NDP 2021 akan diadakan secara fizikal dengan penonton di Pentas Terapung Marina Bay
Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) pada 9 Ogos ini akan diadakan di Pentas Terapung Marina Bay, dengan satu acara fizikal dihadiri penonton,kata Menteri Pertahanan Ng Eng Hen pada Isnin (28 Jun).
(Gambar: Mediacorp)
SINGAPURA: Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) pada 9 Ogos ini akan diadakan di Pentas Terapung Marina Bay, dengan satu acara fizikal dihadiri penonton,kata Menteri Pertahanan Ng Eng Hen pada Isnin (28 Jun).
Jumlah peserta dan penonton "akan dikurangkan sewajarnya", kata Dr Ng sambil menambah ia akan ditentukan kemudian.
Penonton berusia 12 tahun dan ke atas yang layak bagi program vaksinasi nasional harus menerima vaksin penuh sebelum menghadiri acara itu. Mereka juga perlu menjalani ujian COVID-19 sebelum acara.
Semua peserta juga harus sudah menerima vaksin COVID-19 dan diuji secara rutin sebelum setiap sesi latihan dalam kumpulan berasingan. Terdapat hanya satu persembahan raptai sebelum acara 9 Ogos.
"Akan ada perbarisan dan persembahan gabungan seperti lazimnya, akan ada juga aktiviti di estet-estet kejiranan di mana Jawatankuasa NDP akan berkongsi kelakt," kata Dr Ng kepada wartawan menjelang Hari Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) pada Khamis (1 Jul).
"Kami akan teruskan dengan persembahan fizikal, sebuah acara NDP secara fizikal, tidak seperti tahun lalu. Ia akan diadakan secara berpusat."
Perbarisan Hari Kebangsaan tahun lalu dibahagikan kepada persembahan pada sebelah pagi di Padang dan persembahan sebelah malam di Star Vista, dengan jumlah mereka yang terlibat dalam kedua-dua acara dikurangkan dengan banyaknya sejajar dengan langkah COVID-19.
Dr Ng menyifatkan 9 Ogos sebagai "acara sesuai" untuk membuat peralihan kepada norma baru dengan endemik COVID-19.
"Menjelang 9 Ogos, dengan kerjasama rakyat Singapura, kami berharap sekurang-kurangnya dua pertiga penduduk sudah mendapatkan dos kedua," katanya sambil menekankan bahawa peserta dan penonton yang sudah divaksinasi "mengurangkan risiko dengna banyaknya".
"Dengan langkah keselamatan sewajarnya, cukup selamat bagi kami untuk mengadakan NDP secara fizikal di pentas terapung, dan saya berharap rakyat Singapura akan memberikan sokongan kepada kami."
Apabila ditanya tentang elemen pertunjukan seperti bunga api dan kemungkinan orang ramai akan berkumpul, Dr Ng berkata "kami perlu rakyat Singapura memainkan peranan mereka".
"Lebih baik untuk menyaksikan pertunjukan itu dari rumah. Jangan berkumpul dan saya rasa akan ada pegawai pentadbiran dan duta jarak selamat untuk bantu menguatkuasakan sekatan COVID-19," katanya.
"Namun norma baru ini juga bermakna rakyat Singapura harus mengambil langkah-langkah sendiri untuk melindungi diri masing-masing dan terutama sekali jika anda tidak divaksinasi."
Dr Ng menasihatkan mereka yang belum divaksinasi supaya menonton aktiviti-aktiviti di kawasan kejiranan dari rumah meraka dan elakkan perhimpunan orang ramai kerana "ia tidak selamat".
"Jika anda sudah divaksinasi, ia tidak bermakna anda tidak perlu mengambil sebarang langkah berjaga-jaga, namun kurang risiko kepada anda," katanya.
Dr Ng juga meminta rakyat Singapura faham jika persembahan pada tahun ini "tidak begitu lancar" seperti tahun-tahun sebelumnya, disebabkan tempoh persiapan lebih singkat kerana senario berubah-ubah di tengah-tengah pandemik COVID-19.
"Kami berharap NDP akan memberikan sudut pandangan lebih meluas kerana ia adalah tahun mencabar, selama setahun setengah, dan saya rasa dengan sokongan dan bantuan rakyat Singapura, kita boleh mencapainya," katanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.