Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

NDP 2024: Hujan lebat tidak luntur semangat penonton rai Hari Kebangsaan di The Promontory@Marina Bay

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Cuaca panas terik berubah dalam sekelip mata.

Namun hujan lebat di sekitar kawasan Marina Bay langsung petang tadi tidak sekalipun mematahkan semangat para penonton yang berkumpul untuk acara NTUC Bay Celebrations di The Promontory@Marina Bay. 

Acara sempena sambutan ulang tahun Singapura yang ke-59 pada Jumaat (9 Ogos) itu cukup istimewa kerana ia merupakan kali pertama sejak 2015 NTUC anjurkan sambutan Hari Kebangsaan dalam skala besar, yang boleh memuatkan kira-kira 7,500 orang di The Promontory@Marina Bay. 

Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri

Setiap pemegang tiket juga mendapat satu pek Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP).

DIHIBURKAN DENGAN PERSEMBAHAN, AKTIVITI INTERAKTIF

Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri

Ramai yang datang seawal 3.00 petang membawa tikar, berpakaian baju merah dan putih untuk semarakkan lagi sambutan Hari Kebangsaan. 

Mereka dihiburkan dengan persembahan-persembahan beberapa artis muda seperti Shye, Shili dan Adi.

Pelbagai aktiviti interaktif turut diadakan.

(Paling kiri) Encik Muhammad Taufiq, bersama keluarganya. (Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri)

"Saya pilih datang sini untuk merayakan ulang tahun Singapura bersama keluarga saya. Saya membawa budak-budak  sekali, semua datang. Sambil itu, ramai (ahli keluarga) pun sambut ulang tahun pada Ogos juga dan kami pun dapat tiket buat pertama kali tahun ini. Jadi pada saya sangat istimewa," kata Encik Muhammad Taufiq Mohamed Salleh kepada wartawan Nazirah Jamzuri. 

"(Saya ingin menyaksikan) konsert sebab saya ingin melihat Shye di atas pentas," kongsi Nur Maya Mohamed Marari yang berpakaian sedondon dengan rakan-rakannya. 

"Sebenarnya mudah (ke sini) sebab MRT ada di mana-mana, hanya perlu ikut arahan sahaja dan baca papan tanda, dan sampailah. Jadi sebenarnya mudah," kongsi Cik Azizah Osman pula yang datang bersama adiknya.

HUJAN LEBAT TIDAK HAMBAT SEMANGAT PENGUNJUNG SAMBUT ULANG TAHUN SG

Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri

Hujan lebat yang turun sekitar 4.45 petang memaksa acara dihentikan buat sementara waktu.

Para penonton diminta keluar dari kawasan The Promontory@Marina Bay untuk mencari tempat teduh di kawasan berhampiran.

Namun, ramai yang tidak berganjak kerana bimbang kehilangan tempat pilihan masing-masing.

Mereka juga cukup bersedia untuk menghadapi sebarang perubahan cuaca. 

(Paling kiri) Encik Muhammad Umairah Fayyadh bersama rakan-rakanya. (Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri)

"Kami ada buat persiapan sendiri, bawa payung dan baju hujan. Jadi tidak begitu terjejas," kongsi Encik Muhammad Umairah Fayyadh.

Encik Noor Iskandar Shah Noor Hayat pula berkata: "Meriahkan hari ini dan ia setahun sekali sahaja, bukan? Jadi saya bersama kawan-kawan semua walaupun semua orang pun macam tidak mengenali antara satu sama lain tetapi dalam situasi ini melihat orang mengharungi cuaca hujan, saya macam rasa tersentuh juga."

Acara kemudian diteruskan pada 5.30 petang selepas cuaca reda.

PERSEMBAHAN SEHINGGA 10.00 MALAM UNTUK HIBURKAN PENONTON

Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri

Banyak lagi persembahan yang menanti para pengunjung sehingga jam 10.00 malam. 

Antaranya termasuk persembahan oleh artis muda tempatan Iman Fandi dan Yung Raja. 

Pasukan keselamatan di sekeliling kawasan The Promontory@Marina Bay dikerah untuk bantu dan bimbing para pengunjung yang mahu meninggalkan kawasan itu

Mereka digalakkan agar menggunakan pengangkutan awam.

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan