NDR 2024: Golongan bapa mahu main peranan lebih aktif, sambut baik skim cuti ibu bapa dipertingkat
SINGAPURA: Walaupun sibuk dengan kerjayanya sebagai seorang teknisyen, Encik Aminudin Zaki Ramli, 41 tahun tetap mahu memainkan peranan lebih aktif sebagai seorang bapa.
Sebagai ayah kepada tiga anak perempuan yang berusia antara lima hingga 11 tahun, beliau sangat peka tentang cabaran serta pengorbanan yang diperlukan untuk membesarkan anak-anak.
Beliau menyambut baik dan teruja dengan pengumuman PM Wong semasa NDR kelmarin (18 Ogos) tentang cuti ibu bapa yang dipertingkat.
Berdasarkan pengalamannya sendiri, beliau berkongsi dengan wartawan Nur Arina Ahmad Anis mengenai kepentingan cuti paterniti bagi mengurangkan tekanan yang dihadapi oleh para ibu dalam fasa awal kelahiran anak.
PERANAN BAPA BUKAN SARA KELUARGA SAHAJA
Di bawah skim baharu yang diumumkan, ibu bapa boleh mengambil cuti dikongsi tambahan sebanyak 10 minggu.
Jumlah cuti paterniti wajib yang ditanggung pemerintah juga digandakan kepada 4 minggu.
Dengan cuti paterniti yang lebih panjang, Encik Aminudin berkata bahawa ia semestinya akan membantu golongan bapa memainkan peranan yang lebih aktif.
Malah katanya, sokongan daripada suami juga penting bagi mengelak kemungkinan si isteri alami kemurungan selepas bersalin.
"Kemurungan selepas bersalin adalah sesuatu yang nyata. Jadi kita tidak boleh mengambil ringan. Jadi saya mesti jaga isteri saya supaya dia tidak mengalami kemurungan selepas bersalin. Sebab setiap anak memiliki kerenah berbeza," kata Encik Aminudin.
Menurut beliau lagi, sebagai bapa terutamanya mereka yang pertama kali menimang cahaya mata, antara cabaran besar yang perlu diatasi ialah menyesuaikan diri dengan rutin baharu.
Misalnya, waktu jam tidur yang tidak tentu disebabkan anak baru lahir yang kerap bangun untuk susu.
"Dengan cuti paterniti yang dipertingkat ini, ia lebih kurang membantu kita untuk berehat. Selain menjaga isteri dan anak-anak, kita juga perlu menjaga diri kita. Ini supaya kita boleh menjaga keluarga kita bukan? Oleh itu, cuti tambahan itu sangat penting. Saya harap dapat menjadi penyokong yang baik dan sentiasa bersedia untuk membantu isteri dalam rutin kerja rumah ataupun jaga anak-anak," luah Encik Aminudin lagi yang masih inginkan lagi cahaya mata.
MANFAAT APABILA KAUM BAPA LEBIH AKTIF DALAM PEMBESARAN ANAK
Bagi gerakan Bapa Sepanjang Hayat (BSH) , skim cuti yang dipertingkat itu mencerminkan kesungguhan pemerintah dalam menyokong golongan bapa memainkan peranan lebih besar dalam keluarga termasuk menjaga anak dan melakukan kerja rumah.
Anggota BSH, Muhammad Khair Sami'an berkata, "Seorang bapa boleh mengambil cuti untuk mengambil alih masa daripada seorang ibu menjaga anaknya dan ini akan membantu seseorang ibu itu untuk kembali pulih dengan cepat dan dalam masa ini seorang bapa juga boleh memahami kerumitan untuk menjaga seorang bayi yang kecil. Pada masa yang sama, ia akan menjadi sesuatu memori yang berharga kepada kedua ibu bapa."
Tambahnya, peranan bapa dalam institusi keluarga adalah amat penting, lebih-lebih lagi pada peringkat awal, apabila bayi itu dilahirkan.
Menurut Encik Muhammad Khair: "Menerusi skim yang diperkenalkan oleh pemerintah dan juga sempena bulan kebapaan yang akan datang, saya harap ia akan meningkatkan kesedaran betapa pentingnya peranan seorang bapa dalam institusi keluarga."
Skim baharu itu merupakan antara pelbagai inisiatif pemerintah untuk menyokong institusi kekeluargaan di Singapura.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.