Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Nasuha Nasser yang dituduh sebabkan kemalangan kereta di Australia dibenar ikat jamin

Seorang wanita rakyat Singapura yang dituduh menyebabkan kemalangan di Victoria, sehingga keempat-empat penumpangnya cedera, dibenarkan bebas dengan ikat jamin. Demikian menurut media Australia hari ini (26 Nov).

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 26 Nov 2018 10:26PM Dikemas Kini : 27 Nov 2018 12:27AM

SINGAPURA: Seorang wanita rakyat Singapura yang dituduh menyebabkan kemalangan di Victoria, sehingga keempat-empat penumpangnya cedera, dibenarkan bebas dengan ikat jamin. Demikian menurut media Australia hari ini (26 Nov).

Nasuha Nasser, 21 tahun, dikatakan memandu sebuah kereta Renault berwarna biru ketika kemalangan berlaku pada Sabtu (24 Nov), sekitar 8.15 malam (waktu tempatan).

Kereta yang dipandunya bertembung dengan kenderaan lain, sebuah Triton putih, di persimpangan antara Remembrance Drive dengan Madden Road di Windermere, 130 kilometer dari Melbourne,

Dua orang dalam kereta putih terbabit, seorang lelaki berusia 48 tahun dan anak perempuannya yang berusia 10 tahun, tidak cedera, menurut laporan media tempatan.

Polis menyatakan bahawa Nasuha dipercayai gagal berhenti di persimpangan tersebut meskipun isyarat menunjukkan sebaliknya. Dia didakwa hari ini (26 Nov) kerana cuai dan memandu dalam keadaan berbahaya sehingga mengakibatkan kecederaan parah.

Tiga daripada lima rakyat Singapura yang terlibat dalam kemalangan itu merupakan para pelajar Universiti Melbourne. Ini disahkan oleh universiti berkenaan.

Menurut 9News di Australia, saudara kembar Nasuha merupakan antara mereka yang cedera. Beliau mengalami kecederaan serius di bahagian kepala dan dadanya. Mangsa diterbangkan ke Hospital Diraja Melbourne di mana beliau kini dalam keadaan stabil.

Seorang rakannya, pelajar perempuan berusia 20-an tahun, kini bertarung nyawa di Hospital Alfred. Sekiranya beliau tidak terselamat, Nasuha mungkin akan dikenakan pertuduhan lebih berat, menurut 9News.

Laporan itu turut meyebut bahawa Nasuha dibenarkan ikat jamin selepas Majistret menerima bahawa kemalangan itu benar-benar "satu kesilapan" bagi Nasuha.

"Cik (Nasuha) Nasser disoal siasat malam semalam. Dia jujur dan terbuka ketika menerangkan tentang apa yang sudah berlaku," kata Sarjan Detektif Mark Amos seperti dilaporkan The Courier.

The Courier menambah, Nasuha sudah menyerahkan pasportnya dan dia perlu melaporkan diri setiap minggu ke Balai Polis Utara Melbourne.

Seorang jurucakap Kementerian Ehwal Luar (MFA) di Singapura mengatakan bahawa Suruhanjaya Singapura di Canberra sedang menyediakan bantuan konsular kepada kelima-lima rakyat Singapura dan keluarga mereka yang terjejas. 

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan