Skip to main content

Singapura

Nak dapatkan vaksinasi COVID-19 untuk ke luar negara? Anda perlu tunggu giliran - MOH

Ini memandangkan jumlah bekalan terhad buat masa ini, kata Menteri Negara Kanan Kesihatan Janil Puthucheary hari ini (1 Feb).

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 01 Feb 2021 05:48PM Dikemas Kini : 01 Feb 2021 09:51PM

SINGAPURA: Mereka yang mempunyai sebab sah untuk melakukan perjalanan keluar Singapura harus terus menunggu giliran dan tidak boleh memotong jalan untuk mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 lebih awal.

Ini memandangkan jumlah bekalan terhad buat masa ini, kata Menteri Negara Kanan Kesihatan Janil Puthucheary hari ini (1 Feb).

Beliau berkata demikian di Parlimen sebagai menjawab soalan yang diajukan para Anggota Parlimen (AP) mengenai program vaksinasi di negara ini.

AP Joan Pereira (PAP-Tanjong Pagar) bertanya sama ada pemerintah akan menimbangkan untuk membolehkan rakyat yang perlu melawat anggota keluarga yang sakit di luar negara, untuk mendapatkan suntikan vaksin sebelum giliran mereka.

AP Yip Hon Weng (PAP-Yio Chu Kang) pula bertanya jika penduduk Singapura boleh diberi pilihan untuk mendapatkan suntikan vaksin lebih awal jika mempunyai sebab yang baik untuk ke luar negara dalam notis singkat.

AP Gerald Giam (WP-Aljunied) dan AP Sharael Taha (PAP-Pasir Ris Punggol) mengajukan soalan yang sama.

"Buat masa ini, bekalan vaksin terhad, kita harus mengutamakan para petugas jagaan kesihatan dan barisan hadapan kita serta warga tua untuk mendapatkan suntikan," kata Dr Puthucheary.

"Lantaran itu, ketika ini, kita tidak boleh memberikan vaksin kepada rakyat Singapura selain daripada golongan tersebut dan kami berharap agar mereka faham."

Beliau berkata, pilihan itu boleh dipertimbangkan apabila jumlah bekalan yang diperolehi Singapura, lebih jelas lagi.

PERLU UTAMAKAN VAKSINASI

Memandangkan bekalan global vaksin COVID-19 terhad buat masa ini, ada keperluan untuk kita mengutamakan golongan tertentu bagi mendapatkan vaksinasi.

Singapura sudah mula memberikan suntikan vaksin kepada para petugas jagaan kesihatan dan barisan hadapan. Program vaksinasi juga sudah dimulakan bagi para pekerja khidmat penting seperti sektor keselamatan dan penerbangan serta maritim, yang berisiko lebih tinggi terdedah kepada orag-orang yang sudah dijangkiti semasa menjalankan tugas.

Warga tua juga diberi keutamaan memandangkan mereka adalah golongan berisiko tinggi dijangkiti atau mengalami kesan yang membawa maut.

Dr Puthucheary menekankan bahawa Singapura menandatangani perjanjian bagi pembelian awal vaksin Pfizer-BioNTech, Moderna dan Sinovac dan menambah bahawa ia masih dalam perbincangan dengan "beberapa syarikat farmaseutikal lain".

Disebabkan sensitiviti komersil dan -maklumat sulit yang dinyatakan dalam perjanjian tersebut, Singapura tidak mendedahkan jumlah vaksin yang sudah ditempah, kosnya atau jadual penghantarannya.

"Meskipun ada kelengahan dalam penghantaran vaksin Pfizer-BioNTech disebabkan kilang Pfizer sedang dinaik taraf, kami akan terus memantau bekalan untuk memenuhi sasaran memberikan suntikan vaksin kepada semua rakyat Singapura dan penduduk jangka panjang di negara ini menjelang hujung 2021," kana Dr Puthucheary.

Encik Yip (PAP-Yio Chu Kang) berkata dalam soalan tambahan jika senarai menunggu bagi mereka yang mahu mendapatkan suntikan vaksin sebelum ke luar negara boleh diadakan. Dr Puthucheary berkata saranan itu akan dipertimbangkan. 

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita