Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

NDR 2024: Pekerja diberhentikan boleh dapat sehingga S$6,000

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 18 Aug 2024 09:45PM Dikemas Kini : 19 Aug 2024 12:31AM
SINGAPURA: Lebih banyak bantuan akan diberikan kepada rakyat Singapura untuk kekal berdaya saing di tengah-tengah perubahan ekonomi.

Demikian menurut Perdana Menteri Lawrence Wong di Rapat Umum Hari Kebangsaan yang disampaikan pada Ahad (18 Ogos), di Kolej ITE Tengah.

PM Wong mengumumkan Skim Bantuan Pencari Kerja SkillsFuture yang akan memberi tumpuan kepada usaha membantu pekerja berpendapatan rendah dan pertengahan yang kehilangan kerja "untuk menangani cabaran tersebut dan bangkit semula".

Skim itu yang dibangunkan dengan perbincangan Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) dan pergerakan buruh, menyediakan jumlah sehingga S$6,000 bagi tempoh sehingga enam bulan.

Namun, Encik Wong berkata mereka yang menerima sokongan "mesti mainkan peranan juga", dengan mengikuti latihan, bimbingan kerjaya dan perkhidmatan pemadanan pekerjaan.

"Ini adalah pelaburan penting yang perlu anda lakukan dalam diri anda untuk mencari pekerjaan yang lebih baik," kata Perdana Menteri.

“Ini adalah intipati kompak sosial kami yang diperbaharui. Kami akan menyokong anda, kami akan berdiri di sisi anda; tetapi anda juga mesti bertanggungjawab atas tindakan anda, dan berusaha untuk bangkitkan diri."

Encik Wong berkata Menteri Tenaga Manusia Tan See Leng akan memberikan butiran lanjut mengenai skim baharu itu.

Encik Wong, kali pertama membangkitkan idea sokongan bagi yang menganggur pada September tahun lalu, sebelum bercakap mengenai pertimbangannya dalam melaksanakan skim sedemikian semasa ucapan Belanjawan beliau pada Februari.

Pada Ahad, beliau berkata Pemerintah telah mengkaji sejak sekian lama bagaimana untuk membantu mereka yang menganggur contohnya melalui pemberhentian atau syarikat yang muflis.

"Sesetengah negara mempunyai insurans pengangguran," kata Encik Wong. "Tetapi pengalaman itu tidak selalu positif, kerana selepas mendapat faedah yang besar, orang itu mungkin merasa lebih menarik untuk kekal menganggur daripada kembali bekerja."

"Sebab itu Pemerintah sentiasa berhati-hati dengan skim sebegini," katanya.

Pada masa yang sama, apabila seeorang hilang pekerjaa nia boleh secara "serius menjejaskan kestabilan pekerja dan keluarga mereka", tambahnya.

"Kita perlu melakukan sesuatu - untuk mengurangkan tekanan kepada mereka yang terjejas."

Skim baharu itu diumumkan di tengah-tengah siri pemberhentian berprofil tinggi, dengan bilangan pemberhentian pekerja pada 2023 meningkat dua kali ganda berbanding tahun sebelumnya.

Firma seperti Lazada, Amazon, Shopback, Ninja Van dan Citi adalah antara yang mengumumkan pemberhentian kerja sejak kebelakangan ini.

ELAUN LATIHAN UNTUK PEKERJA SAMBILAN

Encik Wong juga menyentuh tentang program Peningkatan Kemahiran SkillsFuture, yang pertama kali diumumkan pada Februari semasa ucapan Belanjawannya.

Skim itu menyediakan semua warga Singapura berumur 40 tahun ke atas dengan tokokan kredit SkillsFuture sebanyak S$4,000.

Di bawah program itu, elaun latihan juga akan diberikan mulai tahun depan, menyediakan sehingga S$3,000 sebulan bagi mereka yang mengambil cuti dari kerja untuk belajar sepenuh masa.

Bagaimanapun, Encik Wong berkata ada yang mungkin bertanya tentang sokongan bagi mereka yang mengambil kursus sambilan.

“Mereka sudah tentu akan terus menerima gaji, tetapi bukan mudah untuk bekerja dan pergi ke kelas selepas itu. Terdapat juga perbelanjaan yang berkaitan dengan latihan, seperti yuran dan buku," katanya.

"Jadi kami akan melanjutkan sebahagian daripada elaun latihan kepada mereka yang menghadiri kursus sambilan juga."

Encik Wong menambah bahawa Kementerian Pendidikan sedang mengusahakan perkara itu dan akan berkongsi butiran lanjut apabila ia siap kelak.
 
Sumber : CNA/IA/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan