Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Nasrun Mizzy antara 8 Pemenang Anugerah Presiden bagi Guru 2022

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Daripada lebih 4,000 pencalonan tahun ini, lapan orang guru dinobatkan dengan Anugerah Presiden bagi Guru 2022.

Anugerah itu disampaikan sendiri oleh Presiden Halimah Yacob di Istana petang tadi (1 Sep).

Salah seorang pemenang tahun ini ialah Encik Nasrun Mizzy, Ketua Jabatan Pendidikan Jasmani di Sekolah Rendah Teck Whye.

Meskipun pengalamannya sudah menjangkau 25 tahun dalam bidang pendidikan, beliau sentiasa meneroka kaedah baru bagi mempertingkatkan lagi pembelajaran anak didiknya.

Contohnya, apabila langkah-langkah jarak selamat COVID-19 yang ketat dikuatkuasakan dan pengalaman para pelajar yang mengikuti kelas-kelas Pendidikan Jasmani, Encik Nasrun mengambil inisiatif untuk mendorong sekumpulan Ketua Jabatan dari sekolah-sekolah berbeza untuk berkongsi sumber masing-masing di Ruang Belajar Pelajar (SLS). Ini bagi menyokong pembelajaran para pelajar di kesemua sekolah itu.

Malah, ketika tapak-tapak perkhemahan di luar ditutup dek sekatan-sekatan COVID-19, beliau bersama guru-guru lain merancang untuk mengadakan perkhemahan di sekolah bagi para pelajar Darjah 4.

Bagi memastikan para pelajar tidak terlepas peluang mengalami unggun api, peralatan-peralatan sukan seperti kayu hoki lantai dan lampu lap-lip digunakan.

GURU JADI SURI TELADAN

Cara mendidik yang inovatif dan dedikasi Encik Nasrun untuk membangunkan potensi penuh para pelajarnya menjadikan beliau antara lapan guru terpilih bagi Anugerah Presiden bagi Guru tahun ini.

--

"Saya berharap dengan pengiktirafan ini saya akan dapat memberi motivasi kepada semua murid tidak kira mana mereka bermula, tidak kira latar belakang mereka. Jika kita ada semangat, ada fokus dan juga ada insan yang menyokong kita untuk melakukan yang terbaik, kita akan berjaya," ujar Encik Nasrun, 48 tahun.

Tambahnya, pengiktirafan tersebut juga mendorongnya untuk terus mencabar diri sendiri untuk memastikan pemikiran kreatif dan inovatif serta meneroka lagi teknik pengajaran lain yang lebih berkesan.

Justeru, beliau menganggap bahawa pengiktirafan tersebut bukan hanya untuk dirinya sahaja tetapi juga para guru lain yang bergotong-royong dalam mendidik para pelajar.

Kata Encik Nasrun: "Seperti kata pepatah Inggeris, jika kita ingin maju dengan cepat, kita berusaha sendirian tetapi jika kita ingin maju dengan lebih jauh lagi, kita perlu berusaha bersama dan di sinilah semangat bergotong-royong amat penting."

Dalam pada itu, Encik Nasrun turut berharap bahawa anugerah tersebut akan menjadi satu sumber motivasi bagi para pelajarnya untuk memiliki semangat kental dalam berdepan apa jua cabaran.

--

Beliau mendedahkan kepada BERITAmediacorp bahawa beliau kehilangan ayahnya sejak kecil lagi dan dibesarkan seorang diri oleh ibunya, Cik Umi Kalsom Osman.

Oleh demikian, kehidupannya dahulu bukanlah senang-lenang malah dibelenggu dengan pelbagai cabaran.

Bagaimanapun, beliau tetap bersyukur kerana bukan sahaja mendapat sokongan padu daripada ibunya mahupun para gurunya, terutamanya Cikgu Jumari Sakom yang mengajarnya di peringkat sekolah rendah.

"Membesar dalam keadaan yang sukar, beliau meraih keyakinan di padang bola sepak dan galakan gurunya, Encik Jumari Sakom yang memberinya peluang untuk menjadi Naib Kapten. Oleh itu, beliau juga menjadi seorang guru yang terdorong untuk membantu pelajarnya, lebih-lebih lagi mereka dengan latar belakang yang mencabar, pelajari sukan tidak kira apa jua kebolehan mereka," kata Presiden Halimah Yacob dalam ucapan beliau di majlis penyampaian anugerah itu petang tadi (1 Sep).

Menurut Presiden Halimah Yacob lagi, pendidik seperti Encik Nasrun memaparkan ciri-ciri guru yang berdedikasi dan memberi impak yang besar terhadap para pelajarnya.

Encik Nasrun dan tujuh lagi pendidik diraikan dalam majlis yang diadakan di Istana petang tadi.

Mereka terpilih daripada 17 orang finalis.

Para penerima Anugerah Presiden Guru dan para finalis akan menerima geran untuk menjalani kursus-kursus, bengkel, seminar atau hadiri sidang di luar negara atau membeli bahan-bahan bagi pembangunan kerjaya mereka.

Senarai penuh pemenang Anugerah Presiden bagi Guru 2022:

1. Encik Nasrun Mizzy (Sekolah Rendah Teck Whye)

2. Cik Chan Wee Teng Dawn (Sekolah Rendah Dazhong)

3. Cik Cheong May Fung Beverly, (Sekolah Rendah White Sands)

4. Cik Huang Kexin (Sekolah Menengah Fuhua)

5. Encik Lin Shaojie (Sekolah Menengah Riverside)

6. Cik Tay Hui Cheng (Sekolah Menengah St. Anthony’s Canossian)

7. Cik Hu Leong Hong Pauline (Institut Pendidikan Teknikal)

8. Cik Tan Hui Min (Institut Nasional Pembangunan Awal Kanak-kanak)
 

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan