Skip to main content

Singapura

NDP 2025: Red Lions, penyelam tentera laut bakal terjun di Padang dan Marina Bay sempena sambutan SG60

Sempena ulang tahun ke-60 Singapura, pasukan payung terjun Red Lions dan penyelam tentera laut akan membuat terjunan masing-masing di Padang dan Marina Bay pada Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) tahun ini.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 26 May 2025 01:29PM Dikemas Kini : 05 Aug 2025 02:00PM
SINGAPURA: Sempena ulang tahun ke-60 Singapura, pasukan payung terjun Red Lions dan penyelam tentera laut akan membuat terjunan masing-masing di Padang dan Marina Bay pada Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) tahun ini.

Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF) turut akan mempersembahkan penghormatan udara khas, menurut pengumuman jawatankuasa eksekutif NDP 2025 pada Isnin (26 Mei).

Dengan persembahan NDP tahun ini diperluas dari Padang ke kawasan Marina Bay, Red Lions akan mendarat di Padang manakala penyelam daripada Angkatan Laut Republik Singapura akan terjun ke dalam perairan Marina Bay dalam pertunjukan udara bersepadu yang dinamakan 'Jump of Unity'.

Persembahan di Padang juga akan digabungkan dengan tayangan cahaya yang dipancarkan pada bangunan serta pertunjukan bunga api di latar langit kawasan bandar, disertai pelampung air dan pentas terapung baharu untuk para penghibur.

“NDP 2025 bertujuan memberikan pengalaman yang mengasyikkan kepada semua penonton secara langsung, sama ada di Padang mahupun di Marina Bay,” kata penganjur pada Isnin.

Segmen perbarisan dan upacara akan menampilkan bilangan kontinjen terbesar setakat ini, di samping elemen kegemaran ramai seperti terbang lintas bendera negara, penghormatan kepada negara, dan tembak hormat kepresidenan.

Turut kembali ke Padang buat kali pertama sejak 2019, kolum mudah alih akan mempamerkan aset udara, darat dan maritim daripada Angkatan Bersenjata Singapura, Pasukan Home Team dan Penguasa Maritim dan Pelabuhan (MPA)

Lintas hormat udara di Padang dan pertunjukan maritim di Marina Bay akan turut diadakan.

Persembahan NDP akan berlangsung dalam empat babak yang diinspirasikan daripada Lagu Kebangsaan, dan menampilkan artis serta penghibur tempatan dari pelbagai organisasi.

"MAJULAH SINGAPURA"

Tema tahun ini, “Majulah Singapura”, mengajak rakyat untuk merenung kembali enam dekad perjalanan negara sambil menatap masa depan dengan semangat optimisme dan ketahanan, menurut helaian fakta yang dikeluarkan jawatankuasa eksekutif NDP 2025.

Menurut pihak penganjur, tema itu menekankan nilai kepercayaan, keterangkuman dan sokongan bersama, serta menggalakkan setiap rakyat untuk memainkan peranan dalam perjalanan Singapura.
Related article image
Logo NDP 2025. (Gambar: Jawatankuasa Eksekutif NDP 2025)

Logo rasmi NDP 2025 menggabungkan elemen “60” dan “GO” sebagai seruan perpaduan untuk rakyat mara bersama ke hadapan. Lima bintang terbang dalam reka bentuk itu melambangkan cita-cita asas negara: demokrasi, keamanan, kemajuan, keadilan dan kesaksamaan.

Lagu tema rasmi NDP, Here We Are, ditulis bersama oleh Charlie Lim dan Chok Kerong, serta diterbitkan oleh Dr Sydney Tan. Lagu itu didendangkan oleh Charlie Lim, Kit Chan dan kumpulan The Island Voices.

SAMBUTAN MERATA NEGARA

Mereka yang tidak mempunyai tiket untuk acara perbarisan juga boleh turut serta dalam meraikan Hari Kebangsaan. Pada 9 Ogos, kawasan Marina Bay akan menganjurkan pelbagai aktiviti termasuk reruai interaktif, permainan karnival dan aktiviti sepanjang hari.

Semasa perbarisan berlangsung, skrin LED bersaiz besar dan pembesar suara akan menyiarkan acara tersebut secara langsung di seluruh kawasan Marina Bay.

Lima tapak sambutan yang dikendalikan rakan penganjur di dalam dan sekitar Marina Bay juga akan menawarkan pengalaman tambahan kepada orang ramai, menurut penganjur.

Pada 10 Ogos, lima lokasi di kawasan kejiranan akan mengadakan persembahan secara langsung, bunga api dan aktiviti menarik, selain perarakan kenderaan NDP yang akan bergerak ke beberapa kawasan di seluruh negara.

Butiran mengenai permohonan tiket untuk perbarisan akan diumumkan tidak lama lagi.

RAKYAT SG DI LUAR NEGARA

Bercakap kepada media pada Isnin, Kolonel Chong Shi Hao, pengerusi jawatankuasa eksekutif NDP 2025, berkata pihaknya sedang bekerjasama dengan misi luar negara serta melalui Rangkaian Global Singapura bagi menyokong rakyat Singapura di luar negara untuk menyambut Hari Kebangsaan.

“Usaha ini masih dalam peringkat awal. Kami sedang berhubung dengan agensi rakan kongsi bagi mengumpulkan seramai mungkin rakyat Singapura di lokasi masing-masing untuk meraikan sambutan di mana sahaja mereka berada, walaupun bukan di Singapura,” katanya.

Ketika ditanya mengenai belanjawan untuk sambutan tahun ini, Kolonel Chong berkata ia adalah “setara dengan tahun-tahun sebelum ini”.

“Saya rasa yang penting ialah setiap tahun, sebagai sebuah jawatankuasa, kami sentiasa berusaha untuk menggunakan sumber secara berhemah, sambil tetap mencapai matlamat kami untuk menyatukan rakyat Singapura dan membawa mereka bersama.”

Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita