NDP 2025: Permainan layang-layang, dron dilarang di beberapa kawasan pada tarikh tertentu
Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) pada Jumaat (6 Jun) memaklumkan bahawa kawasan larangan sementara akan diwujudkan di beberapa kawasan di Singapura pada hari-hari tertentu dalam bulan Jun, Julai dan Ogos.
Sebuah pesawat Pengangkutan Tangki Pelbagai Peranan A330 terbang di udara dengan dua pesawat pejuang F-16D+ di setiap sayapnya. (Gambar fail: Jawatankuasa Eksekutif Perbarisan Hari Kebangsaan 2023)
Kawasan larangan sementara tersebut bertujuan memastikan keselamatan orang awam dan pesawat terbang rendah yang terlibat dalam aktiviti udara bagi persiapan Perbarisan Hari Kebangsaan, menurut CAAS dan jawatankuasa eksekutif perbarisan dalam satu kenyataan media bersama.
Kawasan-kawasan larangan itu akan merangkumi Padang dan beberapa kawasan lain di Singapura, dari paras tanah sehingga 2,500 kaki dari aras laut purata.
"Disebabkan oleh keperluan operasi dan keselamatan penerbangan, kawasan larangan sementara itu akan merangkumi sebahagian besar kawasan Singapura pada hari Sabtu dan Hari Kebangsaan," menurut pihak berkuasa.
Sekatan berkenaan akan berkuat kuasa pada beberapa tarikh antara 9 Jun dengan 9 Ogos. Jika keadaan cuaca tidak mengizinkan pada mana-mana tarikh yang dirancang, tarikh ganti pada 16 Ogos mungkin digunakan.
Menjalankan aktiviti udara atau mengendalikan pesawat tanpa pemandu di dalam kawasan larangan sementara tanpa permit yang sah daripada CAAS adalah satu kesalahan.
Di bawah Perintah Navigasi Udara, yang merangkumi aktiviti udara, pesalah kali pertama boleh didenda sehingga S$20,000. Pesalah berulang boleh didenda sehingga S$40,000, dipenjara sehingga 15 bulan, atau kedua-duanya sekali.
Di bawah Peraturan Navigasi Udara (101 – Operasi Pesawat Tanpa Pemandu) 2019, yang merangkumi aktiviti pesawat tanpa pemandu, pesalah kali pertama boleh didenda sehingga S$50,000, dipenjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali. Pesalah berulang boleh didenda sehingga S$100,000, dipenjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali.
Selain daripada kawasan larangan sementara tersebut, sekatan sedia ada terhadap pelaksanaan aktiviti udara dan penerbangan pesawat tanpa pemandu dalam jarak 5km dari aerodrom, kawasan berbahaya, kawasan larangan, kawasan terhad dan kawasan terlindung kekal berkuat kuasa.
"Orang ramai diingatkan untuk menyemak laman OneMap.sg atau aplikasi OneMap bagi mendapatkan maklumat tentang kawasan di mana aktiviti udara dilarang atau memerlukan permit," menurut CAAS.
"Orang ramai juga dinasihatkan agar tidak cemas dengan lebih banyak aktiviti penerbangan di beberapa kawasan di Singapura pada tarikh dan waktu tersebut."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.