Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Nassar Mohamad Zain kini presiden baru 4PM

Persatuan Pemuda Pemudi Melayu (4PM) kini mempunyai seorang presiden baru.

Anggaran Waktu Membaca:
Nassar Mohamad Zain kini presiden baru 4PM

Presiden 4PM Nassar Mohamad Zain dan mantan Presiden 4PM Izzuddin Taherally. (Gambar: 4PM)

SINGAPURA: Persatuan Pemuda Pemudi Melayu (4PM) kini mempunyai seorang presiden baru.

Encik Nassar Mohamad Zain mengambil alih jawatan tersebut daripada Encik Izzudin Taherally yang sudah berkhidmat sebagai presiden 4PM selama 31 tahun, menurut persatuan itu dalam kenyataan media pada Sabtu (24 Jul).

Peralihan jawatan itu dilakukan sebulat suara oleh para anggota semasa Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) 4PM yang ke-72 pada Sabtu.

SIAPA NASSAR MOHAMAD ZAIN?

Presiden baru 4PM, Encik Nassar Mohamad Zain pula bukan muka baru kepada persatuan itu. Encik Nassar, 38 tahun sudah berkhidmat sebagai sukarelawan 4PM sejak tahun 2008 hingga 2012.

Dalam tempoh itu, beliau secara aktif melakukan kerja-kerja sukarelawan dalam beberapa insiatif utama termasuk Ramadan on Wheels (ROW), Remaja Resilien R2 dan Akademi Bahas 4PM.

Dari 2013 hingga 2015 pula, Encik Nassar menjadi anggota Jawatankuasa Pengurusan 4PM.

Beliau kemudian menyandang jawatan naib presiden 4PM dari 2016 hingga 2020.

Menjangkaui kepimpinannya dalam program-program utama, Encik Nassar juga terlibat menubuhkan pusat jagaan kanan-kanak 4PM - iaitu Playscapes@4PM. Beliau turut terlibat dalam pelbagai program pengumpulan dana termasuk acara golf amal pada 2015 dan 2016 serta Dian Masyarakat 2018.

Encik Nassar juga berkhidmat sebagai wakil 4PM kepada Persatuan Rakyat sebagai Anggota Korporat dan PA Mesra - Anggota Sub-jawatankuasa Belia.

Berkongsi tentang peralihan jawatan itu, Encik Nassar berkata: "COVID mempercepatkan banyak rancangan kami, mencabar kami untuk kekal relevan dalam landskap sosial dan belia yang berubah-ubah sedang kita melayari gelombang pendigitalan untuk mencari cara baru dalam usaha pendampingan dan mewujudkan kesan-kesan bermakna bersama masyarakat.

"Saya berbesar hati atas peluang ini dan kepercayaan yang diberikan kepada saya untuk memimpin persatuan ini. Mari kita terus Bersatu & Berkhidmat," kata Encik Nassar, yang merupakan lulusan Universiti Nasional Singapura (NUS), dengan ijazah sarjana dalam bidang senibina.

PEMIMPIN MUDA 4PM "MAMPU, BERMOTIVASI"

Encik Izzuddin pula sudah berkhidmat sebagai presiden 4PM sejak tahun 1990. Ini sekaligus bermakna kali terakhir berlaku peralihan kepimpinan dalam 4PM adalah 31 tahun lalu, menjadikan beliau presiden paling lama berkhidmat dalam persatuan itu.

Beliau yang seorang individu yang tidak asing dalam kalangan pertubuhan-pertubuhan Melayu/Islam (MMO) di Singapura menyifatkan tugas membantu masyarakat sebagai satu "tanggungjawab".

Lantaran itu, apabila mengulas tentang peralihan tampuk kepimpinan dalam 4PM itu, Encik Izzuddin yakin para pemimpin muda yang bakal mengemudi persatuan itu kelak dapat memikul tanggungjawab tersebut.

"Para pemimpin muda kami sudah dilatih dan didedahkan kepada banyak tanggungjawab. Mereka terbukti mempunyai kemampuan, dorongan dan bermotivasi namun paling penting sekali mereka menunjukkan bahawa niat mereka berada di tempat yang betul.

"Saya yakin, memandang ke hadapan, 4PM berada dalam kepimpinan baik dan akan terus memainkan peranan penting dalam tahun-tahun yang akan datang," kata Encik Izzuddin.

Para anggota, relawan dan kakitangan 4PM mengucapkan terima kasih kepada Encik Izzuddin atas sumbangan berharga dan kepimpinan berdedikasi sejak 1990.

Di bawah kepimpinannya, 4PM terus menghasilkan program-program yang bermanfaat sepanjang beberapa tahun dan membimbing ramai pemimpin belia, termasuk ramai yang kini berada dalam pengurusan baru 4PM.

Tahun lalu, Encik Izzuddin dianugerahi Bintang Bakti Masyarakat (Lintang) sempena Hari Kebangsaan 2020 - iaitu anugerah keempat tertinggi dalam senarai Anugerah Hari Kebangsaan itu.

Jawatankuasa kepimpinan 4PM yang baru itu terdiri daripada para pemegang jawatan dan anggota yang baru dan lama termasuk tiga wanita.

Golongan belia merangkumi dua pertiga daripada jawatankuasa pengurusan baru itu, dengan purata usia 32 tahun. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan