NDP diteruskan; MINDEF akan semak skala dan langkah pengurusan selamat: Lawrence Wong
NDP adalah "acara negara yang penting (dan) bukan sekadar acara biasa", kata Encik Lawrence Wong.

Gambar fail NDP (Gambar: Raj Nadarajan/TODAY)
SINGAPURA: Sedang Singapura kembali melaksanakan ke Fasa 2 (Kewaspadaan Dipertingkat) untuk mengekang kes COVID-19 yang terus meningkat dalam masyarakat, Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) akan tetap dijalankan seperti yang dirancang dengan pihak berkuasa menyemak semula bagaimana ia akan dianjurkan dengan langkah pengurusan yang selamat.
Menjawab soalan mengenainya semasa satu sidang media, pengerusi bersama pasukan bertindak Pemerintah bagi COVID-19 Lawrence Wong berkata Hari Kebangsaan adalah "acara negara yang penting (dan) bukan sekadar acara biasa".
"Setakat ini kami merancang untuk meneruskan Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP)," katanya, sambil menambah bahawa Kementerian Pertahanan (MINDEF) sedang menyemak bagaimana perbarisan itu akan dijalankan, skalanya dan juga semua langkah pengurusan keselamatan sewajarnya.
Ini akan memastikan bahawa sebarang program latihan atau acara menjelang perbarisan dapat dijalankan dengan selamat, tambah Encik Wong, yang juga Menteri Kewangan.
Maklumat lanjut akan diumumkan kelak, katanya.
Pada bulan lalu MINDEF mengumumkan bahawa NDP akan kembali diadakan di Pentas Terapung Marina Bay pada 9 Ogos - namun pada skala yang lebih kecil berbanding tahun-tahun sebelum pandemik.
Jumlah penonton dan peserta dikurangkan daripada biasa di pesta ulang tahun ke-56 Singapura itu.
Jumlah penonton akan dimuktamadkan kelak, kata Menteri Pertahanan Ng Eng Hen pada 28 Jun.
Semua peserta perbarisan dan penonton juga mestilah sudah divaksinasi sepenuhnya.
Sebelum COVID-19 melanda, perbarisan di pentas terapung itu biasanya melibatkan 25,000 penonton dan 14,000 peserta, sukarelawan dan kakitangan.
LAPORAN BERKAITAN:
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.