NDP 2024: Proses masuk ke Padang, The Promontory@Marina Bay berjalan lancar & rapi
SINGAPURA: Bermula jam 4 petang lagi, para pemegang tiket sudah mula beratur untuk masuk ke Padang.
Ramai yang sanggup datang awal untuk mengelak daripada beratur panjang meskipun acara bermula secara rasmi pada 5.30 petang.
Proses pemeriksaan keselamatan berjalan lancar dan tidak melebihi 10 minit.
“Kita cuma hendak meraikan hari bahagia ini bersama, jadi kami datang awal sebab hendak dapatkan tempat duduk yang terbaik, supaya semua dapat nikmati detik-detik istimewa ini sebagai rakyat Singapura,” ujar Cik Nurul Huda.
Cik Nurul adalah dalam kalangan 27,000 penonton bertuah yang mendapat tiket untuk menyaksikan Perbarisan NDP pada hari ini (9 Ogos).
Bagi memastikan keselamatan orang ramai, hampir 2,000 pegawai Pasukan Polis Singapura (SPF) turut dikerahkan.
Buat julung-julung kalinya, teknologi baharu dan belon LED akan digunakan untuk melicinkan pergerakan orang ramai di kawasan Marina Bay.
Bagi memastikan laluan perjalanan lebih licin, orang ramai juga digalakkan untuk menggunakan aplikasi Crowd@Marina Bay untuk memeriksa keadaan kesesakan dalam masa nyata.
SIAP UNTUK BERPESTA, MESKI PANAS ATAU HUJAN
Kawasan sekitar padang kemudian berubah menjadi lautan merah apabila ramai penonton mengenakan pakaian berwarna merah, melambangkan warna bendera negara.
Malah, para penonton juga siap untuk berhadapan dengan apa jua cuaca dan kemungkinan!
“Kita bawa payung sebab takut hujan, bawa kipas angin takut kepanasan, bawa air dan minyak gosok sebab takut pening kepala, itu sahaja,” kata Cik Suriati, salah seorang penonton yang membuat pelbagai persiapan.
Persiapan beliau tidak sia-sia apabila hujan lebat melanda sekitar kawasan Padang dan Marina Bay sekitar 4.45 petang tadi.
TERUJA SERTAI SAMBUTAN DI THE PROMONTORY@MARINA BAY
Suasana di The Promontory@Marina Bay yang boleh memuatkan kira-kira 7,500 penonton juga sangat meriah dengan para penonton yang menyertai sambutan NDP di sana.
Proses pemeriksaan masuk ke kawasan itu juga teratur dengan para pemegang tiket sabar menunggu giliran masing-masing untuk melalui pemeriksaan keselamatan.
Seorang lagi pengunjung, Encik Ahmad Syakir Ahmad Khalis pula berkata: “Sekejap sahaja, dalam 15 minit begitu. Tetapi tadi kita kena tukar jalur beratur kerana ada satu jalur itu perlahan sangat jadi kita tukar jalur dan selepas itu cepat.”
Acara NTUC Bay Celebrations itu adalah anjuran bersama oleh pergerakan buruh NTUC dan jawatankuasa penganjur perbarisan.
Antara penonton yang tiba awal bagi acara NTUC Bay Celebrations ialah Cik Nurul Syafiqah Mohammed Salleh.
“Saya tiba di sini jam 2 petang tadi sebab takut ramai orang. Jadi datang siang. Pun nak beli makanan dulu,” ujar Cik Nurul.
“Pukul 2.30 petang, saya datang awal kerana tidak mahu perlu tunggu lama sangat kerana nanti ramai orang. Jadi lebih mudah kalau saya datang lebih siang,” tambah Encik Azrullah Jamilludin, seorang lagi penonton yang datang awal.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.