Skip to main content

Singapura

NDP 2026: 1,200 peserta awam dalam perbarisan, jumlah terbesar dalam lebih sedekad

Anggaran Waktu Membaca:
NDP 2026: 1,200 peserta awam dalam perbarisan, jumlah terbesar dalam lebih sedekad

Sesi latihan perbarisan di Kem Seletar (Gambar: Jawatankuasa NDP 2026)

New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 25 Jun 2026 09:43PM Dikemas Kini : 26 Jun 2026 03:03PM
SINGAPURA: Seramai 1,200 orang awam akan terlibat dalam kontinjen berbaris di Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) tahun ini.

Ia merupakan jumlah penglibatan awam terbesar dalam masa lebih sedekad.

Penyertaan mereka itu akan membentuk 26 kontinjen awam, dengan 10 kontinjen kumpulan berseragam belia dan 16 kontinjen sokongan.

Semasa perbarisan, mereka akan melambangkan kesemua tonggak Pertahanan Mutlak - termasuk ketenteraan, sivil, ekonomi, sosial, digital dan psikologi.

KALI KEDUA TERLIBAT DALAM NDP

Antara 1,200 orang awam yang terlibat tahun ini termasuk Hazlinda Halim.

Cik Hazlinda sebelum ini pernah terlibat dalam NDP tahun 1985.

Beliau berusia 15 tahun ketika itu dan berbaris bersama kontinjen Briged Ambulans St John.

Kini, pada usia 56 tahun, Cik Hazlinda tidak merasa terhalang untuk terus menyumbang kepada negara tercinta. Malah beliau ingin mencabar diri sendiri untuk tampil ke hadapan.

"(Saya mahu) menunjukkan kepada negara yang saya masih lagi boleh ke depan untuk mewakilkan Singapura di perbarisan Singapura," kata beliau dengan penuh yakin.
Related article image
Cik Hazlinda Halim kembali menyertai NDP setelah 41 tahun (Gambar: Jawatankuasa NDP 2026)
Untuk mempersiapkan diri bagi latihan yang mencabar secara fizikal, Cik Hazlinda, yang kini mewakili PropNex Realty, juga berlatih antara perjumpaan kontinjen.

"Suami saya akan melatih saya untuk berjalan kaki dengan pantas dan menaiki bukit. Itulah antara latihan yang saya (lakukan). Saya harus ubahsuaikan diri supaya InsyaAllah, pada hari tersebut, saya cergas," tambah beliau.

PESERTA IBU-ANAK BERIKAN SEMANGAT PADA SATU SAMA LAIN

Seperti Cik Hazlinda, Cik Siti Radziah Zainal Abidin juga peserta kali kedua NDP.

Namun, kali ini, beliau disertai anak lelakinya, Ari Wafiy Muhammad Mahfudz.
 
Related article image
Pasangan ibu dan anak, Cik Siti Radziah Zainal Abidin (kiri) dan Ari Wafiy Muhammad Mahfudz (Gambar: Jawatankuasa NDP 2026)
Bagi Ari yang menyertai NDP buat pertama kalinya, berkongsi satu pentas dengan ibunya memberikannya semangat untuk terus cekal melalui latihan-latihan mencabar.

"Saya rasa kalau saya dalam NDP seorang, saya tak penuh semangat. Saya sangat syukur ada ibu yang boleh yang (memberi) harapan untuk saya," luah Ari jujur.

Bahkan, seluruh keluarga mereka turut memberi sokongan hebat kepada pasangan ibu dan anak itu.

"(Keluarga kami) memang benar-benar menyokong kami berdua, mengharapkan yang terbaik dari kami berdua dan menantikan nak melihat aksi kita," kongsi Cik Siti, yang merupakan ibu kepada enam anak.

Cik Siti akan menganggotai kontinjen Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) manakala Ari pula menganggotai kontinjen Pasukan Kadet Kebangsaan (NCC).

SEGMEN PERBARISAN DAN UPACARA KEMBALI LEBIH SEGAR

Buat julung-julung kalinya, perbarisan tahun ini juga akan menampilkan sebuah kontinjen yang dianggotai sepenuhnya oleh golongan kurang upaya.

Bekas atlet Paralimpik Yap Qian Yin akan memimpin kontinjen itu tahun ini.
Related article image
Yap Qian Yin akan memimpin kontinjen yang dianggotai golongan kurang upaya sepenuhnya (Gambar: Jawatankuasa NDP 2026)
Selain itu, untuk melibatkan para penonton dalam perbarisan itu, kontinjen-kontinjen awam tersebut akan masuk dan keluar barisan melalui lorong-lorong tempat duduk penonton di Stadium Nasional.

"Tahun ini, kami akan membawa perbarisan lebih dekat kepada semua untuk meningkatkan pengalaman mereka di dalam dan luar stadium. Di dalam stadium, belia berseragam dan peserta awam akan berbaris melalui tempat duduk penonton, sekali gus membawa perbarisan lebih dekat kepada penonton kami," jelas Pengerusi Jawatankuasa Perbarisan dan Upacara, Kolonel Anthony Lau Kai Heng.
Related article image
Pengerusi Jawatankuasa Perbarisan dan Upacara, Kolonel Anthony Lau Kai Heng (Gambar: Jawatankuasa NDP 2026)
Perbarisan tersebut dijangka akan disertai lebih 40,000 penonton di Stadium Nasional di Kallang.
Sumber : BERITA Mediacorp/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita