Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

NDP 2023 diraikan di 5 kawasan kejiranan sebelum perbarisan di Padang pada 9 Ogos

Anggaran Waktu Membaca:
NDP 2023 diraikan di 5 kawasan kejiranan sebelum perbarisan di Padang pada 9 Ogos

Gambar: CNA/Try Sutrisno Foo

SINGAPURA: Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) tahun ini diadakan di Padang dengan tema Maju Bersatu.

Ia dijangka disertai 27,000 penonton, menjadikannya acara NDP yang terbesar dalam masa empat tahun.

Pada hujung minggu sebelumnya iaitu pada 5 dan 6 Ogos, para penduduk boleh menjangkakan pelbagai persembahan dan kegiatan sukan yang dianjurkan bersama Sport Singapore menerusi Festival GetActive!

Ia akan diadakan di stadium Bedok, Jurong West, Toa Payoh, Woodlands dan Hab Tampines Kita. 

Tiket bagi menyertai kegiatan itu serta NDP akan diagihkan secara percuma dengan butirannya diumumkan kelak.

Jurucakap NDP tahun ini, Mejar Mohamad Hairul Kamal Bashah menerangkan erti di sebalik pemilihan tema itu.

"Tema 2023 Maju Bersatu menyeru setiap warga negara untuk memandang kehadapan dengan yakin dan berdiri teguh untuk bersama-sama membina masa hadapan bersama."

LOGO LAMBANG ASPIRASI UNTUK BAWA SINGAPURA KE TAHAP LEBIH TINGGI

Logo NDP 2023 menampilkan kepala singa yang memandang jauh dengan yakin manakala nombor "58" untuk mengingatkan kita tentang pencapaian yang dicapai sepanjang tempoh 58 tahun.

Menurut pihak penganjur NDP 2023, ia direka condong sedikit ke atas untuk melambangkan aspirasi untuk membawa Singapura ke tahap yang lebih tinggi, manakala lima bintang mewakili cita-cita negara yang demokrasi, keamanan, kemajuan, keadilan dan kesaksamaan. 

Jawatankuasa NDP juga ingin menggalak semangat sukarelawan menerusi inisiatif penglibatan awam seperti #GiveAsOneSG, yang akan bekerjasama dengan badan-badan bukan mencari untung dan sekolah-sekolah untuk menganjurkan pelbagai kegiatan bagi menyumbang kembali kepada masyarakat.

Sementara itu, #UniteAsOneSG akan menggalakkan rakyat Singapura untuk mengetahui lebih lanjut tentang Singapura dan sambutan tahun ini.

KEMBALI DIADAKAN DI PADANG 

Kali terakhir NDP diadakan di Padang adalah pada 2020. 

NDP pada 9 Ogos nanti antara lain akan menampilkan Perbarisan Pertahanan Mutlak yang diberi kesegaran baru serta pertunjukan udara yang melibatkan lebih banyak pesawat RSAF.

Ia sempena ulang tahun ke-55 tentera udara Singapura.

Pertahanan Mutlak menjadi lebih relevan dengan kebangkitan ancaman hibrid yang semakin meningkat yang dihadapi oleh Singapura, kata Pengerusi Exco Kolonel Terence Ho.

“Kami ingin mengingatkan rakyat Singapura bahawa semua orang boleh memainkan peranan dalam pertahanan mutlak,” katanya.

Buat julung-julung kalinya juga, kontinjen Kawalan Kehormatan menampilkan pegawai dari Perkhidmatan Digital dan Perisikan. DIS ditubuhkan secara rasmi pada Oktober lalu sebagai perkhidmatan keempat Angkatan Bersenjata Singapura (SAF).

Kolonel Ho menyifatkan Padang sebagai "tempat yang sangat penting dan nostalgia kepada ramai rakyat Singapura". 

Beliau berkata sambutan NDP dan SG50 yang pertama dan pada 2015 turut diadakan di Padang.

Pada 2021 dan 2022, sambutan NDP diadakan di platform terapung di Marina Bay, yang akan dibangunkan menjadi Dataran NS.

Segmen persembahan pula akan menampilkan lebih 12 warga Singapura yang mengejar impian mereka dan memberi inspirasi kepada orang lain, termasuk pelari pecut negara Shanti Pereira, yang baru-baru ini menjadi wanita Singapura pertama merangkul pingat emas dalam acara lari 100 meter dan 200 meter di Sukan SEA baru-baru ini.

LAGU TEMA: 'SHINE YOUR LIGHT' 

Lagu tema NDP tahun ini pula berjudul Shine Your Light atau Sinarkan Cahayamu yang digubah oleh Pengarah Muzik NDP 2023, Don Richmond.

Berbeza dengan tahun lalu yang ibarat bab terakhir Singapura bangkit daripada pandemik COVID-19, Shine Your Light
bernada rancak dan menyeru rakyat Singapura supaya mengembangkan minat mereka dengan semangat berani mencuba.

Lagu itu digubah bersama penyanyi rap Singapura Shigga Shay, yang turut menjadi pengarah bagi video muzik lagu itu.

Ditanya sama ada lagu itu disasarkan kepada golongan lebih muda, Encik Richmond berkata mereka mahu mencipta sesuatu lagu yang "akan kekal di dalam minda dan ingatan generasi akan datang".
 

Sumber : BERITA Mediacorp/RR/hy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan