Skip to main content

Singapura

NDR 2024: 4 minggu cuti paterniti diwajibkan mulai April 2025, tambahan 10 minggu cuti ibu bapa dikongsi

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 18 Aug 2024 10:22PM Dikemas Kini : 19 Aug 2024 07:55AM
SINGAPURA: Mulai 1 April depan, cuti paterniti empat minggu dibayar pemerintah, akan diwajibkan. Buat masa ini cuti paterniti ialah dua minggu dan ia diberikan kepada bapa yang layak secara sukarela oleh majikan.

Perdana Menteri Lawrence Wong mengumumkan demikian dalam ucapan pertama beliau di Rapat Umum Hari Kebangsaan pada Ahad (18 Ogos). Ia adalah sebahagian daripada usaha untuk menggalakkan kaum bapa memainkan peranan lebih besar dalam menggalas tanggungjawab menjaga anak dan kerja rumah.

Membentangkan rancangannya untuk mewujudkan sekitaran yang lebih mesra keluarga, Encik Wong menyentuh tentang memastikan kos prasekolah kekal dimampui dan mengalakkan pembangunan kaum wanita di Singapura.

Meskipun Singapura "sudah mencapai banyak kemajuan" dalam aspek pembangunan wanita di sini, masih ada yang masih percaya bahawa "kaum bapa harus menjadi pencari nafkah, dan ibu adalah pengasuh utama".

"Ini harus berubah," ujar Encik Wong.

"Wanita hari ini mempunyai setiap peluang untuk berjaya dalam kerjaya mereka. Ini tidak mustahil bagi mereka mengejar cita-cita mereka, dan masih memikul tanggungjawab lebih berat dalam menjaga anak dan menguruskan kerja rumah."

Selain itu, Encik Wong mengumumkan, skim Cuti Dikongsi Ibu Bapa (SPL) yang baharu akan diperkenalkan, yang membenarkan ibu bapa untuk mengambil cuti dikongsi tambahan sebanyak 10 minggu. Ia akan berkuat kuasa dalam dua fasa, mulai 1 April 2025, dalam menangani kesan tenaga kerja pada majikan.

Cuti dikongsi selama 10 minggu juga akan dibiayai oleh Pemerintah.

CUTI PATERNITI DIPERTINGKAT

Dalam satu kenyataan oleh Divisyen Kependudukan dan Bakat Nasional (NPTD) di bawah Pejabat Perdana Menteri (PMO), bapa yang layak dengan bayi warga Singapura yang dilahirkan pada atau selepas 1 April 2025, boleh mengambil empat minggu cuti paterniti yang dibiayai pemerintah.

Buat masa ini, bapa bekerja yang layak mendapat cuti paterniti yang dibayar pemerintah selama dua minggu. Mereka boleh mengambil masa dua minggu tambahan jika majikan mereka membenarkannya.

Majikan yang memberikan cuti tambahan akan dibayar balik oleh Pemerintah.
Gambar: Ooi Boon Keong/TODAY
TAMBAHAN 10 MINGGU BAGI CUTI PATERNITI DI BAWAH SKIM BAHARU

Menurut NPTD skim Cuti yang Dikongsi Ibu Bapa yang baharu akan menggantikan skim sedia ada mulai 1 April 2025.

Skim sekarang membenarkan seorang ibu yang bekerja untuk berkongsi sehingga empat daripada 16 minggu cuti bersalin yang dibayar pemerintah bersama suaminya.

Di bawah pendekatan berfasa skim SPL baru, ibu bapa bekerja yang layak boleh mengambil SPL selama enam minggu dalam fasa pertama.

Fasa pertama adalah bagi ibu bekerja bapa yang bekerja dengan bayi warga Singapura dilahirkan pada atau selepas 1 April 2025,

Ini akan dinaikkan kepada 10 minggu di bawah fasa dua bagi bayi warga Singapura yang dilahirkan pada atau selepas 1 April 2026, umum Encik Wong.

Beliau berkata pendekatan berfasa ini dibuat selepas mengambil kira pertimbangan yang diutarakan pihak majikan.

“Ini adalah satu perubahan besar. Kami telah berunding dengan pihak majikan dan mereka telah meminta sedikit masa untuk menyesuaikan diri dengan perubahan sedemikian,” ujarnya.

Pemerintah akan membayar semula majikan sehingga had sedia ada - iaitu S$2,500 setiap minggu atau sekitar S$10,000 setiap bulan.

Cuti yang dikongsi itu adalah tambahan kepada cuti paterniti dan cuti bersalin yang wajib diberikan.

"Dalam erti kata lain, kaum bapa akan menerima cuti selama empat minggu. Ibu akan diberi cuti selama 16 minggu. Tambahan pula, kedua-duanya mempunyai cuti 10 minggu yang dikongsi antara mereka. Ini bermakna secara keseluruhan ibu dan bapa boleh menikmati cuti ibu bapa bergaji selama 30 minggu, atau sekitar 7.5 bulan, di mana ibu bapa boleh meluangkan masa bersama anak mereka," tambah PM Wong.

Menurut kenyataan NPTD, SPL baharu harus digunakan dalam 12 bulan pertama selepas kelahiran anak dan tempoh cuti SPL akan dibahagikan secara saksama antara kedua-dua ibu bapa secara asal.

Ibu bapa bebas mengatur semula tempoh cuti bahagian masing-masing mengikut aturan yang sesuai dengan keperluan keluarga, tambah NPTD.

Ibu bapa yang mempunyai aturan pekerjaan tidak tetap seperti pekerja kontrak jangka pendek boleh juga menuntut pembayaran balik daripada pemerintah bagi cuti yang diambil untuk menjaga bayi mereka.

Pemerintah akan mengumumkan butiran lanjut menjelang tarikh pelaksanaan skim Faedah Cuti Dikongsi Ibu Bapa (SPB).

Ibu bapa yang layak bagi SPB juga dapat menikmati SPL enam minggu atau 10 minggu.

Untuk memberikan majikan masa untuk membuat penyesuaian, pemerintah, kata NPTD akan memperkenalkan tempoh pemberitahuan minimum baru yang memerlukan pekerja memaklumkan majikan sekurang-kurangnya empat minggu sebelum mengambil mana-mana skim cuti ibu bapa.

Lebih banyak bantuan akan disediakan untuk keluarga lebih besar dalam Belanjawan seterusnya, bagi menyokong ibu bapa yang mahu mempunyai anak ketiga dan mereka yang mempunyai sekurang-kurangnya tiga anak.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita