Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

NDR 2024: Penting golongan muda sumbang kembali kepada masyarakat, luaskan definisi kejayaan

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Amat menyeluruh dan mencerminkan keprihatinan pemerintah terhadap isu-isu yang dihadapi rakyat Singapura.

Beberapa pemimpin masyarakat yang ditemui selepas acara Rapat Umum Hari Kebangsaan di ibu pejabat Institut Pendidikan Teknikal (ITE) pada Ahad (18 Ogos), menganggap ucaptama NDR pertama Perdana Menteri Lawrence Wong itu juga menjadi pembakar semangat untuk golongan belia terus maju dengan definisi kejayaan yang lebih luas.

Dalam ucapannya, PM Wong antara lain berkongsi rancangan dan dasar baharu berkaitan isu-isu yang dekat di hati rakyat termasuk ekonomi, keluarga, perumahan dan pendidikan.

Ini amat dialu-alukan Menteri Kedua Ehwal Luar merangkap Pendidikan, Dr Mohamad Maliki Osman, yang berpendapat bahawa ia menunjukkan kepekaan PM Wong terhadap isu-isu yang membelenggu rakyat.

"Saya rasa banyak yang menonjol (dalam ucapannya) kerana ia menunjukkan keprihatinan Perdana Menteri kita tentang isu-isu yang dihadapi oleh Singapura dan rakyat Singapura dari segi ekonomi, kekeluargaan dan pendidikan juga. Jadi, saya rasa ia menunjukkan bahawa kita sebagai satu masyarakat dan satu negara perlu bekerjasama untuk maju ke hadapan. Apa yang menarik minat saya ialah bagaimana pemerintah terus ingin membantu menyokong keluarga kita, termasuk keluarga-keluarga muda," kongsi Dr Maliki.

"Kedua ialah keprihatinan beliau tentang bagaimana kita sebagai satu negara harus bekerjasama untuk memastikan kemajuan ekonomi kita. Di situlah penting untuk rakyat Singapura, lebih-lebih lagi para penuntut kita untuk melihat masa depan yang lebih cerah, yang telah dilakarkan oleh pemerintah dan juga kepada para pekerja mapan kita yang mungkin berasa ragu-ragu tentang apakah pandangan ekonomi hadapan dan kita menggalakkan mereka untuk meningkatkan kemahiran mereka, mengambil (peluang) dan meraikan apa yang telah diajukan oleh pemerintah," tambah beliau.

RAIKAN SEMUA DEFINISI KEJAYAAN

PM Wong turut mengingatkan semua bahawa Singapura meraikan kesemua definisi kejayaan dengan memberi beberapasuri teladan.

Penekanan terhadap definisi kejayaan yang luas itu disambut baik para pemimpin pertubuhan-pertubuhan Melayu/Islam.

Ini menurut mereka penting lebih-lebih bagi institusi pendidikan di sini untuk tidak menumpukan kepada pencapaian akademik sahaja.

"Saya juga amat tersentuh apabila PM Wong menekankan bahawa kayu ukur kejayaan bukan sahaja dari segi aspek akademik tetapi juga dalam kepelbagaian minat dan bakat. Itu penting (dalam) persekitaran sekolah-sekolah ataupun institusi pendidikan kita untuk berkembang juga dari segi apa yang ditawarkan kepada para belia dan para pelajar kita, yang bukan sahaja tertumpu kepada aspek akademik tetapi juga dari segi kemahiran hidup dan teknologi yang akan datang, yang akan mendatangkan manfaat dalam masa hadapan," kongsi Presiden Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu (4PM), Nassar Mohamad Zain.

"Rapat Umum Hari Kebangsaan kali ini menekankan beberapa perkara, antaranya pentingnya untuk kita bantu mengukuhkan institusi keluarga dan penting juga untuk Singapura secara bersama, bersatu untuk membina masa depan yang kita inginkan dan satu lagi saya percaya ialah penekanan bahawa definisi kejayaan itu adalah sesuatu yang boleh kita miliki dan boleh kita menggubal dan menggubah menurut kesesuaian, kecenderungan dan mungkin kelebihan kita," menurut Presiden Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS), Hazlina Abdul Halim.

PM WONG GEMBIRA LIHAT YANG BERJAYA SUMBANG KEMBALI

Dalam meraikan kejayaan individu-individu yang cemerlang dalam bidang masing-masing, PM Wong juga melahirkan rasa gembira melihat usaha mereka untuk terus berbakti dan menyumbang kembali kepada masyarakat.

Gambar: Cellbae

Antaranya ialah Dr Muhammad Nadjad, seorang saintis di sebuah syarikat bioteknologi, Cellbae, yang membangunkan kit ujian COVID pertama di Singapura.

"Insya-Allah sebagai seorang karyawan muda, saya akan cuba cari cara-cara untuk berbakti kepada masyarakat terutama sekali dalam bidang Sains dan Teknologi. Sebagai contoh, saya mengetuai rangkaian karyawan untuk Sains Kehidupan yang dianjurkan oleh MENDAKI," kongsi Dr Nadjad kepada wartawan Nazirah Jamzuri.

"Untuk saya, ini adalah satu tanggungjawab untuk semua yang berjaya dan sebagai seorang Muslim, ia boleh dikatakan sebagai satu fardu kifayah untuk kita memperjuangkan dalam masyarakat kita," tambah saintis berusia 36 tahun itu.

Ini semua dilakukan Dr Nadjad di tengah-tengah kesibukan beliau membantu syarikatnya untuk menebarkan sayap ke Arab Saudi pula.

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan