NDP 2020: Tabik hormat hargai jasa pekerja barisan hadapan dan khidmat penting di Padang
Perarakan kenderaan dan pasukan payung terjun, Red Lions, berada di estet kejiranan untuk membawa sambutan lebih dekat kepada orang ramai.

Seorang pekerja SingPost dalam NDP2020 dengan latar belakang jet pejuang semasa acara terbang lalu. (Gambar: Gaya Chandramohan)
SINGAPURA:Kontinjen Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) biasanya memberikan tabik hormat kepada dua orang iaitu Perdana Menteri dan Presiden.
Namun pada pagi ini (9 Ogos), kawasan di Padang menyaksikan NDP yang berlainan, yang mana perbarisan diadakan pada skala lebih kecil dan disesuaikan dengan keadaan pandemik COVID-19.
Selain itu, berlatarbelakangkan Galeri Negara, 16 pekerja barisan hadapan dan khidmat penting menghadap komander perbarisan Leftenen-Kolonel (LTC) Nicholas Ong.
Antara mereka ialah seorang jururawat, pemandu ambulans dan juruwang pasar raya.
"Hormat senjata!" bergema suara LTC Ong dalam memberikan arahan kepada anggota kontinjen.
Dengan disaksikan Presiden Halimah Yacob, para pegawai dalam kontinjen memberi tabik hormat kepada mereka sebagai tanda penghargaan atas sumbangan mereka membantu negara melawan COVID-19.
Suntikan istimewa pada NDP tahun ini mendapat tepukan gemuruh semua yang hadir di Padang.
KONTINJEN LEBIH KECIL
Bagi mematuhi langkah jarak selamat, perbarisan yang selalunya diadakan dalam skala yang gah kini hanya melibatkan kakitangan dari Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) dan Pasukan Polis Singapura (SPF).
Jumlah setiap kontinjen pula dikurangkan separuh daripada jumlah biasa sebanyak 72 orang.
Turut tidak kelihatan di Padang ialah penyertaan ribuan penonton, perarakan kenderaan dan juga pasukan payung terjun yang kerap dinanti-nantikan ramai.
Kali ini hanya 150 orang termasuk para menteri dan bakal Anggota Parlimen serta juga wakil masyarakat yang menyaksikan secara langsung di Padang.
Perarakan kenderaan dan pasukan payung terjun, Red Lions, berada di estet kejiranan untuk membawa sambutan lebih dekat kepada orang ramai.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.