Nampak seperti vape biasa, tapi ‘Kpod’ bercampur dadah lebih berbahaya dan memudaratkan
Apabila David (bukan nama sebenar) mencuba vape yang ditawarkan oleh rakan-rakannya buat pertama kali pada Januari tahun lalu, beliau langsung tidak menyangka bahawa cecair di dalamnya mengandungi lebih daripada sekadar nikotin.
Agensi khidmat sosial yang menyediakan khidmat kaunseling kepada bekas penagih muda berkata ramai dalam kalangan mereka mempunyai tanggapan yang salah tentang bahaya vape yang dikenali sebagai “Kpod”, termasuk kepercayaan tidak tepat bahawa etomidate membawa risiko kesihatan yang minimum. (Ilustrasi: CNA/Nurjannah Suhaimi)
SINGAPURA: Apabila David (bukan nama sebenar) mencuba vape yang ditawarkan oleh rakan-rakannya buat pertama kali pada Januari tahun lalu, beliau langsung tidak menyangka bahawa cecair di dalamnya mengandungi lebih daripada sekadar nikotin.
Hanya selepas berasa pening selepas beberapa sedutan, remaja itu, yang kini berusia 20 tahun, mula mengesyaki bahawa ia bukan vape biasa, yang dengan sendirinya diharamkan di Singapura.
Selepas beliau menyoal rakan-rakannya, mereka mendedahkan bahawa ia adalah "Kpod" – sejenis vape yang dicampur dadah dan lazimnya mengandungi bahan kimia seperti etomidate, sejenis ubat bius bertindak pantas yang digunakan dalam prosedur perubatan. Namun, beliau tetap tetap menggunakannya.
“Saya mula-mula hanya gunakan vape kawan di kelab, tapi selepas itu saya sedar saya semakin ketagih dan mula mencarinya dengan lebih kerap,” kata Encik David kepada CNA TODAY.
“Jadi saya minta nombor (penjual) daripada kawan saya dan beli ‘Kpod’ sendiri. Saya mula menggunakannya hampir setiap hari di rumah.
“Saya sedar saya dah mula ketagih pada bulan keempat atau kelima, tetapi saya tetap tidak dapat berhenti disebabkan rangsangan yang ia hasilkan.”
Turut dikenali sebagai “vape zombi” atau “space oil”, “Kpod” semakin popular di Singapura sejak tahun lalu.
Peranti itu dikenali sebagai “Kpod” kerana ia kadangkala turut dicampur dengan ketamin, sejenis lagi ubat bius yang mempunyai sifat halusinogenik.
Dalam maklum balas bersama kepada CNA TODAY pada Ahad (13 Jul), Kementerian Kesihatan (MOH) dan Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) menyatakan bahawa setakat 30 Jun, Penguasa Sains Kesihatan (HSA) sudah mengesan 28 kes melibatkan etomidate pada tahun ini. Jumlah tersebut hampir tiga kali ganda berbanding 10 kes yang dikesan pada 2024.
Dalam satu serbuan pada April 2024, pihak berkuasa turut merampas 65 vape yang disyaki mengandungi tetrahydrocannabinol, sebatian psikoaktif utama dalam ganja.
Dalam maklum balasnya pada 13 Jul, MOH dan MHA menyatakan agensi-agensi penguat kuasa sedang mempertimbangkan langkah-langkah tambahan untuk menangani isu vape bercampur dadah dengan lebih berkesan, termasuk sama ada undang-undang sedia ada perlu diperketat.
Agensi khidmat sosial, pakar penjagaan kesihatan dan pakar undang-undang berkata kekurangan kesedaran tentang “Kpod” serta kesannya terhadap kesihatan bagi jangka panjang, selain kekaburan dari segi peraturan yang dimanipulasi oleh penjual dan pengguna, mungkin mendorong peningkatan penggunaannya dalam kalangan golongan muda.
David sendiri mengakui bahawa meskipun dia tahu vape itu dicampur dadah, ia tidak menjadi penghalang bagi dirinya.
Rakan-rakannya mendakwa bahawa bahan tersebut tidak boleh dikesan melalui ujian air kencing dan meyakinkan beliau bahawa dia boleh menikmati rasa khayal tanpa ditangkap.
Beliau juga diberitahu bahawa etomidate diklasifikasikan sebagai racun di bawah Akta Racun Singapura, dan bukannya dadah terkawal Kelas A di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah, yang membawa hukuman lebih berat.
Oleh itu, beliau percaya jika ditangkap, beliau hanya akan dikenakan tuduhan di bawah Akta Tembakau, yang mengharamkan vape biasa, dan bukannya dikenakan hukuman berat di bawah undang-undang dadah Singapura.
Beliau akhirnya berhenti menggunakan vape itu pada Julai lalu selepas ibunya mengetahui perkara itu dan merujuknya ke pusat pemulihan ketagihan. Beliau bergelut untuk berhenti sepenuhnya akibat simptom penarikan diri yang dialami.
“Bila saya berhenti guna ‘Kpod’, saya rasa sangat letih dan seluruh badan saya sakit ... saya rasa sangat tidak selesa dalam badan saya sendiri tanpa menggunakannya.”
Encik Wilson Tan, pengarah eksekutif di Youth Guidance Outreach Services, berkata sesetengah golongan muda mempunyai pandangan liberal terhadap bahan kimia sedemikian dan ada yang berkata: “Ini bukan dadah, ini ubat. Ia digunakan untuk menyelamatkan nyawa. Kalau ia masuk ke dalam badan saya – kalau saya gunakan secara sederhana – saya rasa ia tidak akan merosakkan badan saya sangat.”
Bersetuju dengan pandangan itu, kaunselor di pusat pemulihan ketagihan We Care Community Services, Encik Alvin Seng, berkata anak muda sering memandang ringan kesan kerosakan neurologi dan organ dalam jangka panjang akibat penggunaan “Kpod”, kerana mereka percaya penggunaan secara sekali-sekala adalah selamat.
Namun pakar kesihatan dan ketagihan menegaskan kepercayaan itu jauh menyimpang daripada realiti.
Walaupun “Kpod” masih merupakan fenomena baharu dan lebih banyak kajian diperlukan untuk menilai kesan jangka panjang penyalahgunaan etomidate menerusi sedutan, para pakar memberi amaran bahawa risikonya jauh lebih serius daripada apa yang difahami oleh kebanyakan golongan muda - justeru itu, ia diklasifikasikan sebagai racun sejak awal lagi.
Profesor Madya Bibhas Chakraborty, pengarah interim di Pusat Perubatan Kuantitatif, Sekolah Perubatan Duke-NUS, berkata ubat penenang seperti etomidate boleh menyebabkan dos berlebihan yang membawa kesan parah atau mengancam nyawa dengan serta-merta.
“Sebaliknya, vape atau rokok biasa mengandungi nikotin, yang meskipun menyebabkan ketagihan, tidak diklasifikasikan undang-undang sebagai racun. Kesan sampingannya seperti kerosakan organ berpunca daripada penyalahgunaan jangka panjang dan menjejaskan kesihatan dari masa ke masa,” jelasnya.
“Secara ringkas, ‘Kpod’ boleh membawa maut dengan serta-merta, manakala vape dan rokok biasa lebih menjejaskan kesihatan awam dalam jangka panjang akibat pendedahan kronik.”
Dr Clare Anne Fong, perunding di Bahagian Perubatan Pernafasan dan Rawatan Rapi, Hospital Universiti Nasional (NUH), berkata apa yang lebih membimbangkan adalah hakikat bahawa para pengguna tidak benar-benar tahu kandungan atau campuran kimia yang tepat dalam “Kpod”.
Ketidaktentuan tersebut, menurut para pakar, meningkatkan risiko kelebihan dos secara tidak sengaja.
Encik Bruce Mathieu, penceramah motivasi dan pencipta kandungan yang lantang menentang penggunaan “Kpod” di media sosial, berkata kekurangan ketelusan tentang kandungan vape menjadikannya lebih berbahaya kepada pengguna.
Lelaki berusia 55 tahun yang juga merupakan bekas penagih dadah itu berkata perjuangannya berhubung penyalahgunaan bahan bermula sejak beliau mencuba ganja pada usia 13 tahun. Beliau kemudian menghabiskan lebih 30 tahun keluar masuk penjara atas kesalahan berkaitan dadah.
“Pada akhirnya, pengedar dadah mahukan wang, lebih banyak wang. Mereka tak peduli tentang kesihatan anda. Mereka tak peduli apa yang mereka masukkan ke dalam pod itu,” tambahnya.
“Mereka boleh kata (ia mengandungi) etomidate atau mereka boleh kata itu ‘Kpod’ tapi ... ia mungkin hanya nikotin dan kafein. Atau mungkin juga dadah lain yang lebih kuat. Tiada pemeriksaan kualiti ... anda tidak tahu apa yang anda masukkan ke dalam badan anda.”
Beliau turut berkata: “Kalau saya ada pilihan – antara dua keburukan – antara ‘Kpod’ dan meth, saya akan pilih meth.” Meth merujuk kepada methamphetamine, sejenis dadah rangsangan haram.
“Sekurang-kurangnya dengan meth, saya tahu apa yang saya ambil. Dengan ‘Kpod’, saya tidak tahu. Apa yang saya hisap sekarang mungkin yang terakhir buat saya … dan itu satu gambaran yang amat menakutkan.”
Agensi khidmat sosial di Singapura memberitahu CNA TODAY bahawa mereka menyaksikan peningkatan pelanggan yang mendapatkan bantuan berkaitan penggunaan “Kpod” sejak tahun lalu.
Kebanyakan daripada mereka adalah golongan belia – termasuk mereka yang berusia 13 tahun – yang dirujuk oleh ibu bapa, pihak sekolah atau pusat khidmat keluarga.
Menurut agensi-agensi tersebut, kebanyakan pengguna terdiri daripada golongan remaja lebih tua dan dewasa muda berusia antara 15 hingga 29 tahun. Ini kerana “Kpod” adalah lebih mahal berbanding vape biasa dan cenderung diakses oleh mereka yang mempunyai keupayaan kewangan yang lebih baik.
Masalah “Kpod” ini bukan hanya tertumpu di Singapura.
Jumlah rampasan vape bercampur dadah semakin meruncing di seluruh Asia Tenggara dan bahagian lain di Asia dalam beberapa tahun kebelakangan ini, mencerminkan kebimbangan kesihatan awam yang semakin meningkat.
Pada Jun lalu, tiga rakyat Singapura merupakan antara empat lelaki yang didakwa di Malaysia atas kesalahan mengedar 9.42 liter kokain cecair yang disimpan dalam hampir 5,000 pod vape.
Pada Mei tahun lalu, The Bangkok Post melaporkan bahawa empat individu, termasuk dua rakyat Singapura, ditangkap di ibu kota Thailand kerana menjual vape yang dicampur methamphetamine dan heroin.
Kes-kes itu menggambarkan satu trend serantau yang membimbangkan – peningkatan ketersediaan dan penyalahgunaan vape bercampur dadah yang membawa risiko kesihatan serius kepada pengguna, khususnya golongan muda.
Para pakar menyifatkan peningkatan penggunaan “Kpod” berpunca daripada beberapa faktor termasuk perdagangan rentas sempadan, penggunaan platform mesej sulit seperti Telegram, kemajuan teknologi yang pesat serta buah mulut dalam kalangan rakan sebaya.
Saluran-saluran tersebut membolehkan para pengguna mendapatkan vape yang diubah suai dengan mudah dan tanpa dikenal pasti, sekali gus menyukarkan pihak berkuasa untuk memantau, membendung atau menguatkuasakan peraturan terhadap trend tersebut.
Dr Fong dari NUH berkata: “Berbeza dengan Singapura, vape – jika dibandingkan dengan dadah ‘berat’ lain – masih dibenarkan di banyak negara lain dan tiada peraturan seragam berkaitan penjualannya.”
Encik Shaneet Rai, penasihat undang-undang kanan di firma Kalidass Law Corporation, berkata penjual kini menggunakan kumpulan chat sulit seperti Telegram atau Discord untuk memasarkkan “Kpod”.
Oleh itu, usaha penguatkuasaan menjadi lebih rumit disebabkan nama pengguna yang tidak dikenal pasti, saluran komunikasi yang cepat dipadamkan, serta pembayaran yang dibuat menggunakan mata wang kripto atau perkhidmatan bayar kemudian, tambah beliau. Malah, kepantasan para penjual menyesuaikan diri dengan teknologi baharu sering kali mengatasi keupayaan alat penguatkuasaan sedia ada.
Sama seperti vape biasa, “Kpod” turut hadir dalam pelbagai perisa manis.
Namun berbeza daripada vape biasa, “Kpod” dicampur dengan lebih daripada sekadar nikotin. Etomidate merupakan antara dadah yang paling kerap dikesan dalam vape jenis tersebut, namun ia bukan satu-satunya bahan yang digunakan.
Para pakar menyatakan bahawa “Kpod” kini menjadi saluran baharu bagi pengedar dadah untuk mengedarkan bahan terlarang.
Kandungan cecair dalam produk itu hampir tidak dapat dibezakan daripada jus vape biasa tanpa ujian makmal atau analisis toksikologi, menjadikan pengesanan sangat mencabar.
Encik Rai berkata “Kpod” kebiasaannya diimport ke Singapura dan sering diseludup bersama penghantaran vape pasaran gelap.
Ia lazimnya dihasilkan di makmal luar negara yang tidak dikawal selia, dengan hampir tiada sekatan terhadap penambahan bahan psikoaktif ke dalam cecair e-rokok, tambah beliau.
Bahan-bahan itu boleh diubah suai dengan kerap, bukan sahaja untuk mengelakkan tindakan undang-undang, tetapi juga untuk mengurangkan kos pengeluaran dengan mencampurkannya dengan bahan kimia lain.
Memandangkan vape tidak dikawal selia, tiada petunjuk jelas mengenai kandungannya, termasuk komposisi kimia sebenar.
Dalam sesetengah kes, penjual sendiri tidak tahu apa yang terkandung dalam vape tersebut.
Seorang penjual memberitahu CNA TODAY bahawa dia sendiri tidak tahu sumber asal “Kpod” yang dijualnya.
Lelaki berusia 28 tahun yang berpangkalan di Malaysia dan enggan namanya didedahkan itu berkata beliau hanya bergantung kepada jaminan pembekal bahawa produk yang dijualnya mengandungi etomidate, tetapi mengakui bahawa beliau tidak tahu kandungan sebenar “Kpod” yang dijual.
Beliau percaya ia mungkin turut dicampur tetrahydrocannabinol, sebatian psikoaktif utama dalam ganja.
Tambahnya lagi, jenama “Kpod” yang berbeza mungkin mengandungi campuran kimia yang lain dan oleh itu memberi kesan yang “berbeza dari segi kekuatan”.
Penjual “Kpod” lain yang dihubungi CNA TODAY menerusi Telegram pula berkongsi senarai penjualan dengan pelbagai “perisa” – kebanyakannya berasaskan buah seperti mangga atau epal hijau – serta pelbagai jenama.
Namun mereka tidak menyatakan bagaimana kandungan vape itu boleh disahkan, sebaliknya hanya memberikan jaminan secara lisan.
Pusat pemulihan dadah Addictions Recovery Singapore menyatakan: “Penting untuk diberi perhatian bahawa etomidate bukan satu-satunya risiko. Kami ada melihat bukti bahawa cecair vape juga boleh dicampur secara sulit dengan ketamin, kokain, methamphetamine, heroin dan cannabinoid sintetik.
“Ini sangat membimbangkan, kerana pengguna mungkin langsung tidak menyedari apa yang mereka sedut, sekali gus meningkatkan risiko reaksi psikologi tidak menentu dan ketagihan pelbagai jenis dadah.”
ETOMIDATE: KRISIS KESIHATAN YANG BERPOTENSI
Pakar kesihatan dan ketagihan berkata peningkatan penggunaan “Kpod” dalam kalangan belia amat membimbangkan, kerana etomidate boleh mendatangkan kesan buruk dalam jangka pendek dan panjang – termasuk kemungkinan membawa maut walaupun dengan penggunaan sekali sahaja.
Profesor Madya Bibhas Chakraborty, pengarah interim Pusat Perubatan Kuantitatif di Sekolah Perubatan Duke-NUS, menyifatkan etomidate sebagai ubat kuat yang digunakan di hospital bagi menidurkan pesakit ketika prosedur perubatan.
Ia sepatutnya hanya diberikan di bawah pengawasan perubatan rapi, dan bukan untuk kegunaan peribadi atau jangka panjang.
Tindakan menyedut etomidate boleh menyebabkan kesan jangka pendek seperti pening, kekeliruan, gegaran dan kesukaran bernafas.
Dr Sharad Haridas, pakar psikiatri di Promises Healthcare, sebuah klinik yang menawarkan rawatan ketagihan, berkata dadah itu juga boleh menurunkan paras asid gamma-aminobutyric(GABA) di otak, yang mengakibatkan peningkatan keresahan, gangguan tidur, kesukaran untuk menumpukan perhatian dan, dalam sesetengah kes, gangguan panik.
Menurut Addictions Recovery Singapore, meskipun etomidate tidak dianggap sebagai penyebab ketagihan di bawah pemantauan perubatan, penyedutan untuk tujuan rekreasi boleh membawa kepada kebergantungan psikologi, dengan pengguna mengejar kesan penenangnya.
Penggunaan secara sekali-sekala juga boleh mengganggu corak tidur dan mencetuskan keresahan atau sikap mudah marah, yang merupakan antara tanda awal gejala penarikan diri.
Kesan penggunaan “Kpod” lebih serius dalam kalangan remaja kerana otak mereka masih dalam proses perkembangan. Pendedahan kepada bahan kimia sejak muda boleh menjejaskan fungsi kognitif, kawalan emosi dan ingatan dalam jangka masa panjang.
Golongan muda juga menguraikan dadah secara berbeza berbanding golongan dewasa, yang boleh membawa kesan sampingan yang tidak dijangka, kata Dr Fong dari NUH.
Selain itu, “Kpod” juga mungkin dicampur bahan lain yang tidak didedahkan selain etomidate. Pendedahan awal kepada dadah turut meningkatkan kemungkinan beralih kepada penggunaan dadah lain dan ketagihan dalam jangka panjang, kata para pakar.
Dr Melvyn Zhang, perunding kanan di Perkhidmatan Pengurusan Ketagihan Kebangsaan di Institut Kesihatan Mental (IMH), berkata perkembangan otak remaja berterusan hingga ke usia pertengahan 20-an.
Sebarang bentuk penyalahgunaan bahan dalam tempoh itu boleh menjejaskan perkembangan otak, menimbulkan isu kesihatan mental, atau meningkatkan risiko ketagihan.
“Dari sudut klinikal, memang ada kemungkinan bahawa percubaan awal bahan terlarang boleh mendorong seseorang kepada penyalahgunaan dadah lain.
“Namun begitu, hipotesis bahawa penggunaan ‘Kpod’ bertindak sebagai ‘gateway drug’ yang membawa kepada penggunaan dadah lain masih belum diuji secara saintifik,” tambah Dr Zhang.
Apa pun, penggunaan “Kpod” bukan sekadar soal risiko ketagihan. Dr Zhang turut memberi amaran bahawa ia boleh membawa kepada kekurangan adrenal, satu keadaan kesihatan serius yang menjejaskan penghasilan kortisol, hormon penting untuk tindak balas tekanan tubuh dan pelbagai fungsi fisiologi.
Para pakar berkata lebih banyak kajian diperlukan berhubung penggunaan ubat penenang seperti etomidate untuk tujuan rekreasi, terutamanya melalui penyedutan, termasuk potensi ketagihan dan gejala penarikan diri, memandangkan “Kpod” masih merupakan satu fenomena baharu.
Namun begitu, kesan vape bercampur dadah terhadap pengguna individu sudah mula kelihatan.
Bagi David, kesan penggunaan termasuk rasa “ringan kepala” dan “khayal”, rasa khayal yang hanya bertahan kurang seminit setiap kali beliau menyedut “Kpod”.
Walaupun rasa itu pada mulanya menyenangkan, beliau kemudian mengalami sakit kepala dan sengal badan.
Beliau juga mengimbas kembali perasaan “terputus” daripada tubuh sendiri. Beberapa kali, ini menyebabkan beliau hilang keseimbangan dan terjatuh.
Pada satu ketika, beliau terhantuk kepalanya, namun enggan mendapatkan rawatan perubatan kerana bimbang petugas hospital akan melaporkannya atas penggunaan bahan terlarang.
Bagi Encik Delfard Tay, bahaya itu menjadi kenyataan apabila beliau kehilangan anak perempuannya, Shermaine Tay, yang berusia 20 tahun, yang membunuh diri pada September lalu – satu tragedi yang beliau percaya mungkin ada kaitan dengan penggunaan “Kpod”.
Pengurus syarikat logistik berusia 43 tahun itu berkata anaknya mula menggunakan “Kpod” pada awal tahun lalu. Walaupun beliau berulang kali cuba memujuk anaknya untuk berhenti, perbualan mereka sering berakhir dengan pertengkaran dan berlarutan kedua-dua pihak berdiam diri selama beberapa hari.
Beberapa bulan kemudian, Encik Tay mula menyedari perubahan besar dalam tingkah lakunya. Anak perempuannya lebih banyak bercakap, tetapi sering kali tidak keruan. Beliau juga menjadi lebih agresif dan mudah tersinggung.
Dalam minggu sebelum kematiannya, beliau turut mengalami keadaan muntah-muntah yang berterusan, katanya.
Laporan bedah siasat tidak memberikan jawapan muktamad, tetapi selepas meneliti rakaman kamera litar tertutup di rumah mereka, Encik Tay melihat anaknya menyedut “Kpod” sebelum kematiannya dan kelihatan menggigil dalam rakaman tersebut.
Menurut Addictions Recovery Singapore, antara kesan serta-merta yang lazim termasuk menggigil, kekeliruan seperti "zombi", agresif, gaya berjalan yang tidak stabil dan rebah secara tiba-tiba.
Encik Tan dari Youth Guidance Outreach Services berkata pengguna mungkin berkelakuan lebih berani mengambil risiko ketika di bawah pengaruh “Kpod”.
Beliau turut memaklumkan bahawa sesetengah pengguna merujuk vape itu dengan nama jalanan “piao piao”, istilah dalam bahasa Cina yang menggambarkan perasaan “melayang” – merujuk kepada sensasi ringan dan terpisah daripada realiti yang dihasilkan.
Dr Zhang daripada Perkhidmatan Pengurusan Ketagihan Kebangsaan (NAMS) pula berkata komplikasi perubatan akibat penggunaan “Kpod” masih belum difahami dengan sepenuhnya, justeru pendekatan berhati-hati dalam pengurusan simptom adalah perlu.
Namun ia menjadi lebih mencabar apabila pengguna kerap mengelak daripada mendapatkan bantuan kerana takut dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa atas kesalahan penggunaan dadah.
BERMAIN DENGAN SESUATU YANG TIDAK DIKETAHUI
Pakar berkata kekurangan kesedaran tentang “Kpod” dan bahaya yang disebabkan menjadi antara faktor utama peningkatan popularitinya.
Cecair di dalam “Kpod” hampir tidak dapat dibezakan daripada jus vape biasa dengan mata kasar, menjadikannya mudah bagi pengguna muda yang tidak curiga untuk terpedaya dengan penjual yang berniat jahat, di bawah dakwaan bahawa ia hanyalah vape nikotin biasa.
Namun, beberapa pengguna dan agensi sosial menyatakan terdapat cara untuk membezakan antara “Kpod” dan vape biasa.
Selalunya, bentuk peranti tersebut kelihatan sedikit berbeza. Salah satu petunjuknya ialah “Kpod” mempunyai pod kecil yang disambung pada vape tersebut. Harganya juga biasanya jauh lebih mahal daripada vape biasa.
Mereka yang secara sedar menggunakan “Kpod” sering memandang ringan risiko kesihatan vape yang mengandungi etomidate kerana salah faham atau kekurangan maklumat dalam penyelidikan sedia ada.
Salah satu tanggapan salah yang lazim ialah etomidate, walaupun merupakan bahan terkawal, dianggap selamat atau kurang berbahaya daripada rokok biasa semata-mata kerana ia digunakan dalam bidang perubatan.
Sebagai ubat penenang, kesannya yang pantas dan kuat boleh menjadi tarikan kepada belia yang tertekan atau kekurangan tidur, menurut Addictions Recovery Singapore.
“Tanpa menyedari mereka mengambil bahan terkawal, mereka mungkin membentuk corak penggunaan untuk tujuan perubatan sendiri atau beralih kepada dadah lain seperti benzodiazepin atau opioid,” katanya, memberi amaran.
Penjual juga mungkin memperdaya pengguna atau mengambil kesempatan terhadap kelemahan undang-undang dengan memasarkan “Kpod” sebagai produk yang tidak dapat dikesan melalui ujian air kencing dan meyakinkan pengguna bahawa bahan seperti etomidate diklasifikasikan sebagai racun di bawah Akta Racun Singapura, bukan dadah terkawal Kelas A di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah.
Namun, beberapa salah faham tersebut sudah dijelaskan oleh pihak berkuasa.
Dalam jawapan bertulis Parlimen pada 8 Jan, Menteri Kesihatan Ong Ye Kung berkata “individu yang menggunakan vape sedemikian juga boleh dikesan dengan etomidate dalam air kencing mereka.”
Profesor Madya Bibhas Chakraborty dari Sekolah Perubatan Duke-NUS berkata: “Secara teknikal, etomidate boleh dikesan dalam air kencing, tetapi hanya melalui kaedah ujian khas atau disasarkan. Ujian ini sangat sensitif dan boleh mengesan etomidate serta metabolitnya selama beberapa hari selepas digunakan, walaupun jangka hayat bahan itu singkat.”
Beliau juga menjelaskan bahawa dakwaan bahawa etomidate “tidak dapat dikesan” mungkin berpunca daripada fakta bahawa ia tidak termasuk dalam panel saringan dadah standard, bukan kerana ia tidak dapat dikesan langsung.
Dalam kenyataan awal tahun ini, Biro Narkotik Pusat (CNB) menyatakan terdapat beberapa kes terpencil di mana vape digunakan untuk mengambil dadah terkawal.
CNB menambah bahawa sesiapa yang ujian air kencingnya positif bagi bahan terkawal, “tanpa mengira cara ia diambil”, akan disiasat di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah.
“Menyimpan sebarang alat atau barangan, termasuk vape, untuk tujuan mengambil dadah terkawal merupakan satu kesalahan di bawah seksyen 9 Akta Penyalahgunaan Dadah,” menurut amaran CNB.
Dan meskipun sesetengah pengguna muda percaya bahawa mereka akan menghadapi hukuman lebih ringan jika menggunakan “Kpod” bercampur dadah, berbanding tuduhan di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah, hakikatnya, akibat menggunakan atau menjual “Kpod” masih lebih berat berbanding vape biasa.
Namun, penglibatan dengan “Kpod” yang mengandungi bahan terkawal seperti etomidate membawa hukuman lebih berat, termasuk penjara dan denda yang lebih tinggi di bawah Akta Racun.
Pada masa ini, pembekal “Kpod” mengambil kesempatan terhadap kelemahan dalam peraturan untuk memasarkan produk mereka secara haram.
Menurut Encik Rai dari Kalidass Law Corporation, pengeluar misalnya boleh memperkenalkan bahan psikoaktif baharu dalam “Kpod” yang belum disenaraikan di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah.
Komposisi kimia yang sentiasa berubah, digabung dengan kemungkinan kelewatan keputusan ujian makmal untuk mengenal pasti bahan terkawal, turut menyukarkan usaha penguatkuasaan.
USAHA BENDUNG KRISIS
Bagi menangani ancaman “Kpod” yang semakin meningkat, pakar dan agensi khidmat sosial berkata pelbagai langkah khusus perlu dilaksanakan.
Pada peringkat awal, mereka menekankan kepentingan penyelidikan yang lebih menyeluruh berkaitan “Kpod” serta pendidikan belia yang lebih mantap.
Encik Alvin Seng dari We Care Community Services berkata bahawa kempen anti-dadah dan anti-vape sedia ada tidak secara khusus menyentuh penggunaan “Kpod”.
“Bahan kempen anti-dadah biasanya menumpukan perhatian terhadap dadah Kelas A seperti ganja dan methamphetamine, tetapi bukan ‘Kpod’.
“Kempen anti-vape pula hanya tumpu kepada vape nikotin, dan langsung tidak sebut tentang ‘Kpod’,” tambahnya.
Bersetuju dengan pandangan itu, Pengarah Eksekutif pertubuhan belia Impart, Encik Narasimman Tivasiha Mani, berkata mesej kesedaran tentang bahaya dadah dan vape harus lebih berkesan dengan menonjolkan risiko kesihatan serius yang disebabkan oleh “Kpod”, disokong kajian kes sebenar untuk memperkukuh mesej.
Beliau turut mencadangkan agar pihak berkuasa melaksanakan kempen untuk membetulkan salah faham mengenai vape bercampur dadah.
Ramai golongan muda benar-benar tidak faham sejauh mana bahan tersebut boleh menjejaskan tubuh badan dan kesihatan mereka dalam jangka masa panjang, katanya.
“Mereka perlukan kajian kes, mereka perlu lihat sendiri betapa bahayanya ("Kpod").”
Ini termasuk membetulkan kepercayaan yang salah dalam kalangan remaja bahawa “tiada ada apa-apa” akan berlaku jika menyalahgunakan etomidate kerana ia adalah “ubat hospital”, atau bahawa ia memberikan kesan “khayal” yang sama seperti ketamin tetapi tanpa kesan sampingan yang serius.
Adalah penting untuk memaklumkan kepada golongan muda bahawa kematian serta-merta boleh berlaku akibat penyalahgunaan bahan ini, tegas beliau.
Selain mengetengahkan bahaya “Kpod”, kempen pendidikan juga harus menekankan kepentingan melaporkan dengan lebih awal agar golongan muda berasa berdaya untuk tampil mendapatkan bantuan, kata Prof Madya Razwana dari SUSS.
Program berasaskan sekolah yang menggalakkan dialog terbuka serta menyediakan sokongan yang mudah dicapai boleh membantu pelajar untuk melaporkan masalah mereka dan membolehkan intervensi awal.
Usaha sebegini, jika digabungkan dengan talian bantuan sulit atau platform laporan online, boleh mengurangkan ketakutan terhadap tindakan susulan dan mendorong lebih ramai belia tampil melaporkan kejadian berkaitan “Kpod”, tambahnya.
Beliau juga menekankan peranan penting ibu bapa.
Meningkatkan kesedaran tentang “Kpod” dan simptomnya, serta melengkapkan ibu bapa dengan keupayaan agar lebih peka dan proaktif, adalah kunci dalam mengenal pasti tanda awal penggunaan.
Ibu bapa juga boleh membantu mengubah persepsi bahawa melaporkan bermakna menghukum, kepada satu langkah ke arah pemulihan, menyokong anak mereka untuk keluar daripada ketagihan dan mencegah kesan jangka panjang, kata Prof Madya Razwana.
Ini turut berlaku dalam kes Encik David, yang akhirnya berjaya berhenti menggunakan “Kpod” dengan sokongan ibunya selepas dirujuk ke pusat pemulihan ketagihan pada Julai tahun lalu.
DARI SUDUT RAWATAN
Mengenai aspek pemulihan, Dr Sharad Haridas dari Promises Healthcare berkata: “Setakat ini data rawatan yang tersedia masih terhad, tetapi prinsip umum bagi merawat gangguan penggunaan bahan tetap terpakai.
“Pertama sekali, pendekatan yang tidak menghakimi perlu diambil, dan ruang yang selamat harus disediakan untuk mengenal pasti punca di sebalik penggunaan bahan.
“Inilah peranan kaunselor. Mereka boleh membantu individu mengurus kebimbangan, kemurungan dan trauma – faktor-faktor yang sering diperburuk oleh penyalahgunaan etomidate.”
Singapura sudah cuba menangani isu ini dengan memperkenalkan peruntukan penyenaraian generik – seperti Seksyen 17C Akta Penyalahgunaan Dadah – namun menurut peguam Encik Shaneet Rai, undang-undang analog yang lebih fleksibel boleh meningkatkan kecekapan penguatkuasaan.
“Model klasifikasi andaian atau peruntukan analog, seperti yang diguna pakai di negara seperti Amerika Syarikat (Akta Analog Persekutuan) atau Australia, membolehkan pihak berkuasa menganggap varian kimia sebagai bahan terkawal berdasarkan struktur dan kesannya, sementara menunggu pengesahan makmal,” katanya.
Langkah seperti itu boleh membantu melindungi undang-undang Singapura daripada dadah sintetik yang semakin canggih, terutamanya yang diedarkan dalam bentuk digital atau aerosol, tambahnya.
Namun, buat masa ini, adakah langkah mengklasifikasikan etomidate sebagai dadah terkawal Kelas A di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah satu langkah yang wajar?
Dr Fong dari NUH memberi peringatan bahawa penjenisan semula etomidate akan menyukarkan akses kepada ubat itu bagi kegunaan perubatan.
“Ia akan tertakluk kepada peraturan ketat yang sama seperti bahan terkawal lain seperti fentanyl (opioid sintetik), memerlukan pengesahan dua pihak, pengesahan dos ketat dan dokumentasi rapi bagi kuantiti yang tidak digunakan,” jelasnya.
Memandangkan etomidate kerap digunakan dalam prosedur intubasi kecemasan di unit resusitasi, beban peraturan tambahan itu boleh melambatkan rawatan, tambah beliau.
Encik Rai pula berkata: “‘Kpod’ adalah ‘ribut yang sempurna’: gabungan pemasaran yang menyasar golongan muda, inovasi kimia, kerahsiaan digital dan perdagangan rentas sempadan.”
Untuk menanganinya, kata beliau, memerlukan gabungan penguatkuasaan yang dipacu teknologi, pemantauan kimia secara masa nyata, kempen pendidikan awam, garis panduan pendakwaan yang jelas terhadap pembelaan berdasarkan niat, serta rangka peraturan yang dikemas kini untuk mempercepat klasifikasi bahan.
“Ini bukan sekadar isu dadah. Ia isu digital, sosial dan kesihatan awam – dan undang-undang mesti bergerak seiring,” tegasnya.
Menangani jurang pengetahuan adalah langkah pertama ke arah yang betul.
Itulah juga yang cuba dilakukan oleh Encik Mathieu, yang lantang menentang penggunaan “Kpod” di media sosial.
“Saya tak mahu orang lain berada di tempat saya, terbuang dan membusuk dalam penjara kerana ketagihan dadah,” katanya, sambil menambah bahawa ramai pengguna bermula dengan keyakinan palsu bahawa mereka boleh kawal penggunaan mereka.
“Mereka fikir: ‘Mana mungkin dadah boleh tawan saya.’ Tapi tahu tak? Semua orang yang saya jumpa dalam penjara, termasuk saya sendiri, cakap benda yang sama. Orang paling tua yang saya jumpa masa dalam penjara kerana dadah, berumur 82 tahun ... umur 82 pun masih terikat dengan dadah.”
Encik David juga mengakui bahawa kekurangan kesedaran tentang kesan sebenar “Kpod” merupakan antara sebab utama beliau mudah terjerumus.
“Saya rasa kalau masa itu ada lebih banyak pendidikan berhubung apa itu ‘Kpod’ sebenarnya, dan apa yang ia boleh buat pada kita dalam jangka panjang, semua kesan sampingan dan keburukannya ... saya mungkin tidak akan jadi macam dulu.
“Sebab ada kawan-kawan saya yang kehilangan kenalan akibat ‘Kpod’, saya sekarang cuba sedaya upaya untuk memberi kesedaran kepada kawan-kawan kenapa saya berhenti ... dan perlahan-lahan saya cuba bantu mereka jauhi ‘Kpod’ juga.”
SALURAN UNTUK DAPATKAN BANTUAN
Jika anda mengalami masalah berhubung kesihatan mental atau berdepan dengan pemikiran untuk membunuh diri, anda boleh mendapatkan bantuan melalui talian berikut:
- Talian Nasional Mindline: 1771
- WhatsApp Mindline: 6669 1771
- Sembang web Mindline: mindline.sg/fsmh
- Samaritans of Singapore (SOS): 1767
- Talian Bantuan Persatuan Kesihatan Mental Singapura (SAMH): 1800 283 7019
Anda juga boleh mendapatkan senarai talian bantuan antarabangsa di sini.
Jika anda atau seseorang yang anda kenali berada dalam risiko segera, sila hubungi perkhidmatan kecemasan 24 jam.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.