Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

NDP 2022: Peta online baru tunjuk keadaan sesak di Marina Bay dalam masa nyata

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Mereka yang merancang untuk pergi ke Marina Bay bagi menyaksikan pertunjukan bunga api semasa Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) Selasa depan (9 Ogos) boleh menggunakan peta online baru untuk memeriksa keadaan sesak di sana dalam masa nyata.

Aplikasi Crowd@MarinaBay juga akan menunjukkan kawasan di sekitar Marina Bay yang ditutup kepada orang ramai.

Ia sebahagian daripada aturan keselamatan yang dikuatkuasakan oleh Pasukan Polis Singapura (SPF) sempena Perbarisan Hari Kebangsaan yang diadakan di Pentas Terapung Marina Bay.

Bagi mengelakkan kesesakan, pegawai polis dan pegawai polis tambahan akan mengawal jumlah orang yang berada di kawasan Marina Bay seperti Esplanade Waterfront, One Fullerton Waterfront, Merlion Park, The Promontory dan Marina Bay Sands Waterfront.

"Orang ramai dinasihatkan agar mengikut arahan pegawai dan polis yang bertugas," menurut SPF.

"Dengan ramai orang dijangkakan di sekitar Marina Bay, orang awam dinasihatkan supaya kekal berwaspada dan menjaga barangan peribadi mereka, " tambah SPF.

Mereka yang mempunyai tiket ke NDP dinasihatkan agar datang awal bagi pemeriksaan keselamatan, menurut SPF.

Mereka juga tidak harus membawa terlalu banyak barang ke acara tersebut.

"Bekas lebih besar daripada 100 milimeter yang mengandungi cecair, aerosol atau gel, akan dikenakan pemeriksaan tambahan. Minuman dalam tin dan barangan dalam tin tidak akan dibenarkan dibawa masuk ke kawasan tersebut," menurut SPF.

Polis menyatakan tindakan akan diambil terhadap mereka yang cuba membawa masuk barangan larangan seperti dron atau bunga api.

JALAN RAYA DITUTUP

Penutupan jalan dan lorong juga akan dikuatkuasakan semasa acara tersebut.

Semasa penutupan jalan raya, akses hanya akan diberikan kepada kenderaan yang dibenarkan selain kenderaan polis dan kenderaan kecemasan.

Pegawai polis tambahan dan marsyal Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) akan dikerahkan ke persimpangan yang terjejas untuk membantu serta memberikan panduan arah kepada pemandu.

Kelengahan lalu lintas dijangkakan di Raffles Avenue, Temasek Avenue, Bayfront Avenue, Marina Boulevard, Raffles Boulevard, Republic Boulevard dan Republic Avenue, menurut SPF.

Pemandu juga mungkin menghadapi kelengahan di Nicoll Highway, Robinson Road, Cecil Street, Collyer Quay, Bras Basah Road, Beach Road dan Ophir Road.

"Pemandu harus merancang perjalanan mereka lebih awal untuk elak jalan raya berkenaan. Orang awam juga dinasihatkan agar menggunakan pengangkutan awam," menurut SPF.

Pemandu yang ingin ke Suntec City dan Marina Square dari Raffles Avenue, Raffles Boulevard serta Bayfront Avenue harus menggunakan laluan alternatif melalui Nicoll Highway atau Rochor Road yang menghala ke Temasek Boulevard.

Larangan meletak kenderaan di jalan raya yang terjejas akan dikuatkuasakan dengan ketat.

Kenderaan yang didapati diletakkan secara haram atau menyebabkan halangan akan ditunda, menurut SPF.

SPF menasihatkan penumpang untuk agar menaiki kereta api di stesen MRT City Hall, Raffles Place dan Marina Bay apabila pulang daripada acara tersebut.
Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan