Skip to main content

Singapura

Naik taraf Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-China harus segera disahkan: PM Wong

Para pemimpin Asia Tenggara dan China harus bertindak pantas untuk mengesahkan perjanjian perdagangan bebas yang dinaik taraf yang ditandatangani pada Selasa (28 Okt) supaya syarikat-syarikat perniagaan dan rakyat dapat mula meraih manfaatnya, kata Perdana Menteri Lawrence Wong.

Anggaran Waktu Membaca:
Naik taraf Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-China harus segera disahkan: PM Wong

Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong, di Sidang Puncak ASEAN di Kuala Lumpur pada 28 Oktober 2025. (Gamba: CNA/Zamzahuri Abas)

KUALA LUMPUR: Para pemimpin Asia Tenggara dan China harus bertindak pantas untuk mengesahkan perjanjian perdagangan bebas yang dinaik taraf yang ditandatangani pada Selasa (28 Okt) supaya syarikat-syarikat perniagaan dan rakyat dapat mula meraih manfaatnya, kata Perdana Menteri Lawrence Wong.

Berucap di Sidang Puncak Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) dan China di Kuala Lumpur, PM Wong berkata bahawa pelaksanaan perjanjian yang berkesan akan membuka peluang ekonomi baharu di seluruh rantau ini.

Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN-China (ACFTA), yang pertama kali ditandatangani pada 2002 dan mula berkuat kuasa pada tahun 2010, merupakan perikatan perdagangan bebas pertama China dan yang pertama ASEAN dengan rakan-rakan kongsi utama. Ia telah dinaik taraf kepada versi 2.0 pada 2019 dengan penyelarasan aturan perdagangan.

Perbincangan mengenai apa yang dipanggil versi naik taraf 3.0 bermula pada 2022 dan berakhir pada Mei untuk memperluaskan skop perjanjian itu ke bidang-bidang baharu, seperti ekonomi digital dan hijau, serta ketersambungan rantaian bekalan.

Ia juga memperkenalkan komitmen baharu terhadap amalan perniagaan yang tidak adil atau anti-persaingan untuk menyediakan perlindungan yang lebih baik untuk pengguna online dan luar negara, menurut kenyataan media daripada Kementerian Perdagangan dan Perusahaan Singapura (MTI) pada Selasa (28 Okt).

Sejak 2010, perdagangan antara ASEAN dan China telah berkembang lebih daripada 220 peratus.

China merupakan rakan dagang terbesar ASEAN dan sumber pelaburan langsung asing ketiga terbesar. Setakat sehingga 2024, perdagangan ASEAN-China mencecah AS$777.2 bilion (S$1 trilion), menurut perangkaan daripada MTI.

Produk dagangan utama ASEAN dengan China termasuk jentera elektrik, peralatan mekanikal, bahan api dan minyak mineral, instrumen perubatan dan optik, serta mutiara semula jadi dan biakan.

“Peningkatan ini akan mengurangkan lagi halangan perdagangan, mengukuhkan ketersambungan rantaian bekalan dan membuka peluang dalam bidang pertumbuhan masa hadapan,” kata PM Wong, yang menyifatkan perjanjian itu sebagai "pencapaian penting".

Menyifatkan hubungan ASEAN-China sebagai "salah satu hubungan ASEAN yang paling substantif", PM Wong menggesa kedua-dua pihak untuk mempertingkatkan kerjasama melangkaui perdagangan.

Mengenai ketersambungan, beliau menyokong kelonggaran secara progresif Perjanjian Pengangkutan Udara ASEAN-China dan aliran data komersial rentas sempadan yang lebih lancar untuk menyokong perdagangan digital.

Dalam ekonomi hijau, PM Wong menekankan potensi Grid Tenaga ASEAN, satu inisiatif untuk menghubungkan sistem elektrik di seluruh rantau ini, bagi meningkatkan daya tahan tenaga dan mewujudkan peluang ekonomi baharu.

China, pengeluar tenaga boleh diperbaharui terbesar di dunia, boleh menyumbang kepakaran teknikalnya. Singapura juga akan memainkan peranannya untuk menyokong pembangunan mampan di rantau ini, termasuk melalui Program Latihan Negara Ketiga dengan China, kata PM Wong.

“Bidang-bidang ini sejajar dengan empat keutamaan Tinjauan ASEAN mengenai Indo-Pasifik (AOIP),” katanya, menggesa ASEAN dan China untuk terus melaksanakan AOIP “dengan cara yang nyata”.

AOIP menggalakkan kerjasama merentasi empat tunggak: kerjasama maritim, ketersambungan, Matlamat Pembangunan Mampan PBB 2030 dan kerjasama ekonomi.

PM Wong berkata kerjasama konkrit membina “keyakinan dan kepercayaan, diperlukan untuk menguruskan isu-isu seperti Laut China Selatan”.

“Tidak dapat dielakkan, akan terdapat perbezaan pandangan mengenai Laut China Selatan, tetapi kita semua bersetuju bahawa keamanan, kestabilan, keselamatan dan kebebasan navigasi dan penerbangan di laluan air itu penting,” tambahnya.

“Kita harus menggandakan usaha kita untuk mencapai Kod Tatalaku yang substantif dan berkesan yang selaras dengan undang-undang antarabangsa, termasuk UNCLOS 1982 (Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut), dan yang melindungi hak dan kepentingan semua pihak di Laut China Selatan.”

ASEAN dan China akan meraikan 35 tahun hubungan dialog pada 2026, serta lima tahun perkongsian strategik yang komprehensif.

“Saya yakin bahawa jika ASEAN dan China terus menggandakan usaha kerjasama kita, kita dapat terus memacu pertumbuhan yang mampan dan inklusif di rantau kita dan memberikan manfaat yang berkekalan kepada semua pihak."
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita