NDR 2024: "Saya akan pastikan semua anggota masyarakat Melayu/Islam meraih manfaat daripada kemajuan negara": PM Wong
Perdana Menteri Lawrence Wong menyampaikan ucapan Rapat Umum Hari Kebangsaan sulung beliau pada Ahad (18 Ogos) di Kolej Tengah ITE. (Gambar: MDDI)
SINGAPURA: Perdana Menteri Lawrence Wong berkata Singapura mencapai kemajuan hasil kerjasama dan kepercayaan yang sudah lama terjalin antara masyarakat Melayu dan masyarakat lain serta para pemimpin negara.
Ia termasuk meningkatkan pencapaian pendidikan, membanteras fahaman radikal dan pengganasan, serta usaha memperbaiki kehidupan golongan yang memerlukan.
Beliau berkata demikian dalam ucapan Rapat Umum Hari Kebangsaan bahasa Melayu yang disampaikan pada Ahad (18 Ogos), di ITE Kolej Tengah.
"Kita telah menangani isu-isu ini dengan telus dan berani. Setiap kali, masyarakat Melayu/Islam kita berganding bahu dengan penuh azam, dipacu semangat gotong-royong yang padu. Setiap kali itu juga, anda menjaga antara satu sama lain dan sama-sama meraikan kejayaan anda," kata PM Wong.
PM Wong turut mengumumkan projek yang dinamakan Kolej Pengajian Islam Singapura, yang dijangka melahirkan para pemimpin Islam Singapura masa depan.
Butiran projek tersebut akan diumumkan kelak.
Dalam ucapannya itu, PM Wong berjanji beliau akan meneruskan kerjasama yang kukuh dengan masyarakat Melayu/Islam bagi menangani tangani isu-isu yang dekat di hati masyarakat itu.
"Saya akan pastikan semua anggota masyarakat Melayu/Islam meraih manfaat daripada kemajuan negara kita dan mampu mainkan peranan anda sepenuhnya demi membentuk masa depan kita," jelas PM Wong.
PM Wong turut menyuarakan sokongannya dalam usaha membina sebuah masyarakat Melayu/Islam yang moden lagi progresif, di samping mengekalkan adat resam dan cara hidup masyarakat yang tersendiri.
"Saya akan terus dampingi anda dan pastikan masyarakat Melayu/Islam maju ke hadapan.
Bersama-sama para Menteri, AP dan pemimpin Melayu/Islam kita saya akan bekerjasama dengan anda demi mencapai visi kita, visi Masyarakat Gemilang," ujar PM Wong.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.