Skip to main content

Singapura

NDP 2026: Permohonan tiket NDP 2026, pertunjukan pratonton dibuka 23 Mei

Permohonan tiket bagi Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) 2026 di Stadium Negara akan dibuka pada Sabtu (23 Mei) pada pukul 12.00 tengah hari dan berlangsung sehingga pukul 12.00 tengah hari pada 6 Jun.

Anggaran Waktu Membaca:
NDP 2026: Permohonan tiket NDP 2026, pertunjukan pratonton dibuka 23 Mei

NDP 2026 bakal menjadi kali pertama Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) diadakan di Stadium Negara sejak 2016. (Gambar: CNA)

Diterbitkan : 22 May 2026 03:03PM Dikemas Kini : 31 May 2026 01:43PM
SINGAPURA: Permohonan tiket bagi Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) 2026 di Stadium Negara akan dibuka pada Sabtu (23 Mei) pada pukul 12.00 tengah hari dan berlangsung sehingga pukul 12.00 tengah hari pada 6 Jun.

Semua rakyat tempatan dan Penduduk Tetap (PR) Singapura boleh memohon untuk mendapatkan dua, empat atau enam tiket bagi salah satu daripada dua pertunjukan pratonton NDP pada 25 Julai dan 1 Ogos, atau NDP 2026 pada 9 Ogos.

Mereka boleh memohon tiket menerusi laman rasmi NDP di www.ndp.gov.sg, atau dengan mengimbas kod QR di bawah untuk mengakses borang permohonan.
Related article image
Permohonan akan dijalankan menggunakan Singpass, dan bagi mereka yang memohon untuk pihak lain, pengguna Singpass tersebut perlu menyediakan nama, nombor NRIC, nombor telefon dan alamat emel individu yang diwakili.

“Ini merupakan satu-satunya kaedah dan bentuk permohonan tiket NDP 2026. Jangan isi sebarang borang daripada pautan atau sumber yang tidak disahkan bagi mengelakkan cubaan penipuan untuk mendapatkan maklumat peribadi,” menurut penganjur NDP 2026 dalam satu kenyataan pada Jumaat (22 Mei).

Selepas membuat permohonan, para pemohon akan menerima SMS dan emel pengesahan yang hanya akan dihantar oleh gov.sg dan info [at] plumber.gov.sg.

Tiket tidak diperuntukkan berdasarkan kepantasan membuat permohonan. Selepas tempoh permohonan ditutup pada 6 Jun, satu proses pengundian akan dijalankan untuk menentukan pemohon yang berjaya.

Setiap pemohon hanya layak untuk mendapat satu peluang cabutan undi. Jika lebih daripada satu permohonan dibuat, hanya permohonan terkini akan diambil kira dan semua permohonan terdahulu akan dikecualikan daripada proses pengundian, menurut penganjur.

Setiap tiket hanya untuk seorang penonton. Semua kanak-kanak, termasuk bayi yang didukung, mesti mempunyai tiket yang sah untuk memasuki acara tersebut.

Pemohon yang berjaya akan menerima pemberitahuan menerusi kiriman SMS dan emel antara 15 hingga 17 Jun daripada gov.sg dan info [at] mail.postman.gov.sg.

“Sebarang SMS dan emel daripada sumber lain harus dianggap sebagai berkemungkinan adalah penipuan atau percubaan pancingan data,” menurut penganjur.

Semua tiket tidak boleh dijual sama sekali.

“Tindakan akan diambil terhadap individu yang terlibat dalam penjualan semula tiket dan kegiatan penipuan,” tegas penganjur.

NDP 2026 akan menampilkan sebuah pertunjukan dron secara langsung di dalam bangunan, tiga lagu baharu dan aktiviti ‘mencari harta karun’ (treasure hunt) di seluruh negara menjelang 9 Ogos. Ia juga kali pertama acara itu diadakan di Stadium Negara sejak 2016.

Perbarisan tahun ini akan turut menampilkan penyertaan orang awam terbesar dalam tempoh lebih sedekad. Segmen kegemaran ramai yang akan diadakan sekali lagi termasuk terbang lalu bendera negara, Feu de Joie – tembak hormat – serta Tembak Hormat Kepresidenan 21-Das yang akan diadakan di Kallang Basin buat kali pertama.

Namun, beberapa segmen popular seperti pasukan payung terjun Red Lions, perarakan kenderaan NDP melibatkan pasukan tentera, polis dan pertahanan awam, serta pertunjukan udara pesawat tentera tidak akan diadakan tahun ini atas pertimbangan operasi dan keselamatan.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita