekolah Sains Sosial, Universiti Pengurusan Singapura (SMU), Profesor Paulin Straughan.
Lantas, Prof Straughan menyarankan agar amalan pekerja meninggalkan pekerjaan dan kemudian kembali bekerja dinormalisasikan, dengan sokongan latihan serta peningkatan kemahiran.
Pendekatan tersebut akan membolehkan para pekerja kembali ke tempat kerja dalam keadaan segar dan relevan.
Namun, bagi majikan, perkara tersebut semestinya melibatkan perancangan tenaga kerja yang teliti.
Selain sokongan buat keluarga, PM Wong juga dijangka berucap mengenai cabaran-cabaran dalam dunia yang kian berubah-ubah.
Ia termasuk teknologi yang pesat berkembang, yang menurut beliau, perlu membawa maslahat kepada rakyat Singapura dan memperkukuhkan masyarakat.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.