Skip to main content

Singapura

NDP 2025: SCDF bakal sertai kontinjen kawalan kehormatan buat kali pertama

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 12 Jun 2025 02:58PM Dikemas Kini : 05 Aug 2025 01:45PM
SINGAPURA: Buat pertama kali dalam sejarah Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) Singapura, Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) akan berbaris bersama angkatan tentera dan polis sebagai salah satu daripada enam kontinjen kawalan kehormatan.

Unit kontinjen kawalan kehormatan itu juga akan merangkumi Angkatan Tentera Laut Singapura (RSN), Angkatan Tentera Udara Singapura (RSAF), dan Perkhidmatan Digital dan Perisikan.

Penyertaan SCDF dalam kontinjen kawalan kehormatan tahun ini merupakan satu pengiktirafan terhadap peranan penting mereka dalam menjaga keselamatan rakyat Singapura, kata Timbalan Pesuruhjaya Ling Young Ern kepada media pada Khamis (12 Jun).

“SCDF sentiasa bekerjasama rapat dengan SAF (Angkatan Tentera Singapura) dan SPF (Pasukan Polis Singapura) dalam strategi Pertahanan Mutlak kami, jadi penyertaan ini mencerminkan bagaimana ketiga-tiga perkhidmatan berseragam berganding bahu melindungi negara kita,” katanya.

Selepas menyambut ulang tahun ke-40 Pertahanan Mutlak tahun lalu, Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan SCDF telah meneliti cadangan daripada orang awam untuk melibatkan SCDF, jelas Encik Ling.

Mereka merasakan ia adalah “sesuai” kerana perbarisan tahun ini, yang akan diadakan di Padang, meraikan ulang tahun ke-60 kemerdekaan Singapura.

Anggota SCDF yang menyertai kontinjen kawalan kehormatan perlu belajar menggunakan senjata api untuk upacara 'feu-de-joi' atau hormat senjata, kata Encik Ling.

“Ini sesuatu yang mereka perlu pelajari, tetapi mereka sedang berusaha keras dan berlatih setiap minggu untuk melaksanakannya dengan baik,” katanya.

Buat pertama kali juga, Kor Sukarelawan Angkatan Tentera Singapura (SAFVC) akan menampilkan satu kontinjen penuh.

Sukarelawan Pang Xuehui Arlene, yang merupakan komander kontinjen, berkata perkara ini sangat bermakna kerana SAFVC menyambut ulang tahun ke-10 mereka.

“Keupayaan untuk membentuk satu kontinjen sepenuhnya mencerminkan sejauh mana SAFVC telah berkembang dalam 10 tahun ini, sehingga kami layak mendapat tempat dalam perbarisan,” kata Cik Pang, yang bertugas dalam SAFVC.

KONTINJEN TERBESAR DALAM LEBIH 30 TAHUN

Perbarisan tahun ini juga akan menampilkan bilangan terbesar kontinjen bagi acara yang diadakan di Padang sejak tahun 1990, dengan 40 kontinjen berbaris dan 18 kontinjen awam.

Secara keseluruhan, akan terdapat sekitar 2,100 peserta dalam segmen perbarisan dan upacara.

Selain kontinjen dari SAF, SCDF dan SPF, 10 kontinjen dari pertubuhan belia berseragam dan 18 kontinjen awam dari kumpulan sosial dan ekonomi tempatan juga akan menyertai perbarisan.

Penambahan kontinjen memberi “sedikit kerumitan” dari segi cara mereka bergerak dan sepantas mana mereka boleh berbaris, kata Kolonel (KOL) Lim Yu Sing, yang juga pengerusi segmen perbarisan dan upacara.

Namun, kontinjen-kontinjen itu berjaya mengatasi cabaran melalui “perancangan terperinci” yang diketuai oleh pasukan sarjan mejar rejimen, jurulatih, dan bimbingan daripada SAF, kata KOL Lim.

“Jurulatih, setiap hari Sabtu, bersama sarjan mejar rejimen sedia ada, akan melatih kontinjen secara berperingkat untuk memastikan semua pergerakan yang rumit itu dilatih dan dipersembahkan dengan baik,” katanya.

Perbarisan tahun ini akan diketuai oleh komander perbarisan pertama kali, Leftenan Kolonel Firdaus Ghazali.

“Saya benar-benar berasa rendah diri kerana impian saya sebagai seorang budak kecil di Stadium Negara Kallang kini menjadi kenyataan di Padang,” kata Leftenan Kolonel Firdaus berusia 38 tahun itu.

Beliau pertama kali menyertai perbarisan pada tahun 2002 sebagai pelajar di Sekolah Menengah Temasek.

“Perbarisan ini sendiri adalah satu himpunan rakyat dari pelbagai lapisan masyarakat, semua bergerak seiring dengan harmoni untuk mencapai satu matlamat bersama, iaitu mempersembahkan perbarisan yang cemerlang,” tambahnya.
Sumber : CNA/IM/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita