Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Naik kereta api bertema Hari Raya mulai hari ini hingga 2 Jun

Para penumpang boleh menaiki kereta api bertemakan Hari Raya mulai hari ini (21 Apr) sempena meraikan musim perayaan yang bakal menjelang.

Anggaran Waktu Membaca:
Naik kereta api bertema Hari Raya mulai hari ini hingga 2 Jun

Sebuah kereta api, yang dihiasi dengan tema Hari Raya, di Laluan MRT Timur-Barat . (Gambar: LTA)

SINGAPURA: Para penumpang boleh menaiki kereta api bertemakan Hari Raya mulai hari ini (21 Apr) sempena meraikan musim perayaan yang bakal menjelang.

Satu kereta api di kesemua enam laluan MRT - khususnya Laluan Circle, Laluan Downtown, Laluan Timur-Barat, Laluan Timur Laut, Laluan Utara-Selatan dan Laluan Thomson-East Coast - akan dihias untuk meraikan Hari Raya Puasa yang jatuh pada tanggal 3 Mei tahun ini.

Orang ramai dapat menaiki kereta api bertema itu sehingga 2 Jun.

Sementara itu, khidmat bas nombor 7, 28 dan 154 - yang melalui kawasan Geylang Serai serta kawasan kejiranan lain - juga bakal bertemakan Hari Raya dan dilancarkan secara bertahap-tahap mulai Mei.

"Sempena menyambut Hari Raya, Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) bekerjasama dengan Kawasan Undi Geylang Serai, Pusat Warisan Melayu dan pengendali pengangkutan awam kami untuk memperkenalkan ciri-ciri bertemakan cuti umum perayaan kepada rangkaian pengangkutan awam kami," menurut LTA hari ini.

Selain bas dan kereta api, laluan penghubung pemindahan di Pusat Pertukaran MRT Paya Lebar - yang menghubungkan Laluan Timur-Barat dan Laluan Circle - juga akan dihiasi untuk meraikan Hari Raya dan saling melengkapi kereta api yang bertemakan sambutan Lebaran itu.

Hab Pengangkutan Bersepadu Ang Mo Kio dan Boon Lay juga akan dihias untuk menyambut Hari Raya Puasa.

Datuk Bandar Tenggara Fahmi Aliman berkongsi di Facebooknya bahawa beliau menaiki sendiri salah sebuah kereta api bertemakan Hari Raya itu di stesen Pasir Ris di Laluan Timur-Barat hari ini.

"Tema Hari Raya 'Gotong-Royong - Perpaduan & Daya Bingkas' terdiri daripada perhiasan bunga-bunga kembang mekar dan ikon-ikon yang diilhamkan daripada nilai-nilai serta tradisi masyarakat Muslim," kata Encik Fahmi, yang juga Anggota Parlimen GRC Marine Parade bagi kawasan Geylang Serai.

LTA menyatakan stesen kereta api, kereta api dan bas yang bertema adalah sebahagian daripada usaha LTA untuk menceriakan pengalaman penumpang ketika melakukan perjalanan ulang-alik semasa musim perayaan serta memupuk budaya penumpang yang positif.
 

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan