NDP 2024: Rakyat SG rai ulang tahun kemerdekaan ke-59 penuh bersemangat
Acara tahun ini lebih istimewa kerana merupakan kali yang pertama untuk Perdana Menteri Lawrence Wong dan Presiden Tharman Shanmugaratnam sejak menggalas tugas baharu mereka.
'Bersama-sama, Sebagai Rakyat yang Bersatu-padu.'
Demikian tema sambutan Hari Kebangsaan tahun ini, yang jelas tercermin di Padang pada Jumaat (9 Ogos).
Satu acara istimewa ditampilkan kali ini iaitu penghormatan mendalam kepada Encik Lee Hsien Loong yang menerajui Singapura selama dua dekad.
Banyak yang beliau sumbangkan kepada negara selama ini, dan kini terus berkhidmat selaku Menteri Kanan.
Kemeriahan sambutan dimulakan dengan pelbagai persembahan oleh relawan muda, disertai maskot-maskot yang sering dilihat.
Namun, para penonton terpaku ke langit sedang mereka menantikan pasukan Red Lions.
Mujur, cuaca berubah bertambah baik, membolehkan Red Lions terjun dari ketinggian 5,000 kaki, selepas berlatih selama enam bulan.
Satu lagi tarikan ramai - persembahan tatu tentera berwajah baharu, menandakan 40 tahun Pertahanan Mutlak.
Komander Perbarisan kemudian mengumumkan ketibaan Perdana Menteri Lawrence Wong.
Ini merupakan Perbarisan Hari Kebangsaan pertama beliau sejak mengambil alih jawatan daripada Encik Lee.
PM Wong disusuli Presiden Tharman Shanmugaratnam.
Ini juga merupakan kali pertama Encik Tharman hadir sebagai Ketua Negara selepas mengangkat sumpah September tahun lalu.

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.