Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

NDR 2024: Ikhlas, peka dengan keprihatinan rakyat - reaksi ucaptama sulung PM Wong

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Kepelbagaian definisi kejayaan diraikan menerusi barisan suri teladan yang diketengahkan Perdana Menteri Lawrence Wong dalam ucapan bahasa Melayu di Rapat Umum Hari Kebangsaan sulung beliau.

Ini termasuk saintis, Dr Muhammad Nadjad yang menghasilkan kit ujian pertama di Singapura serta ahli perniagaan Hafiz Kasman yang berjaya menembusi pasaran Indonesia.

Sebagai Pengasas & Pengarah syarikat Kinobi, Encik Hafiz merasakan ada dua kelebihan yang dimilikinya sebagai anak Melayu Singapura yang memberikannya kelebihan.

"Saya sebenarnya ada dua aset yang khusus untuk anak muda Singapura iaitu nombor satu, asas-asas yang dibangunkan di Singapura dari perspektif pendidikan dan profesionalisme dan kedua adalah sebenarnya bahasa Melayu.

"Bahasa Melayu itu sebenarnya sangat membantu saya mempereratkan silaturahim dengan teman-teman di negara tetangga kami iaitu Malaysia dan Indonesia," kata Encik Hafiz.

Penghargaan juga diberi kepada Presiden Kanan wanita Mahkamah Syariah pertama Singapura, Guy Ghazali yang menerajui beberapa usaha yang membawa kesan kepada bidang perundangan dan membuka jalan bagi pemimpin wanita generasi akan datang.

PM Wong juga meraikan pencapaian Nabillah Jalal, anak Melayu Singapura pertama yang belajar di Royal College of Music di London.

"Seperti mana dikatakan oleh PM Wong kita harus meluaskan definisi kejayaan lebih dari segi akademik sahaja. Dari itu, saya mulakan program ArtSee! di mana ia adalah satu program pementoran muzik dan juga mentor daripada masyarakat untuk memupuk sifat-sifat positif kepada murid-murid kita.

"Dari itu, kami menunjukkan kepada mereka bahawa akademik bukan segala-galanya dan dengan itu, kita sudah berjaya sebagai satu masyarakat," ujar Cik Nabillah.

UCAPTAMA SULUNG PM LAWRENCE WONG DI NDR

Para pemimpin masyarakat yang ditemui di acara rata-rata terharu dengan keikhlasan dan kesungguhan PM Wong yang dipamerkan beliau dalam Rapat Umum Hari Kebangsaan yang pertama bagi beliau sejak menyandang jawatan Perdana Menteri kira-kira tiga bulan lalu.

Ini termasuk dasar-dasar baharu yang mencerminkan kepekaannya terhadap keprihatinan masyarakat.

"Saya terharu dengan apa yang dikatakan oleh Perdana Menteri tentang visi beliau untuk Singapura di mana kemajuan kita, negara kita diraih bersama dan bukan untuk satu segmen sahaja dan beliau juga telah menekankan bertapa pentingkan masyarakat Melayu/Islam kita dalam membangunkan kemajuan negara kita," kata Anggota Parlimen GRC Chua Chu Kang, Zhulkarnain Abdul Rahim.

"Banyak yang diumumkan oleh Perdana Menteri tetapi yang paling menonjol adalah beliau mendengar apakah rintihan, apakah inisiatif-inisiatif atau maklum balas daripada masyarakat," kata Pengarah Divisyen Operasi dan Mobilisasi NTUC, Fahmi Aliman yang juga merupakan Datuk Bandar Daerah Tenggara.

Para hadirin NDR yang ditemui juga teruja mendengar kefasihan PM Wong berucap dalam bahasa kebangsaan iaitu bahasa Melayu.

Dalam ucapannya, PM Wong berkata beliau sedang tekun belajar dan berharap penguasaan bahasa Melayunya akan bertambah baik.

"Saya berharap PM Wong akan terus berusaha untuk menguasai bahasa-bahasa yang sedang beliau cuba dengan yang paling saya rasa harus kita fikirkan penekanan beliau tentang pentingnya menguasai bahasa kerana menerusi bahasa ini kita dapat mempertingkatkan sebenarnya mutu kita berhubung antara satu sama lain dan pendekatan ini.

"Saya percaya adalah di antara salah satu usaha untuk kita cuba bersama supaya kita dapat bendung sebarang kesalahfahaman," kata Presiden Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS), Hazlina Abdul Halim.
Sumber : BERITA Mediacorp/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan