NDR 2026: Perniagaan sambut baik tambahan cuti penjagaan anak, tekankan perancangan tenaga kerja lebih rapi
Para peniaga menegaskan bahawa pelaksanaan cuti tambahan penjagaan anak perlu disertai perancangan tenaga kerja yang rapi. (Gambar: Hakim Irwan)
Mereka berkata langkah itu bukan sahaja boleh membantu kesejahteraan dan pengekalan pekerja, malah memerlukan majikan, khususnya SME, menyusun tugas dan operasi lebih awal agar kelancaran perniagaan tidak terjejas.
Para peniaga yang ditemui berkata demikian menyusuli pengumuman Perdana Menteri Lawrence Wong di Rapat Umum Hari Kebangsaan (NDR) tahun ini mengenai lebih banyak sokongan yang diberikan kepada keluarga untuk membesarkan anak-anak.
Antaranya, jumlah cuti penjagaan anak akan ditambah bagi ibu bapa bekerja yang mempunyai anak warga Singapura berusia 12 tahun dan ke bawah.
Pemerintah juga akan menanggung sepenuhnya kos yang ditanggung majikan bagi semua skim cuti berkaitan anak yang diwajibkan undang-undang, tertakluk kepada had bayaran balik.
LANGKAH POSITIF BUAT KELUARGA
Bagi Pengarah Eksekutif STIE, Maslina Mohamed, sokongan lebih besar kepada ibu bapa bekerja adalah penting, terutama dalam keadaan kadar kelahiran Singapura yang semakin menurun.
Beliau berkata inisiatif seperti itu membantu mewujudkan persekitaran yang lebih mesra keluarga, sekali gus memberi lebih fleksibiliti kepada pekerja untuk menguruskan keperluan anak.
"Pada saya, inisiatif seperti ini menunjukkan bahawa sokongan kepada keluarga bukan sahaja tanggungjawab individu tetapi merupakan satu usaha bersama pemerintah, majikan dan masyarakat," tambahnya.
Cik Maslina juga melihatnya sebagai pelaburan jangka panjang, kerana pekerja yang berasa disokong lebih cenderung kekal bersama syarikat dan memberi komitmen yang baik.
PERLU PERANCANGAN AWAL BAGI MEMUDAHKAN PROSES KERJA
Namun, beliau mengakui sebarang tambahan cuti tetap memerlukan perancangan kerja yang lebih teliti, terutama jika beberapa pekerja memerlukan cuti pada masa yang sama.
"Cabaran ini boleh diuruskan melalui perancangan jadual kerja yang baik, mengamalkan sistem rakan komunikasi awal dan memastikan terdapat fleksibiliti dalam pembahagian tugas," katanya.
Pandangan sama dikongsi Pengurus Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS), Sufyan Mohamad Ali, yang berkata perniagaan Melayu/Islam secara keseluruhannya melihat pengumuman itu sebagai langkah positif, walaupun pelaksanaannya perlu disusuli perancangan tenaga kerja yang rapi.
Beliau menambah bahawa bagi SME, dasar mesra keluarga bukan sahaja soal kebajikan pekerja, malah boleh menjadi sebahagian daripada strategi untuk menarik dan mengekalkan tenaga kerja.
"Apabila pekerja mendapat ruang yang mencukupi untuk memenuhi tanggungjawab keluarga, ia boleh membantu meningkatkan kesejahteraan, kepuasan kerja dan pengekalan pekerja," katanya.
Encik Sufyan juga berkata perniagaan kecil perlu mula merancang lebih awal agar operasi kerja dapat berjalan dengan lancar.
"Bagi perniagaan kecil, antara langkah yang boleh diambil ialah melatih pekerja untuk mengendalikan lebih daripada satu fungsi, memperkemaskan proses kerja dan menggunakan teknologi digital supaya operasi tidak terlalu bergantung kepada seorang individu sahaja," kata Encik Sufyan.
Pada masa yang sama, Encik Sufyan menekankan bahawa pekerja juga perlu merasa selesa menggunakan cuti yang diberikan dengan majikan memainkan peranan dengan bersikap adil kepada semua pekerja dan tidak membebankan pekerja lain dengan tugasan tambahan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.