Skip to main content

Singapura

NDP 2022 raikan usaha, tekad setiap rakyat S'pura bantu tempuhi badai COVID-19

Anggaran Waktu Membaca:
NDP 2022 raikan usaha, tekad setiap rakyat S'pura bantu tempuhi badai COVID-19

Gambar: Jawatankuasa Eksekutif NDP 2022

Diterbitkan : 29 Jun 2022 03:28PM Dikemas Kini : 29 Jun 2022 03:29PM
SINGAPURA: Perit jerih kehidupan dijadikan sebagai sumber inspirasi Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) 2022 yang akan meraikan dan mengiktiraf usaha serta tekad semua rakyat Singapura menempuh badai COVID-19.

Bertajuk 'Kisah Kita', segmen pertunjukan akan menyaksikan persembahan secara langsung kembali diadakan pada skala yang besar lagi gah setelah dua tahun ditiadakan.

Persembahan secara langsung itu akan dilengkapi dengan sebuah filem dan persembahan satelit yang dirakamkan terlebih dahulu, umum jawatankuasa eksekutif NDP pada Rabu (29 Jun).

Pengarah artistik syarikat teater tempatan Pangdemonium - juga seorang pelakon yang wajahnya tidak asing di kaca televisyen - Adrian Pang, bertanggungjawab untuk menceritakan 'Kisah Kita'. Ini menandakan penampilan sulungnya di sebalik tabir NDP, selaku pengarah kreatif.

Encik Pang, 56 tahun, sebelum ini pernah mengacarakan NDP pada 2013.

PERSEMBAHAN SECARA LANGSUNG RAIKAN "SIKAP MENYESUAIKAN DIRI WARGA S'PURA"

Dihoskan oleh Joakim Gomez, Sonia Chew, Siti Khalijah dan Rishi Budhrani, pertunjukan tahun ini juga akan menyaksikan para pelajar dan golongan belia kembali berhimpun pada skala besar di NDP setelah dua tahun.

Sekitar 1,300 anak muda dari sekolah menengah hingga institusi pengajian tinggi akan mengambil bahagian dalam pertunjukan tersebut. Ini termasuk pelakon dan penari di atas pentas, jurusolek serta penyemarak penonton.

Kesemua sekali, segmen pertunjukan bakal melibatkan lebih 2,000 pelakon dan penari.

Sepanjang lima babak, persembahan dalam segmen pertunjukan itu akan melahirkan penghargaan kepada pelbagai sektor masyarakat yang telahpun membantu Singapura mengharungi pandemik, termasuk pekerja barisan hadapan, kumpulan-kumpulan sosial dan masyarakat serta keluarga-keluarga di Singapura.

"Ia juga akan meraikan keupayaan warga Singapura untuk menyesuaikan diri yang menonjolkan sikap daya bingkas untuk menyumbang dalam pelbagai cara apabila industri mereka terjejas teruk," terang jawatankuasa tersebut.

Mereka yang menonton NDP 2022 dari rumah pula boleh menjangkakan satu kejutan. Di akhir pertunjukan itu, penonton di rumah akan berpeluang untuk mengalami satu "kesan khas".

Terdapat tiga pertimbangan untuk segmen pertunjukan itu, kata pengerusi jawatankuasa pertunjukan, Kolonel (COL) Mikail Kalimuddin, pada Rabu (29 Jun).

"Pertama sekali, apakah tujuan di sebalik perbarisan tahun ini?
Kami berkongsi pengalaman yang amat jelas (tatkala pandemik). Maka, kami perlu memaparkan perkara itu," katanya.

"Pertimbangan kedua adalah kami perlu mengambil pengalaman itu, pengajaran itu dan meneruskan kehidupan dengan yakin. Kami ingin membangkitkan semangat negara dan membuat semua berasa seperti, kami sudah berjaya mengharunginya dan oleh itu, tiada apa-apa yang mustahil."

Tambah COL Mikail, pertimbangan ketiga adalah sesuatu yang "amat praktikal".

"Pertunjukan itu sendiri perlu berdaya tahan terhadap COVID-19. Apa sahaja situasinya pada 9 Ogos kelak, pertunjukan itu harus kekal penting, relevan dan masih boleh dilaksanakan."

FILEM PAPARKAN "KETERHUBUNGAN'" ANTARA RAKYAT S'PURA

Persembahan secara langsung itu akan diselang-selikan dengan sebuah filem yang bertajuk 'Connections', ditulis dan diarahkan oleh pembuat filem tanah air, Ken Kwek, yang pernah menggondol anugerah.

Dibahagikan kepada empat episod, filem itu memaparkan "saling keterhubungan dalam kalangan individu, keluarga dan masyarakat, yang meskipun terjejas dek pandemik dalam cara yang berbeza-beza, tetap bersatu padu dalam tekad mereka untuk saling membantu satu sama lain mengatasi krisis yang mencengkam", jelas jawatankuasa tersebut.
Sumber : CNA/NY/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita