NDP 2024: Ghairah dapat tonton acara perbarisan di Padang, teruja 'dapat jumpa' Presiden Tharman Shanmugaratnam & PM Wong
SINGAPURA: “Bersama-sama, Sebagai Rakyat yang Bersatu Padu", itulah tema buat Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) tahun ini.
Meskipun hujan lebat pada sebelah petang di Padang, semangat padu para penonton tidak luntur.
"Ini pertama kali kami menonton NDP dan pertama kali kami memohon dan dapat tiket. Sangat bahagia sangat. Tidak terkata!" kata Cik Rosnia Huri dengan senyum lebar walau dalam basah-kuyup akibat hujan lebat kepada wartawan Nurfazirah Azman.
Ada juga di antara mereka yang tidak sabar untuk nantikan acara-acara yang bakal dipersembahkan.
"Acara yang paling saya nanti-nantikan ialah Sing-Along, di mana kami semua sebagai warga Singapura akan menyanyi sebagai satu rakyat dan kami akan menyanyikan lagu-lagu yang ‘hit’ daripada tahun-tahun lepas," kata Rheny Hanisya.
Trisha Naila, 19 tahun, yang ditemui juga sangat ghairah untuk melihat Presiden Tharman dari jarak dekat.
"Walaupun cuaca sedikit tidak baik, tapi kami tetap gembira untuk menghadiri NDP hari ini. Saya juga tidak sabar untuk melihat Presiden Tharman pada NDP tahun ini"," kata beliau.
"Sangat gembira untuk melihat Presiden untuk pertama kali dan juga Perdana Menteri Singapura," kata seorang lagi penonton, Noraslin Mohamad Amin.

PERBARISAN HARI KEBANGSAAN 2024
Persembahan tatu tentera kumpulan uniform membuka tirai segmen acara perbarisan dan upacara istiadat.
Kali ini, lebih 2,100 peserta membentuk 35 kontinjen, termasuk 24 daripada kumpulan belia, sosial dan ekonomi.
Segmen itu melibatkan 40 aset dan lebih 400 peserta termasuk kakitangan sokongan dari Angkatan Bersenjata Singapura (SAF), Angkatan Laut Republik Singapura (RSN), Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF), Perkhidmatan Digital dan Perisikan, Pasukan Polis Singapura dan Pasukan Pertahanan Awam Singapura.
Perbarisan masuk kontinjen-kontinjen itu menandakan bermulanya segmen terpenting sambutan Hari Kebangsaan, iaitu perbarisan dan upacara istiadat NDP.
Mereka diketuai Komander Perbarisan, Leftenan Kolonel Cheong Soon Yong Roger.
Sejurus kemudian, kemunculan para anggota parlimen dan menteri kabinet disambut penuh meriah oleh para penonton.
Sorakan gembira mengiringi ketibaan Perdana Menteri Lawrence Wong dan juga Presiden Tharman.
Semangat patriotisme kepada Singapura hangat dirasakan dengan lantunan suara 27,000 penonton menyanyikan Lagu Kebangsaan sedang Bendera Negara dibawa terbang lalu.
Tahun ini, acara layar lalu Tembak Hormat Kepresidenan adalah yang paling lama dalam sejarah.
Acara tembak hormat 21 das suatu penghargaan ketenteraan tertinggi yang dikhususkan hanya untuk Presiden.
Ia juga diadakan lebih dekat lagi di 'The Promontory'.
ULANG TAHUN KE-40 PERTAHANAN MUTLAK
NDP tahun ini juga meraikan ulang tahun ke-40 Pertahanan Mutlak (TD40) dengan menampilkan segmen Pertunjukan Pertahanan Dinamik (D3) di antara Padang dengan Marina Bay.
Segmen itu membentuk adegan kedua NDP 2024 dengan tajuk ‘Bersama, Kita Kekal Memperteguhkan Singapura’.
Ia mempamerkan bagaimana masyarakat dan pemerintah bertindak balas terhadap pelbagai simulasi senario seperti apabila bas dirampas oleh pengganas.
Ini untuk memaparkan bagaimana rakyat boleh memainkan peranan mempertahankan negara semasa sesuatu serangan.
Buat pertama kalinya juga, agensi air negara PUB dan Pasukan Palang Merah Singapura membuat penampilan sulung mereka dalam segmen itu.
Ia bagi menunjukkan bagaimana rakyat Singapura boleh memainkan peranan mempertahankan negara semasa sesuatu serangan dan menunjukkan bagaimana bekalan air sementara akan disediakan semasa gangguan.
Juga khas dalam acara perbarisan tahun ini adalah pengalaman 360 darjah Baris Masuk atau Onward March membawa persembahan dan interaksi penonton lebih dekat.
PERSEMBAHAN HARI KEBANGSAAN 2024
Sejurus matahari terbenam, kawasan Padang mula dimandikan cahaya.
Segmen persembahan itu menampilkan 12 artis dan seramai 3,000 peserta termasuk penari semuda enam tahun sehinggalah 84 tahun, mereka akan mengiringi persembahan para artis dengan rekaan tari yang menarik lagi menghiburkan.
Penyanyi Amni Musfirah cukup memukau membuka tirai segmen persembahan dengan lagu ‘Anggerik Singapura’ yang digubah oleh Zubir Said serta lagu NDP, 'Hold Up The Sky’ dan 'Home'.
Seorang lagi penyanyi adalah, Shazza, atau nama sebenar Shareefa Aminah, 23 tahun, yang menyanyikan sebuah lagu dalam bahasa Tamil.
Segmen persembahan menampilkan kisah-kisah rakyat dengan mengetengahkan kekuatan kolektif dan kepelbagaian dan perpaduan yang mencerminkan masyarakat kita.
Sebuah kapal sebesar 20 meter didorong 10 warga emas, memberi penghargaan kepada semangat generasi perintis.
Satu lagi persembahan membangkitkan selera, ia meraikan masyarakat berbilang kaum yang bersatu dengan satu kegemaran rakyat Singapura: Makanan!
Rentak lagu 60-an ke 80-an menggamit nostalgia dengan para penari lengkap berpakaian seperti Kueh Lapis dan cef.
Acara NDP sampai ke kemuncaknya dengan persembahan lagu tema tahun ini yang berjudul "Not Alone" dendangan Benjamin Kheng.
Sambutan ulang tahun ke-59 tahun Singapura diakhiri dengan pertunjukan bunga api berwarna-warni yang menghiasi langit sekitar kawasan Marina Bay.

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.