Skip to main content

Singapura

NDP 2026: Pertunjukan dron, 3 lagu baharu & pencarian harta karun seluruh negara bakal ditampilkan

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 21 May 2026 04:24PM Dikemas Kini : 31 May 2026 01:32PM
SINGAPURA: Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) 2026 bakal menampilkan pertunjukan dron secara langsung, tiga lagu baharu dan pencarian harta karun di seluruh negara menjelang 9 Ogos.

Jawatankuasa Eksekutif NDP 2026 mengumumkan pada Khamis (21 Mei) bahawa tema tahun ini ialah 'Majulah Singapura, Go Beyond!'.

Ini merupakan kali pertama dalam 10 tahun perbarisan itu diadakan di Stadium Negara.

Elemen kegemaran ramai seperti pasukan payung terjun Red Lions, perarakan kenderaan NDP yang menampilkan kenderaan tentera, polis dan pertahanan awam, serta pertunjukan udara pesawat tentera tidak akan dipersembahkan tahun ini atas pertimbangan operasi dan keselamatan.

Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif NDP 2026, Brigedier Jeneral (BG) Lim Han Yong berkata lokasi Stadium Negara memberikan “peluang yang jarang berlaku untuk mereka membentuk semula pengalaman NDP”.

Pertunjukan cahaya dron dalam stadium itu akan menjadi salah satu tarikan utama, disertai dengan apa yang disifatkan penganjur sebagai “persembahan kesan visual khas dalam dewan terbesar setakat ini, lebih seganda lebih besar berbanding beberapa pertunjukan sebelum ini”.

BG Lim berkata protokol keselamatan yang ketat akan dilaksanakan bagi memastikan dron beroperasi dengan selamat untuk peserta dan penonton.
Related article image
Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif NDP 2026, Brigedier Jeneral (BG) Lim Han Yong. (Gambar: CNA/Ili Mansor)
Ini juga kali pertama sebuah album akan dikeluarkan untuk NDP.

Lagu 'Giants', yang dipersembahkan oleh pelakon dan penyanyi Iman Fandi, mengisahkan perjalanan diri dari keadaan penuh ketidakpastian.

Lagu 'Sparkle' pula kerjasama antara penyanyi dan penulis lagu, Gareth Fernandez dengan penyanyi Dru Chen, manakala lagu 'You'll Be Okay' dinyanyikan oleh penyanyi, penulis lagu dan penerbit muzik elektronik, Jasmine Sokko.

Iman, anak kepada legenda bola sepak tempatan Fandi Ahmad berkata, mempersembahkan lagu itu di perbarisan merupakan satu penghormatan besar.

“Peluang seperti ini bukan selalu datang, dan saya tahu saya perlu merebutnya,” katanya.

“Saya dapat mengibarkan bendera Singapura dengan penuh bangga dan itu sahaja yang saya mahu lakukan.”
Related article image
Penyanyi, Iman Fandi. (Gambar: CNA/Ili Mansor)
PELIBATAN TERBESAR ORANG AWAM

Perbarisan itu juga bakal menampilkan penyertaan terbesar orang awam dalam lebih sedekad.

Antara elemen popular yang diadakan kembali termasuk Acara terbang lalu bendera Singapura, tembakan 'Feu de Joie' dan tembak hormat presiden, yang akan diadakan di Kallang buat kali pertama.

Segmen persembahan akan dibahagikan kepada lima “bab”, menampilkan pelakon Najip Ali, penyanyi Mandopop Ric Liu, penyanyi Sushma Soma dan artis-artis yang terlibat dalam lagu-lagu NDP.

Mereka akan disertai oleh 2,000 penghibur daripada Persatuan Rakyat (PA), sekolah-sekolah MOE dan SOKA Gakkai Singapore.

Menjelang perbarisan itu, penganjur akan mengadakan pencarian harta karun seluruh negara yang dinamakan “Majulah Hunt” dengan kerjasama Accenture.

Orang ramai boleh menyertainya melalui aplikasi online dan butiran lanjut akan diumumkan dalam masa terdekat.

Siri drama mikro enam episod bertajuk 'Heartbeats' juga akan dilancarkan minggu hadapan.

Dibintangi oleh Iman dan penyanyi rap Singapura, Yung Raja, siri itu mengisahkan seorang wanita pemalu yang dilakonkan oleh Iman, yang berjaya mengatasi cabaran peribadi untuk menemukan keyakinan diri dalam sebuah konsert NDP di kawasan kejiranan.

Siri itu diarahkan oleh pembuat filem, K Rajagopal dan ditulis pengarah, Kaylene Tan.

PERTIMBANGAN PERBELANJAAN

Mengenai ketiadaan Red Lions dan perarakan kenderaan NDP, BG Lim mengakui elemen-elemen tersebut mempunyai “tempat istimewa” di hati rakyat Singapura.

Ini merupakan kali pertama Red Lions tidak menyertai perbarisan sejak NDP terakhir diadakan di Stadium Negara pada 2016.

“Namun begitu, atas pertimbangan keselamatan dan operasi, mereka tidak akan dipaparkan dalam NDP tahun ini. Tetapi saya rasa NDP 2026 akan terus memperkenalkan elemen baharu yang menarik, dan rakyat Singapura masih boleh menantikan banyak perkara menarik di dalam Stadium Negara,” katanya.

Beliau menambah bahawa ketiadaan elemen popular tersebut, termasuk pertunjukan udara, tidak bermakna ia tidak akan kembali pada masa depan.

“Saya cukup yakin bahawa elemen-elemen kegemaran ini akan kembali pada tahun-tahun akan datang.”

Mengenai kos, BG Lim berkata perbelanjaan NDP akan digunakan secara hemat untuk “mewujudkan sambutan yang bermakna bagi semua rakyat Singapura”, dan sumber yang digunakan tahun ini adalah “setara” dengan perbarisan sebelum ini.

Ketika NDP terakhir diadakan di Stadium Negara pada tahun 2016, kosnya mencecah S$39.4 juta, lebih tinggi berbanding jika diadakan di pentas terapung Marina Bay atau Padang.

“Apa yang penting ialah bagaimana Singapura, dan pelbagai segmen masyarakat Singapura terus bersatu, menyumbang serta meraikan dan menyokong penganjuran dan pelaksanaan NDP,” katanya.
Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita