Skip to main content

Singapura

NDR 2024: Pemerintah komited pelihara kedwibahasaan, lebih ramai pelajar akan dibenarkan ambil subjek Bahasa Ibunda Lanjutan

Anggaran Waktu Membaca:
NDR 2024: Pemerintah komited pelihara  kedwibahasaan, lebih ramai pelajar akan dibenarkan ambil subjek Bahasa Ibunda Lanjutan

Para pelajar sekolah rendah dalam satu bilik darjah di Singapura. (Gambar: Facebook/Chan Chun Sing)

Diterbitkan : 18 Aug 2024 08:30PM Dikemas Kini : 18 Aug 2024 09:43PM
SINGAPURA: Pelajar yang cemerlang dalam bahasa ibunda mereka - Cina, Melayu atau Tamil, akan boleh mengambil matapelajaran itu di peringkat lebih tinggi dari Menengah 1.

Berucap dalam bahasa Mandarin di Rapat Umum Hari Kebangsaan yang berlangsung di ibu pejabat ITE di Ang Mo Kio pada Ahad ( 18 Ogos), Perdana Menteri Lawrence Wong berkata ia adalah sebahagian usaha untuk memupuk kemahiran dalam bahasa ibunda.

"Justeru, kami akan menyesuaikan dasar supaya pelajar yang cemerlang dalam bahasa Cina boleh ambil matapelajaran Bahasa Cina Lanjutan dari Menengah Satu, kata PM Wong, sambil menambah butiran lanjut akan diumumkan Kementerian Pendidikan (MOE), kelak.

Tambahnya, pemerintah komited untuk memelihara dasar dwi bahasa.

Buat masa ini, pelajar perlu memenuhi skor Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) tertentu untuk layak mengambil Bahasa Ibunda Lanjutan di peringkat menengah.

Namun, kata PM Wong, ada sebilangan murid yang tidak memenuhi kriteria disebabkan skor PSLE mereka tetapi mendapat markah baik bagi subjek Cina.

Bagi kumpulan itu, pemerintah akan menyediakan peluang untuk membangunkan keupayaan mereka.

Tambahnya, perubahan dibuat sepanjang beberapa tahun lalu untuk merangsang jumlah murid yang mengambil bahasa ibunda di peringkat lebih tinggi.

Berikan itu, lebih ramai murid sekolah rendah kata beliau kini mengambil Bahasa Mandarin Lanjutan memandangkan ia kini ditawarkan juga kepada murid-murid Darjah 3 dan 4 di beberapa sekolah bukan SAP.

Sejak 2022, MOE juga menawarkan Bahasa Melayu Lanjutan dan Bahasa Tamil Lanjutan kepada murid Darjah 3 dan pada 2023 diluaskan kepada murid di Darjah 4.

PM Wong turut mengenang sumbangan generasi Perintis dan Merdeka, dalam ucapannya dnegan berkata Pemerintah akan terus menyokong keperluan mereka.

Selain membantu warga emas, beliau turut menyorot langkah-langkah baharu untuk meringankan beban kos sara hidup yang meningkat.

Ini termasuk dalam bentuk baucar Baucar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) dan rebat utiliti.

Beliau juga menyentuh isu kos niaga yang dihadapi syarikat-syarikat kecil dan sederhana (SME).

Sehubungan itu, Pemerintah akan memudahkan proses pematuhan dan kawal selia untuk membantu mengurangkan perbelanjaan bagi syarikat-syarikat tersebut.

Menggulung ucapan beliau dalan bahasa Mandarin, PM Wong berkata kepelbagaian budaya Singapura yang kaya sama seperti 'nasi kari Hainan', yang secara kebetulan turut dihidangkan bagi jamuan bufet Rapat Umum.

Hidangan unik itu tambah PM Wong, hanya boleh didapati dalam sebuah masyarakat yang inklusif dan berbilang budaya.
Sumber : CNA/IA/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita