'Nasi lemak Wallaby' air tangan SG di dapur kem tentera Australia

Kakitangan SAF beratur untuk makan malam di kem Tilpal pada 11 Nov, 2024. (Gambar: CNA/Syamil Sapari)
Menunya yang termasuk kepak ayam bersalut tepung rangup, sambal dan sayur goreng - persis hidangan yang disajikan bersama nasi lemak.
Namun, hidangan yang disajikan ini bukan nasi lemak biasa dan dapur di mana ia disediakan pula terletak di sebuah kem tentera di Shoalwater Bay.
RESIPI NASI LEMAK WALLABY
Orang yang bertanggungjawab menyediakan sajian popular Singapura ini kepada askar Australia ialah Cik Bee Bee Jan Abdul Kadir.
Selain timun, tomato juga disajikan sebagai pelengkap hidangan.
Sambal yang beliau sediakan pula dibuat daripada resipi rahsia, kongsi Cik Bee Bee Jan kepada wartawan pada Isnin (11 Nov).
Tambah beliau askar di kem itu, khususnya dari Angkatan Bersenjata Singapura (SAF), menggelarnya "Nasi lemak Wallaby".

Selain nasi lemak, cef dari SATS Food Services juga menyediakan pelbagai lagi sajian di Kem Tilpal yang baru dibangunkan di Kawasan Latihan Shoalwater Bay, yang diperluaskan.
Kem itu boleh memuatkan 2,000 orang, dan menjadi tuan rumah latihan kepada SAF, Angkatan Pertahanan Australia dan tentera pelawat lain.
Ini termasuk Latihan Wallaby, latihan luar negara terbesar SAF yang berlangsung selama sembilan minggu.
Fasa terakhir, dikenali sebagai Latihan Trident, ialah latihan ketenteraan dua hala antara Singapura dan Australia yang dijalankan antara 6 hingga 15 Nov tahun ini.
AIR TANGAN CEF SG
Makanan dihidangkan empat kali sehari di Kem Tilpal, antara 4.00 pagi hingga 8.00 malam.
Ini bermakna antara 500 dengan 2,000 sajian disediakan dalam sehari, kata Encik Ewan Choo, ketua operasi SATS untuk anak syarikat Primary Industries di Queensland.
Tambahnya, untuk menyediakan semua makanan tersebut, kira-kira 6,200 kilogram (kg) makanan laut, 10,000 kg ayam dan 10,000 kg sayur serta 15,000 kg buah-buahan digunakan sepanjang tempoh latihan ketenteraan.

Menurut beliau lagi, pasukan SATS mula membuat persiapan sekitar tiga bulan sebelum Latihan Wallaby diadakan.
Ini termasuk memilih kakitangan dapur dan memastikan mereka sihat, menyiapkan rencah siap dimasak - seperti laksa, assam pedas dan rendang - untuk diimport ke Australia.
Ini memberi askar pengalaman "tidak jauh dari rumah" dan makan hidangan terasa seperti yang dimasak sendiri di Singapura, kata Encik Choo, sekali gus boleh meningkatkan semangat mereka,
MENU FLEKSIBEL, ELAK RASA BOSAN
Untuk mengelakkan askar daripada rasa bosan dengan menu yang dihidangkan, pasukan SATS mengikuti kitaran 15 hingga 18 hari sejajar dengan fasa Latihan Wallaby dan Latihan Trident, kata Encik Choo.
Semasa setiap kitaran itu, hidangan tidak diulang.
Meskipun cef yang bertugas mempunyai rutin tetapi mereka juga fleksibel dan terbuka kepada pilihan makanan yang diminta askar.

Tambah beliau lagi, mereka juga cuba memenuhi permintaan askar yang rindukan masakan Singapura.
Bagi Cik Bee Bee Jan, yang sudah menyertai enam edisi Latihan Wallaby, ia bukan sekadar nasi lemak terkenalnya.
Mi soto dan sup kambing yang disediakan tukang masak berusia 62 tahun itu juga amat popular dalam kalangan tentera, sehingga mereka menulis surat penghargaan.
Pernah juga, seorang pegawai tentera membelikannya periuk.
"Dia memberikannya kepada saya sambil berkata: 'Anda bawa balik (rumah) jadi setiap kali anda masak, anda akan ingat saya'," kata Cik Bee Bee Jan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.