Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

NDR 2024: Sekolah Sukan SG akan pindah ke kawasan Kallang Alive

Anggaran Waktu Membaca:
NDR 2024: Sekolah Sukan SG akan pindah ke kawasan Kallang Alive

Tangkapan skrin video Pejabat Perdana Menteri

SINGAPURA: Dua dekad selepas ia membuka pintunya, kampus Sekolah Sukan Singapura akan berpindah dari Woodlands ke Kallang, di bawah Pelan Induk Kallang Alive.

Berucap di Rapat Umum Hari Kebangsaan pertama beliau pada Ahad (18 Ogos) di Kolej ITE Tengah, Perdana Menteri Lawrence Wong berkata ia akan membolehkan atlet pelajar peluang untuk belajar dan berlatih bersama atlet lebih tua.

Sekolah itu dibuka secara rasmi pada April 2004, dan melahirkan alumni terkenal termasuk pemain badminton Loh Kean Yew dan ratu pecut Shanti Pereira.

Sambil menggelar Kallang sebagai 'rumah" baharu Team Singapore, PM Wong juga mengumumkan rancangan bagi penubuhan kemudahan sains sukan dan perubatan sukan, serta pusat latihan nasional bagi beberapa "sukan utama" yang akan disepadukan di Kallang.

Menjelaskan lebih lanjut pengumuman yang dibuat awal tahun ini bahawa Stadium Tertutup Singapura akan digantikan dengan sebuah arena baharu, PM Wong mendedahkan bahawa kemudahan itu mempunyai kapasiti lebih besar, yang dapat menampung 18,000 orang.
"Kami boleh menganjurkan lebih banyak acara berperingkat tinggi. Atlet kami boleh bertanding di tanah air dan rakyat Singapura mempunyai lebih banyak peluang untuk menyokong mereka," tambah PM Wong.

PELUANG BUAT SEMUA

Dalam ucapannya, PM Wong berkata bahawa Kallang akan menjadi tempat di mana setiap rakyat Singapura boleh menikmati aktiviti sukan.

Sebagai sebahagian daripada rancangan tersebut, jalan utama yang menghubungkan Hab Sukan akan dijadikan ruang mesra pejalan kaki buat masyarakat.

"Kami akan menambah lebih banyak kemudahan dan program sukan di sepanjang jalan ini supaya lebih ramai orang dapat menikmatinya," tambah beliau.

"Kami akan menjadikan Kallang sebuah destinasi gaya hidup baharu untuk orang ramai menyaksikan lebih banyak acara sukan dan hiburan; mengambil bahagian dalam aktiviti sukan, dan meluangkan masa bersama keluarga."
KUKUHKAN BUDAYA SUKAN

PM Wong juga bercakap tentang Sukan Olimpik Paris yang baru tamat, di mana 23 atlet daripada 11 sukan mewakili Singapura.

Kontinjen tersebut pulang dengan satu pingat Olimpik, yang pertama sejak lapan tahun buat Singapura, hasil atlet 'kitefoil' Maximilian Maeder. Atlet 17 tahun itu merupakan atlet Singapura termuda untuk merangkul pingat Olimpik.
"Anda lihat semangat tidak mudah berputus asa dalam atlet kita. Seperti Shanti Pereira. Dia adalah atlet terpantas kita. Malangnya, dia mengalami kecederaan sebelum Sukan Olimpik," kata Encik Wong.

"Namun dia reda, dan seperti yang dikatakannya "ia adalah sebahagian daripada perjalanan saya ... ia akan membuat saya lebih kuat".

"Dan saya tidak meragui kata-katanya. Semua atlet kita memberi yang terbaik dan bertanding dengan berani menentang atlet terbaik dunia," tambahnya.

Sukan Paralimpik akan diadakan mulai 28 Ogos hingga 8 September.

"Kami juga amat bangga dengan atlet para kita yang mengharungi pelbagai cabaran untuk menyerlah dalam sukan masing-masing," kata PM Wong.

Beberapa atlet Team Singapore termasuk Maeder, pemain badminton Yeo Jia Min, pelayar Ryan Lo dijemput dan hadir pada rapat itu, yang diadakan di Ibu Pejabat Institut Pendidikan Teknikal (ITE) di Ang Mo Kio.

Lebih banyak lagi akan dibuat untuk mengukuhkan budaya sukan di Singapura, tambah Encik Wong.

Salah satunya adalah menerusi Cabaran Presiden, di mana masyarakat akan "dikerah" untuk bekerjasama dengan pemerintah untuk memupuk bakat dalam sukan, termasuk mereka daripada latar belakang serba kekurangan.

"Saya gembira lebih ramai rakyat Singapura yang berbakat dalam sukan memandangnya dengan lebih serius dan berjaya di peringkat tertinggi. Pandangan mereka kini semakin berubah," katanya.

"Pada masa lalu, ibu bapa tidak pasti untuk membenarkan anak-anak mereka menjadi atlet sebagai kerjaya. Kini, kami melihat lebih ramai contoh yang berjaya ... Lebih ramai atlet muda memandang serius penglibatan mereka dalam sukan dan berlatih sepenuh masa, dengan sokongan pemerintah."
Sumber : CNA/AE/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan