Skip to main content

Singapura

Nasib kuda di Singapore Turf Club; cabaran cari tempat baru bagi ratusan terjejas

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Mencari kemudahan baru di luar negara untuk menempatkan ratusan kuda apabila perlumbaan di Singapore Turf Club dihentikan pada penghujung 2024 - akan menjadi sesuatu yang amat mencabar, menurut pemain industri.

Pada Selasa (13 Jun), Persekutuan Lumba Asia melahirkan kebimbangan bahawa menempatkan semula kira-kira 700 ekor kuda dari Singapura - sama ada ke kelab lumba kuda yang lain atau ke ladang atau kandang bagi haiwan yang tidak lagi mampu berlumba - akan menjadi satu "tugas besar".

"(Ini) melibatkan kebajikan kuda yang memerlukan perancangan yang luas," kata persekutuan itu dalam satu kenyataan media.

Pada Rabu, sekumpulan pemilik kuda berkata mereka akan merayu kepada pemerintah supaya perlumbaan kuda diteruskan di Singapura.
Sekiranya pemerintah teruskan dengan keputusannya, kebanyakan kuda yang terjejas mungkin akan dipindahkan selepas perlumbaan terakhir di Singapura pada 5 Okt 2024. Bahkan, beberapa pemilik berkata mereka mahu berundur sebelum itu.

Mediacorp meneroka logistik di sebalik langkah mengeksport kuda dari Singapura.

DI MANA KUDA DIEKSPORT?

Pada masa ini, kebanyakan kuda dieksport ke Malaysia.

Firma Pengangkutan Kuda Lumba Antarabangsa New Zealand berkata eksport dari Singapura secara tradisinya adalah ke Malaysia, setiap bulan.

“Kuda ke Malaysia biasanya adalah kuda yang tidak mencapai tahap yang memenuhi keperluan Singapura,” kata pengarah Lachlan Ford. "Atau (ia adalah kes) pemilik memutuskan untuk meletakkan kuda mereka dengan lebih baik di litar perlumbaan Malaysia."

Jurulatih kuda memberitahu Mediacorp kira-kira 40 kuda dieksport ke Malaysia setiap bulan. Kuda itu juga perlu memenuhi keperluan tertentu untuk berlumba di sana.

BAGAIMANA DENGAN NEGARA LAIN?

Selain Malaysia yang dilihat sebagai "jalan keluar paling mudah", ada juga yang dihantar ke tempat seperti Dubai, Macau dan Australia.

Di manapun kuda itu dihantar, apa yang pasti ialah harga tinggi untuk berbuat demikian. Haiwan tersebut perlu menjalani kuarantin, mendapatkan vaksinasi dan pensijilan eksport, di samping perbelanjaan pengangkutan.

Mediacorp difahamkan bahawa kosnya boleh menelan belanja kira-kira S$5,000 untuk menghantar seekor kuda ke Malaysia, S$9,000 ke Thailand dan S$20,000 ke Australia.

Syarikat pengangkutan udara yang mengendalikan pengangkutan kuda berkata Singapura jarang mengeksport ke negara seperti Australia atau New Zealand, melebihi beberapa penghantaran setahun.

Pengarah Equine International Airfreight Cameron Croucher menganggarkan hanya kira-kira 50 ekor kuda telah dieksport dari Singapura ke Australia dalam tempoh lima tahun yang lalu.

Bagaimanapun, sejak penutupan Singapore Turf Club diumumkan, beliau telah menerima pertanyaan untuk mengeksport kira-kira 50 hingga 60 ekor kuda ke Australia, New Zealand, Macau, Thailand dan Filipina.

Mengeksport ke setiap negara mempunyai cabaran berbeza kerana peraturan dan prosedur yang berbeza, kata Encik Croucher, memberi contoh kapasiti terhad Singapura untuk mengkuarantin kuda untuk dieksport.

BIARKAN KUDA TERUS TINGGAL DI SINGAPURA?

Ditanya sama ada kandang kuda di Singapura boleh menempatkan kuda yang terjejas, Encik Jason Lim dan rakan jurulatih Richard Lim merujuk kepada ruang terhad di negara ini.

“Sama ada sesebuah kemudahan itu boleh mengambil kuda yang tidak lagi berlumba, isunya ialah sama ada mereka mahu atau tidak,” kata Encik Richard Lim.

Ada juga kuda yang terlalu muda untuk dipaksa 'bersara' dan masih "sangat cergas", kata Encik Jason Lim, sambil menambah bahawa haiwan-haiwan itu "masih mahu berlumba".
Kemudahan kandang kuda tempatan yang dihubungi Mediacorp berkata ia tidak dapat menampung lebih banyak kuda pada masa ini. Namun, ada yang mengsyorkan kuda-kuda itu dilatih semula untuk "kerjaya kedua" di sekolah menunggang kuda.

"Kami boleh ambil beberapa lagi ekor kuda", kata Cik Monique Heah, Setiausaha Agung Persekutuan Ekuestrian Singapura, tetapi tidak sehingga 700 kuda tambahnya.

Setiausaha kehormat Kelab Polo Singapura, Encik Rickard Hogberg, juga memberitahu Mediacorp bahawa kelab itu tidak mempunyai ruang untuk lebih banyak kuda pada masa ini.

Cik Heah berkata Pusat Ekuestrian Kebangsaan mempunyai dua pekerja yang boleh mengajar jurulatih bagaimana untuk melatih semula kuda lumba untuk menjadi kuda dressage atau show jumper.

Dressage ialah sukan di mana penunggang mendapatkan kuda untuk melakukan pergerakan yang tepat.

“Kuda lumba … apa yang ia perlu lakukan adalah sangat berbeza daripada sukan ekuestrian. Jadi ia akan mengambil sedikit masa … tiga hingga enam bulan untuk melatih semula kuda dalam 'kerjaya' yang berbeza,” kata Cik Heah.
Sumber : CNA/SU/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita