Skip to main content

Singapura

NDR 2024: Evolusi Program Pendidikan Bijak sepanjang 4 dekad lalu

Anggaran Waktu Membaca:
NDR 2024: Evolusi Program Pendidikan Bijak sepanjang 4 dekad lalu

Gambar: Ili Nadhirah Mansor/TODAY

SINGAPURA: Pada tahun 1984, Kementerian Pendidikan (MOE) memperkenalkan Program Pendidikan Bijak (GEP) untuk membantu pelajar berkebolehan tinggi mencapai potensi penuh mereka.

Kumpulan pelajar pertama GEP terdiri daripada 100 murid Darjah 4 dan 100 pelajar Menengah 1. Kini, 370 hingga 400 murid sekolah rendah, atau 1 peratus kohort tersebut diterima masuk ke dalam GEP setiap tahun.

Dalam ucapan Rapat Umum Hari Kebangsaan sulungnya pada Ahad (18 Ogos), Perdana Menteri Lawrence Wong mengumumkan bahawa program tersebut akandiperbaharui untuk melibatkan pelajar yang berkebolehan tinggi di semua sekolah rendah.

"Setiap sekolah rendah akan mempunyai program sendiri untuk mengembangkan potensi pelajar-pelajar ini berdasarkan kekuatan dan minat masing-masing," katanya.

Mediacorp meninjau evolusi GEP sejak 40 tahun lalu.

1981: Mantan Menteri Negara Pendidikan Tay Eng Soon memimpin sebuah pasukan untuk mengkaji program pendidikan bijak di Rusia, Jerman dan Israel. Mereka memutuskan model Israel, yang menyediakan pembelajaran dalam bilik darjah khusus bagi pelajar bijak yang lebih cenderung dalam bidang akademik, sebagai paling sesuai bagi Singapura.

1983: Kertas konsep "Projek Bijak" itu dilakarkan, yang memperincikan antara lain tujuan GEP. MOE kemudian menubuhkan Cawangan Pendidikan Bijak itu pada Mei 1983 untuk memilih guru dan pelajar bagi GEP, mengendalikan sesi latihan guru dan mempersiapkan kurikulum GEP itu.

Pada hujung tahun itu, kira-kira 40,000 murid Darjah 3 melalui ujian pemilihan pertama, di mana 100 daripadanya dipilih bagi projek rintis di Sekolah Rendah Perempuan Raffles dan Sekolah Rosyth.

Pelajar yang muncul sebagai antara 5 peratus teratas dalam Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) juga diuji, di mana 100 daripada mereka dipilih bagi projek rintis GEP tersebut di Raffles Institution dan Sekolah Perempuan Raffles.

1984: GEP bermula dan ditawarkan di lebih banyak sekolah pada tahun-tahun selepas itu. Menjelang 2003, sebanyak sembilan sekolah rendah dan tujuh sekolah menengah menawarkan program tersebut.

2004: MOE memperkenalkan Program Bersepadu (IP) bagi pelajar sekolah menengah, di mana mereka tidak perlu menduduki peperiksaan GCE Peringkat O, sebagai sebahagian daripada program enam tahun. Pelajar tersebut tamat pengajian dengan sijil GCE Peringkat A, Diploma International Baccalaureate (IB) atau Diploma Sekolah Tinggi NUS bergantung kepada sekolah IP mereka.

2005: Sebuah kajian menunjukkan sebilangan pelajar GEP sukar menguruskan kelas mereka dan rasa tersisih daripada rakan sebaya mereka.

2008: Dalam menangani kritikan yang semakin meningkat mengenai bagaimana program tersebut menimbulkan elitisme, pelajar GEP mula menghabiskan separuh masa kukurikulum mereka dengan pelajar bukan GEP. Dengan IP menjadi pilihan lebih menarik, MOE mengambil keputusan untuk tidak lagi tawarkan GEP dalam sekolah menengah disebabkan jumlah kemasukan pelajar yang rendah. Pelajar dalam program itu sebaliknya bolehmengikuti GEP di sekolah IP.

18 Ogos 2024: Encik Wong mengumumkan GEP tidak akan diteruskan dalam bentuknya yang sedia ada dan sekolah rendah akan mempunyai program sendiri untuk membantu pelajar "mengembangkan potensi mereka berdasarkan kekuatan dan minat masing-masing".

Menteri Pendidikan Chan Chun Sing bakal mengumumkan butiran lanjut kelak.
Sumber : Today/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita