Naik tren atau pesawat dari SG ke KL: Ini 5 perkara anda perlu tahu
SINGAPURA: Dengan pelancaran perkhidmatan ETS3 JB Sentral-KL Sentral, mungkin ada yang tertanya-tanya sama ada lebih berbaloi menaiki ETS3 atau pesawat untuk ke Kuala Lumpur dari Singapura.
Perjalanan sulung ETS3 JB Sentral-KL Sentral itu mula beroperasi pada 12 Disember lalu.
Bermula dari stesen MRT City Hall, saya menuju ke Lapangan Terbang Changi manakala wartawan Fatyn Afiqah pula ke stesen JB Sentral, semuanya dengan menggunakan pengangkutan awam dan bertemu di KL Sentral.
Ini 5 perkara yang anda perlu tahu:
1. HANYA SEKITAR SEJAM BEZA ANTARA PESAWAT & ETS3
Dari stesen MRT City Hall ke destinasi akhir di KL Sentral, perjalanan menaiki pesawat hanya sekitar 1 jam lebih pantas berbanding ETS3.
Ini meskipun tempoh perjalanan ETS3 dari JB Sentral ke KL Sentral mengambil masa 4 jam 30 minit berbanding 40 minit waktu penerbangan antara Singapura dan Kuala Lumpur.
Anggaran masa menaiki pesawat itu merangkumi:
- 40 minit perjalanan dari stesen MRT City Hall ke stesen MRT Changi Airport
- kira-kira 40 minit waktu penerbangan
- sekitar 20 minit perjalanan dari KLIA ke KL Sentral
- keperluan tiba di Lapangan Terbang Changi 1-2 jam lebih awal untuk ‘check-in’ dan pemeriksaan imigresen
Walaupun nampak lebih cepat, perjalanan udara sebenarnya boleh dilengahkan oleh beberapa faktor termasuk kelewatan dalam jadual penerbangan, masa menunggu untuk mengambil bagasi serta masa tambahan yang diperlukan untuk membeli tiket KL Ekspres.
Bagi ETS3, ada yang mungkin mempertimbangkan masa perjalanan ke JB Sentral, terutama jika tinggal jauh dari Pusat Pemeriksaan Woodlands.
Namun menariknya, perjalanan dari stesen MRT City Hall ke JB Sentral hanya sekitar 50 minit - menaiki MRT ke Kranji, disusuli bas 170X ke Pusat Pemeriksaan Woodlands sebelum ke JB Sentral.
Penumpang ETS3 hanya perlu tiba 30 minit sebelum tren berlepas dan prosesnya jauh lebih ringkas kerana tidak melibatkan pemeriksaan keselamatan yang ketat seperti di lapangan terbang.
2. TIKET ETS3 JAUH LEBIH MURAH; BAHKAN JIKA DITEMPAH PADA SAAT AKHIR JUGA
Tiket ETS3 bagi laluan JB Sentral–KL Sentral dijual pada harga serendah RM88 (S$28) hingga RM99, menurut tinjauan di laman KTMB. Kos dijangka meningkat sedikit pada musim perayaan seperti Tahun Baharu Cina dan Tahun Baharu.
ETS3 juga menawarkan kelas bisnes dari harga serendah RM 152 hingga RM164.
Gerabak kelas bisnes menawarkan tempat duduk yang lebih luas, tandas khas, hidangan percuma, paparan TV sendiri dengan pilihan filem, peta laluan serta sistem pesanan makanan langsung dari tempat duduk.
Harga tiket juga tak melonjak tinggi jika menempah tiket ETS3 pada saat-saat akhir.
Sebaliknya, harga tiket pesawat jauh lebih mahal dan boleh mencecah ratusan dolar Singapura - terutama untuk tempahan saat akhir, di mana harga sering turun naik dengan ketara.
Ini belum termasuk kos tambahan untuk menaiki KL Ekspres dari KLIA ke KL Sentral, yang berharga RM55.
Bagi saya sendiri yang menempah tiket pada saat akhir, keseluruhan kos ke KL menelan belanja sekitar S$240.
Untuk perjalanan menaiki tren, Fatyn Afiqah hanya mengeluar belanja kira-kira RM88 (S$28).
3. TIDAK PERLU KHUATIR BERATNYA BAGASI APABILA NAIKI ETS3!
Ini merupakan berita baik bagi si “kaki membeli-belah” di Kuala Lumpur tetapi keberatan untuk membeli bagasi tambahan di pesawat atau risau tidak memenuhi had bagasi.
Ini tidak lagi menjadi masalah apabila anda menaiki ETS3!
Malah, ruang simpanan bagasi di bahagian atas serta kompartmen khas pada ETS3 adalah luas dan mencukupi bagi penumpang yang membawa bagasi.
4. KESELESAAN PERJALANAN ETS3 BERBANDING PESAWAT
Tidak kurang hebat berbanding pesawat, tren turut menawarkan pelbagai kemudahan yang menjadikan perjalanan lebih selesa.
Penumpang ETS3 juga tidak perlu risau perut berkeroncong, dengan adanya sebuah kafe kecil yang menyajikan aneka hidangan seperti nasi lemak, nasi beriani serta pelbagai minuman ringan.
5. ETS3 TEPAT IKUT JADUAL TAPI PILIHAN TERHAD
Setakat ini, ETS3 menyediakan empat perjalanan sehari bagi laluan KL Sentral–JB Sentral–KL Sentral:
- Dari KL Sentral ke JB Sentral pada 7.45 pagi dan 5.35 petang
- Dari JB Sentral ke KL Sentral pada 8.40 pagi dan 4.20 petang
Anda boleh jamin tren akan berlepas mengikut jadual dan jarang mengalami kelewatan.
Namun, berbanding pesawat, pilihan waktu berlepas lebih pelbagai dengan beberapa syarikat penerbangan menawarkan pilihan.
Penumpang juga yang perlu ambil kira tambahan masa sekiranya ada kelengahan atau penukaran waktu penerbangan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.