Naib Presiden Persatuan Guaman Chia Boon Teck letak jawatan selepas dibidas berhubung komen kes rogol
Encik Chia Boon Teck meletak jawatan sebagai naib presiden dan anggota majlis Persatuan Guaman Singapura. (Gambar fail: Persatuan Guaman Singapura)
- Naib presiden dan anggota majlis Persatuan Guaman Singapura, Chia Boon Teck meletak jawatan selepas komennya mengenai kes rogol mencetus kecaman hebat online.
- Peletakan jawatannya berlaku tidak lama selepas presiden Persatuan Guaman Lisa Sam memintanya untuk berundur, sambil berkata bahawa komen dan pandangannya terhadap mangsa rogol tidak boleh diterima.
- Encik Chia dikritik hebat selepas komen beliau di LinkedIn pada hujung minggu lalu mengenai kes bekas pelakon Wah!Banana Lev Panfilov, yang disabit kesalahan atas tuduhan rogol, serangan seksual dan mencabul kehormatan.
- Menyusuli kecaman itu, Encik Chia memadamkan catatan LinkedIn tersebut.
"Encik Chia Boon Teck telah meletak jawatan pagi ini, dan presiden telah menerima peletakan jawatannya. Peletakan jawatannya berkuat kuasa serta-merta," menurut Persatuan Guaman dalam kenyataannya pada Selasa (25 Mac).
"Kami berterima kasih kepada Encik Chia atas khidmat dan sumbangannya semasa memegang jawatan di majlis dan mengucapkan selamat maju jaya dalam usahanya pada masa hadapan."
Peletakan jawatannya berlaku tidak lama selepas presiden Persatuan Guaman Lisa Sam memintanya untuk berundur, sambil berkata bahawa komen dan pandangannya terhadap mangsa rogol tidak boleh diterima.
"Prinsip moral mangsa tidak sepatutnya dipersoalkan dengan cara sedemikian. Komen dan pandangan seumpama itu juga tidak sesuai disuarakan seseorang dalam kedudukan kepimpinan," katanya pada Selasa.
Encik Chia dikritik hebat selepas komen beliau di LinkedIn pada hujung minggu lalu mengenai kes bekas pelakon Wah!Banana Lev Panfilov, yang disabit kesalahan atas tuduhan rogol, serangan seksual dan mencabul kehormatan.
Dalam catatannya itu, Encik Chia seperti mempersoalkan tindakan mangsa dalam kes itu semasa kejadian tersebut.
Beliau juga merujuk kepada umur mangsa dan pekerjaannya sebagai pelakon dan peragawati.
Beliau turut menyatakan bagaimana mangsa "berharap untuk mendapatkan beberapa nasihat mengenai penulisan skrip daripada (Panfilov)" dan mengulas: "Pada larut malam di atas katil seorang lelaki Rusia yang baru ditemuinya di Tinder?"
Komen-komen tersebut dibidas hebat beberapa pihak termasuk sejumlah peguam, kumpulan advokasi AWARE serta Menteri Undang-undang dan Ehwal Dalam Negeri, K Shanmugam.
Encik Shanmugam berkata walaupun Encik Chia telah "mengatakan pandangan peribadinya", beliau memegang jawatan institusi di Persatuan Guaman.
"Kebimbangan saya ialah sesetengah orang mungkin sebenarnya berfikir bahawa pandangan yang telah dinyatakannya menunjukkan norma di Singapura. Dan saya bimbang apakah kesan kenyataannya terhadap mangsa-mangsa lain," kata beliau.
Beliau menambah bahawa peguam, terutamanya mereka yang memegang jawatan kanan, perlu berhati-hati apabila membuat kenyataan yang "meremehkan atau menyangkal kebimbangan mangsa", kerana ia boleh memberi kesan kepada orang lain yang mungkin akibatnya tidak mahu melaporkan apa yang berlaku kepada mereka.
"Memburukkan dan menyalahkan mangsa melampaui batas," kata Encik Shanmugam.
Menyusuli kecaman itu, Encik Chia memadamkan catatan LinkedIn tersebut.
Beliau memberitahu Mediacorp bahawa komen tersebut bertujuan untuk menarik perhatian orang ramai kepada kesedaran situasi mereka dan bukan untuk menyalahkan mana-mana pihak.
"Sebagai peguam jenayah, niat saya bukan untuk menyalahkan mana-mana pihak, tetapi untuk menekankan kepentingan kesedaran situasi - baik untuk melindungi diri daripada diserang dan mengelakkan tindakan yang boleh disalah tafsir kemudian," katanya.
"Komen saya bertujuan untuk menggalakkan cerminan diri tentang bagaimana individu boleh melindungi diri mereka dengan lebih baik dalam keadaan sosial. Ini bukan tentang mengalihkan tanggungjawab tetapi tentang memahami risiko dunia sebenar."
Encik Chia adalah pengarah bersama firma guaman Chia Wong Chambers.
Menurut profil di laman syarikatnya, beliau telah menjadi naib presiden Persatuan Guaman sejak Ogos 2023, dan menjadi bendaharinya sebelum itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.